Assalamualaikum. Dalam Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, apa istilah yang sesuai di dalam Bahasa Melayu untuk perkataan ‘Assemble’ dalam perkataan Cara-cara ‘Assemble’ Roti Sandwic. Saya cari di dalam kamus tak jumpa istilah yang tepat. Istilah yang ada mengumpul, menghimpun, memasang. Cara-cara mengumpul Roti Sandwic. Cara-cara menghimpun Roti Sandwic, Cara-cara memasang Roti Sandwic. Semuanya serba tak kena. Apa istilah yg sesuai berdasarkan Kamus Dewan Bahasa & Pustaka ya? | Waalaikumussalam wbt, Saya mencadangkan terjemahan bagi kata assemble dalam konteks penggunaan seperti How to assemble a sandwic?, to assemble a dish, to assemble a cake dan sebagainya ialah 'menyediakan'. Terjemahan memasang bagi assemble amat janggal dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, saudara bolehlah merujuk kepada pihak Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) untuk mendapatkan pengesahan tentang terjemahan ini. Sekian, terima kasih. | Istilah | 06.06.2024 |
menyalahkan kuasa betulkah? boleh bag sikit pengetahuan tentang penggunaan men-...-kan dan lepas tu apa-apa yang kena ikuti di belakang? | Pada dasarnya kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-..-kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat transitif aktif. Ayat tarnsitif aktif dengan kata kerja berapitan men-...-kan terdiri daripada dua jenis iaitu yangmenerima satu objek dan yang menerima dua objek. Pada kelazimannya juga apitan meN...kan menunjukkan objek yang mengikutinya bergerak, contohnya; Ayah menaikkan tangga (tangga - objek bergerak). Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
Encik, saya dapati buku-buku terbitan Sasbadi telah mula menggunakan kata'mengenai' dengan maksud 'tentang'. Ada apa-apa perubahan daripada pihak DBP? | Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 278 menerangkan "tentang" ialah kata sendi nama, manakala "mengenai" ialah kata kerja yang membawa maksud "kena pada". Walau bagaimanpun penggunaan "mengenai" yang disamakan dengan "tentang" iaitu, berfungsi sebagai kata sendi nama walaupun kata itu sebenarnya kata kerja, contohnya: Antara laporan yang disediakan itu termasuklah ringkasan mengenai keperluan ... | Tatabahasa | 20.05.2011 |
Assalamualaikum, Sebahagian ayat berikut, saya petik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat. Pertanyaan saya ialah, perkataan kena dalam setiap ayat tersebut tergolong dalam golongan kata apa? Sekian, terima kasih. 1. Lututnya luka kerana kena serpihan kaca sewaktu dia jatuh tadi. 2. Tikamannya itu kena pada bahu lawannya. 3. Dilemparkannya sebiji batu kena kepala anjing itu. 4. Semua jenis minuman keras kena cukai baharu. 5. Budak itu kena pukul oleh kumpulan pelajar nakal di sekolahnya. 6. Kalau kena harganya saya jual juga rumah ini | Ayat 1 hingga 4 ialah kata kerja, namun bukanlah dalam binaan yang gramatis kerana tidak diletakkan imbuhan seperti terkena serpihan kaca dan dikenakan cukai. Ayat 5, perkataan kena ialah kata kerja pasif. Ayat 6 lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan. Ayat yang gramatis "kalau berpatutan harganya ...". | Tatabahasa | 15.03.2017 |
Selamat sejahtera. Bolehtak saya tanya beberapa soalan objektif? 1. Suami dia yang luput lima bulan yang lalu, masih belum dijumpai. (luput-salah, kena tukar kepada perkataan apa ya?) 2.Pedatang asing yang pulih dibenarkan masuk ke negara ini. (pulih-salah, kena tukar kepada perkataan apa ya?) 3.Rumah saya terletak kira-kira lima setengah kilometeer dari sini. (nak tanya apa yang salah dalam ayat ini ya?) | Ayat yang betul ialah 1. Suami dia yang hilang lima bulan lalu, masih belum dijumpai. 2. Pedatang asing yang berdaftar dibenarkan masuk ke negara ini. 3. Rumah saya terletak kira-kira lima setengah kilometer dari sini. (Kesalahan ejaan kilometeer) | Tatabahasa | 02.04.2023 |
salam.. 1)perkataan 'sesuatu' merupakan kata apa? 2) boleh terangkan apa itu 'tentang' dan 'terhadap'...selepas kata tersebut mesti diikuti kata apa? 3)jelaskan penggunaan 'atau'...dan bagi contoh ayat. terima kasih... | 1. Suatu atau sesuatu ialah kata bilangan tak tentu. 2. Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Kata sendi nama tentang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Kata sendi nama mengenai ialah kata kerja yang membawa maksud kena pada. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 278. 3. Kata hubung yang bermaksud serupa (sama) dengan atau salah satu antara beberapa hal. | Tatabahasa | 08.06.2011 |
sila tanya apa maksud tajuk iklan yang saya kena tulis ?? KHIDMAT PENGESAHAN BAHASA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (KPBDBP) | Tuan, Tajuk iklan atau teks dalam iklan adalah teknikal, tuan boleh tulis sama ada nama kedai seperti Ibrahim Maju atau nama aktiviti seperti RESTORAN KOREA. Yang penting ialah gambar yang dilampirkan kerana kami menyemak bahasa dalam gambar iklan tersebut. Terima kasih. | Lain-lain | 06.04.2017 |
Salam sejahtera, apa bezanya "menggunting" dan "mengguntingkan" ? Macam mana kita dapat tahu bila kena tambah "kan" di belakang dalam ayat, bila tak perlu ya? Contoh: Nabilah mengguntingkan kertas.(Adakah ini betul?) Terima kasih kerana menjawab soalan saya. | Perkataan menggunting bermaksud memotong dengan menggunakan gunting dan perkataan mengguntingkan bermaksud menggunting (kain dan lain-lain) untuk dijadikan sesuatu. Contoh, Ahmad menggunting kertas dan Aini mengguntingkan kain untuk dijadikan baju. | Tatabahasa | 21.08.2022 |
Apa beza antara segerombolan dan sekumpulan. Jika merujuk kamus dewan maksudnya sama.tp utk menjawab soalan objektif kena pilih satu jawapan shj | Makna perkataan segerombolan dan sekumpulan adalah sama. Walau bagaimanapun, bagi manusia biasa perkataan yang sesuai ialah sekumpulan. Segerombolan digunakan untuk penjahat, penyamun pengganas dan sebagainya. | Makna | 06.08.2016 |
Apa makna justeru dan macam mana untuk menggunakan perkataan ini dalam karangan? | Justeru membawa maksud kebetulan, tepat, kena benar: contoh penggunaannya, kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi? Dan justeru juga membawa maksud malahan, bahkan: contohnya, sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia. | Tatabahasa | 14.07.2012 |