| Adakah kata ganti diri 'dia' perlu ditukar kepada '-nya' dalam ayat pasif? Contoh : Dia menulis surat itu. Surat itu ditulis olehnya. atau Surat itu ditulis oleh dia. | Dalam ayat pasif, kata ganti diri "dia" perlu ditukar kepada "nya" atau pun dikekalkan "dia". Kedua-dua ayat; "Surat itu ditulis olehnya" dan "Surat itu ditulis oleh dia" boleh digunakan. | Tatabahasa | 23.02.2018 |
| Muhamad Hafizullah Muda Jun 1st, 10:10am Assalamualaikum. Saya ada soalan. Bagaimana ejaan yang betul untuk 'nya' yang dirujuk kepada Allah ? A- kepadanya B- kepadaNya C- kepada-Nya Muhamad Hafizullah Muda Jun 1st, 10:11am Mohon jawapan daripada pihak tuan | Ejaan yang betul dalam konteks yang tersebut ialah kepada-Nya. | Ejaan | 01.06.2015 |
| Ayat di bawah bermaksud kita datang dari Allah dan kembali kepada-Nya. Kata sendi mana yang lebih tepat, dari Allah atau daripada Allah? Sesungguhnya kita dari Allah dan sesungguhnya kepada-Nyalah kita akan kembali. | Kata sendi nama yang lebih betul ialah “daripada” Allah. | Tatabahasa | 30.09.2025 |
| Yang manakah betul - 'beriman dengan' atau 'beriman kepada'? Mereka akhirnya mengakui kebesaran Allah dan beriman dengan-Nya. Mereka akhirnya mengakui kebesaran Allah dan beriman kepada-Nya. Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul ialah 'Mereka mengakui kebesaran Allah dan beriman kepada-Nya'. | Tatabahasa | 05.01.2012 |
| Bolehkah"nya" digunakan untuk haiwan? Contohnya, Si Comel berbulu lebat. Bulunya lembut seperti kapas. | -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga. Hanya digunakan pada manusia dan Kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain itu -nya juga berfungsi sebagai kata pembeda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, misalnya: lajunya - Lajunya ialah 100km sejam. | Tatabahasa | 30.07.2015 |
| Ingin bertanya yang mana betul: 1. Kata-kata aluan 2. Kat Alu-aluan Adakah betul ayat: 1. Dengan izin-Nya jua 2. Dengan izinNya Terima kasih | 1. Kata alu-aluan 2. Dengan izin-Nya (Nya merujuk kepada Allah) | Tatabahasa | 18.10.2011 |
| Assalamaualaikum, Bolehkan kata ganti nama diri ketiga -nya digunakan untuk merujuk binatang atau sesuatu selain manusia? | -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga. Hanya digunakan pada manusia dan Kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain itu -nya juga berfungsi sebagai kata pembeda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, misalnya: lajunya - Lajunya ialah 100km sejam. | Tatabahasa | 27.08.2012 |
| Salam sejahtera. Pertanyaan saya berkaitan tentang penggunaan "nya". Adakah penggunaan nya boleh untuk merujuk kepada haiwan? Sebagai contoh ayat berikut; "Gigi ketam berada di dalam perutnya." Sekiranya tidak boleh digunakan, apakah ayat yang sesuai? Soalan kedua ialah bagaimanakah untuk menggunakan perkataan "nya". Boleh berikan contoh penggunaan ayat. Sekian, Terima kasih. | - Penggunaan -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan hanya boleh digunakan pada manusia. Ayat yang lebih tepat ialah Gigi ketam berada di dalam perut.
- Contoh ayat yang menggunakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya ialah, Mimi mengundang Ai Ling dan Kencana datang ke rumahnya.
Selain sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, perkataan -nya juga berfungsi sebagai kata penekan dan pembenda. Contoh ayat seperti yang berikut: Kata penekan – Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. Kata pembenda – Lajunya ialah 100 km sejam. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 26.07.2021 |
| Salam Sekiranya saya nak alih bahasa perkataan 6 pieces ke BM, akan jadi 6 biji. Perlukah tanda dash atau tidak? 6 biji atau 6-biji Mohon pencerahan. Terima kasih. | Wassalam... Berdasarkan soalan diatas, TIDAK perlu tanda sempang. Antara fungsi tanda sempang (-) digunakan bagi memisahkan antara perkataan dengan angka (contoh: DYMM YDA ke-15,) dan antara huruf besar dengan huruf kecil (cpontoh: kita berserah kepada-Nya).Oleh itu, Saya cadangkan 6 biji ditulis enam biji (angka dibawah 10 dieja dengan perkataan). Sekian. | Tatabahasa | 18.05.2018 |
| Adakah salah kalau murid tidak tulis -nya pada ayat berikut? 1)Ben Li makan sarapan dengan keluarga(nya). 2)Ben Li dan kawan-kawan(nya) pergi ke ladang anggur. 3)Ben Li dan keluarga(nya) menyaksikan pertunjukan udara. | Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Menerusi ayat pertama, kedua dan ketiga yang disoal, seharusnya diletakkan 'nya'. Hal ini demikian kerana, penggunaan 'nya' di dalam ayat tersebut merujuk kepada kata ganti nama ganti orang ketiga. Sekiranya tidak diletakkan 'nya' akan timbul persoalan misalnya menerusi ayat pertama sekiranya tidak diletakkan kata 'nya' akan wujud persoalan Ben makan bersama keluarga siapa? Oleh itu, saudari/saudari perlu meletakkan kata 'nya' di dalam ketiga-tiga ayat tersebut. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.08.2012 |