| Apakah peraturan bahasa yang digunakan dalam menterjemahkan mitragynine kepada mitraginina, speciociliatine kepada spesiosiliatina, yohimbine kepada yohimbina dan gambirine kepada gambirina? | Merujuk kepada Pedoman Tatanama Kimia, bagi akhiran "-ine" disesuaikan dengan ejaan "-ina" untuk sebatian kimia. | Istilah | 24.09.2024 |
| Assalamualaikum wbt Apakah perbezaan dan fungsi antara Salinan Kepada (s.k) dan Senarai Edaran dalam penyediaan surat rasmi? Adakah surat s.k. tersebut memerlukan tindakan si penerima s.k. atau sekadar makluman sahaja? Terima kasih. | Salinan kepada dinamakan kepada pihak lain, selain penerima dan pada amalannya salinan kepada dinamakan kepada seorang, dua orang atau tiga orang daripada mereka yang berkepentingan seperti Pengarah dan Ketua Bahagian. Senarai edaran pula mengandungi senarai penerima. Salinan kepada bertujuan untuk memaklumkan pihak berkenaan dan tindakan selanjutnya (jika ada) diputuskan oleh pihak berkenaan. | Tatabahasa | 20.07.2023 |
| Saya keliru dengan penggunaan untuk / kepada. 1) Ayah menghadiahkan buku kepada Ali 2) Ayah mengirim surat kepada Ali. 3) Ayah memberikan buku kepada Ali. Tiga ayat di atas , guna kepada . betul? 1) Ibu menyediakan makanan untuk Ali. 2) Ibu menggoreng pisang untuk Ali. 3) Ibu membeli kasut untuk Ali. Tiga ayat di atas guna "untuk" betul? Terima kasih. | Penggunaan perkataan "kepada" dan "untuk" dalam semua ayat tuan adalah betul. | Tatabahasa | 05.10.2023 |
| Saya ingin bertanya tentang penggunaan "terhadap" dan "kepada".Kalau melibatkan perasaan..perlu guna terhadap atau kepada.. Contoh: 1. Saya cinta kepada negara/ Saya cinta terhadap negara. 2. seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh kecintaan kepada bahasa kebangsaan/seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh kecintaan terhadap bahasa kebangsaan. Mohon pihak DBP memberikan penjelasan tentang pengunaan terhadap dan kepada dalam konteks abstrak/perasaan..eg. pengorbanan, kesetiaan dan sebagainya. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021) halaman 721 dan 1054, kata sendi nama “terhadap” bermaksud menyatakan sasaran yang merujuk manusia atau sesuatu; dan berkenaan dengan atau tentang. Kata sendi nama “kepada” bermaksud arah ke (dipakai sebelum nama orang atau kata pengganti diri); menyatakan sasaran yang merujuk manusia atau sesuatu (terhadap); menyatakan hubungan pemilikan, penguasaan, pengawalan dan sebagainya antara seseorang atau sesuatu dengan seseorang atau sesuatu yang lain. Penggunaan kata sendi nama terhadap dan kepada boleh digunakan bergantung pada kesesuaian penggunaan dalam ayat. Ayat yang sesuai: Saya cinta kepada negara. (terhadap tidak sesuai digunakan) Seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh kecintaan kepada/terhadap bahasa kebangsaan. | Tatabahasa | 13.10.2025 |
| Tuan, Yang sebetulnya ialah: "Berbudi kepada tanah" atau "Berbudi pada tanah"? terima kasih. | Penggunaan kata sendi nama “kepada” lebih tepat digunakan dalam ayat “Berbudi kepada tanah”. Penggunaan “kepada” merujuk kepada manusia atau sesuatu, manakala kata sendi nama “pada” pula digunakan untuk merujuk waktu, tempat, perasaan atau sikap, pendapat, makna daripada, lingkungan sesuatu dan makna akan atau tentang. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1054 dan 1573. | Lain-lain | 08.10.2025 |
| Salam sejahtera, 1.Puan Noridah menghidangkan makanan kepada /untuk ahli keluarganya.(kepada atau untuk) 2.Puan Noridah menatang makanan kepada/ untuk ahli keluarganya. 3. Sofia mengikat beg plastik sampah/ plastik sampah. (beg plastik sampah/ plastik sampah) Terima kasih. | Ayat yang betul ialah (1). "Puan Noridah menghidangkan makanan untuk ahli keluarganya”, (2). "Puan Noridah menatang makanan untuk ahli keluarganya" dan (3). "Sofia mengikat “beg plastik sampah.” | Tatabahasa | 14.06.2022 |
| 1) Saya telah membuat laporan polis tentang kemalangan kereta saya kepada polis. 2) Saya telah melaporkan kemalangan kereta saya kepada polis. 3) Saya telah mengadukan kemalangan kereta saya kepada polis. 4) Saya telah membuat aduan tentang kemalangan kereta saya kepada polis. Ayat yang manakah salah? | "Saya telah membuat laporan polis tentang kemalangan kereta saya kepada polis." - Ayat ini kurang tepat. | Tatabahasa | 12.01.2025 |
| maaf. sama seperti soalan yang tadi, jika ditukar kepada ikrar. berpegang teguh kepada ikrar atau berpegang teguh pada ikrar? terima kasih | Perkataan "janji" dan "ikrar" mempunyai maksud yang sama. Oleh hal yang demikian, kedua-dua kata sendi nama "pada" dan "kepada" boleh digunakan dalam contoh frasa yang diberikan. Walau bagaimanapun, kata sendi nama "pada" lebih lazim digunakan dalam frasa atau ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 272-276. | Tatabahasa | 08.08.2025 |
| Kepada pihak DBP, Saya cuba cari assistant professor dalam Bahasa Melayu dalam DBP tetapi tidak menjumpai. Saya ingin tanya "Assistant Professor" menterjemah ke Bahasa Melayu yang betul. Mintan pertolongan DBP. Sekian Terima Kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi istilah assistant professor ialah penolong profesor. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 09.04.2023 |
| Kepada Tuan/Puan yang dihormati, Saya ingin tanya, " Kita perlu bersenam untuk menjaga kesihatan. Tambahan pula, kita harus mengambil makanan yang seimbang Dan berkhasiat." Penggunaan penanda wacana"Tambahan pula" dalam perenggan ini betul stay salah. Sebab ada pihak yang kata bahawa "Tambahan pula" tidak boleh digunakan sebagai permulaan dalam sesuatu ayat. | Tambahan pula bermaksud lebih-lebih lagi dan tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat yang berikut. Ayat pertama dan kedua bersifat setara dan lazimnya kata sendi nama dan atau serta digunakan dalam konteks yang berikut, seperti "Kita perlu bersenam dan mengambil makanan yang seimbang serta berkhasiat untuk menjaga kesihatan". | Tatabahasa | 28.10.2022 |