Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera. Saya ingin bertanya boleh ke jika saya menterjemahkan 'sensemaking' sebagai "pertimbangan"? Selain kepekaan dan pengamatan? Hal ini kerana kajian ini untuk mendalami dan meneroka secara lebih mendalam proses pertimbangan (sensemaking) guru perakaunan tentang PdP secara atas talian? Tambahan pula, kajian ini menggunaan teori organisasi konsep pertimbangan daripada Weick 1995. Terima kasih Tn. | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan “sensemaking” ialah “kepekaan deria” dan “pengamatan rasa". | Lain-lain | 06.10.2021 |
http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=invader&d=205708 Pentakrifan bahasa Melayu untuk perkataan "invader" adalah salah. Sila semak. | Terima kasih di atas kepekaan puan dalam hal ini. Pihak kami ambil maklum dan akan memanjangkan hal ini kepada bahagian yang berkenaan. Keprihatinan puan dalam perkara ini amat dihargai. Sekian. | Istilah | 10.11.2019 |
kenapa perkataan kancil (binatang) adalah nama KHAS sedangkan binatang lain digolongkan kata nama AM? Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dalam bab 6 muka surat (97) | Untuk makluman saudara, berlaku kesilapan pada contoh nama kancil yang diberikan. Editor buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga telah maklum dan akan mengambil tindakan pembetulan dalam perkara ini. Terima kasih atas kepekaan saudara. | Tatabahasa | 09.01.2009 |
Saya selalu menggunakan laman http://prpm.dbp.gov.my/ untuk mencari maksud perkataan. Hari ini, saya dapati ada kesilapan peribahasa Bahasa Inggeris - Peribahasa 276 - di bahagian kanan, "Don't jump from the flying pan into the fire" adalah salah. Sepatutna, "don't jump from the FRYING pan into the fire". http://en.wikipedia.org/wiki/Jumping_from_the_frying_pan_into_the_fire Harap pihak DBP akan membuat pembetulan. | Terima kasih atas kepekaan dan maklumat saudara. Pihak kami akan memaklumkan kesilapan ini untuk diperbetulkan oleh pihak yang berkenaan. | Ejaan | 12.02.2014 |
Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera. Apakah terjemahan yang betul untuk "Non-Sports Intrastate Internet Gambling"? Adakah "Petaruhan Bukan Sukan Antara Negeri Internet " atau "Petaruhan Internet Antara Negeri Bukan Sukan"? Adakah terdapat susunan/peraturan tertentu apabila terdapat lebih daripada satu adjektif dalam satu frasa? Terima kasih. | Waalaikumsalam, Saudari, Terjemahan yang betul bagi perkataan "Non-Sports Intrastate Internet Gambling" ialah Perjudian Internet bukan sukan dalam negeri. Tidak terdapat susunan atau peraturan tertentu apabila terdapat lebih daripada satu adjektif dalam satu frasa kerana penterjemahan frasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu memerlukan kepekaan dan rujukan yang meluas, lebih-lebih lagi jika sesuatu frasa itu bersifat idiomatik, seperti klise, peribahasa, slanga dan ungkapan umum. | Makna | 13.07.2020 |
Assalamualaikum. sy Nor Idayu merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya sedang membuat kajian tentang sensemaking guru perakaunan. Tajuk kajian adalah: Meneroka sensemaking guru Perakaunan tentang pengajaran dan pembelajaran atas talian. Akan tetapi, untuk term 'sensemaking' di dalam tajuk, saya mempunyai kesukaran untuk mencari term yang sesuai digunakan di dalam bahasa melayu. Saya berharap, pihak DBP dapat membantu saya dalam menggunaan istilah yang betul dan sesuai. Segala kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan “sensemaking” ialah “kepekaan deria” dan “pengamatan rasa”. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.06.2020 |
Selamat pagi, saya ingin bertanyakan tentang soalan berdasarkan buku teks Bahasa Malaysia Tahun 1 iaitu: Saya sawi. Makanlah saya untuk mendapatkan vitamin. Saya buah-buahan. Makanlah saya untuk mencegah penyakit. Di sini lampirkan soalan peperiksaan iaitu soalan 3: sayur-sayuran boleh mencegah penyakit@sayur-sayuran banyak mengandungi vitamin. Soalan 5: Buah-buahan boleh mencegah penyakit@Buah-buahan banyak mengandungi vitamin. Adakah kedua-dua jawapan ini boleh diterima sedangkan buku teks hanya menyatakan buah-buahan mencegah penyakit manakala sayur-sayuran mengandungi banyak vitamin. Sekian,terima kasih. | Salam. Sayur dan buah, sememangnya kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelebihan yang sama. Dalam buku teks, berkemungkinan bertujuan untuk menguji kepekaan dan kemahiran berfikir kanak-kanak tersebut. Oleh itu, penggunaan kedua-dua jawapan untuk no.3 dan 5 adalah tidak salah, malahan guru digalakkan menggunakan kepelbagaian kreativiti untuk merangsang minda kanak-kanak, selagi tidak menyalahi fungsi dan penggunaannya dalam bahasa. | Makna | 22.05.2017 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Saya ingin bertanya tentang kerelevanan penggunaan huruf kecil dan besar yang digunakan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat. Mengapakah istilah keagamaan seperti hari kiamat, syurga, neraka, lailatulqadar, subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak (saya hanya namakan sebahagian, sedangkan terdapat lebih banyak perkataan lain lagi) yang dieja dengan huruf kecil? Sedangkan hari Buruh, Gawai serta Hell, Heaven, Apocalypse, Halloween (dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan) dieja dengan huruf besar? Bukankah istilah keagamaan yang saya namakan tadi dianggap khusus dan sangat besar maknanya dalam isu keagamaan? Mengapakah hari yang darjatnya tidak setinggi hari kiamat, syurga, neraka, lailatulqadar dan sebagainya itu dieja dengan huruf besar tetapi perkataan yang kritikal seperti istilah tersebut digunakan huruf kecil? | Pihak kami mengambil maklum atas pandangan puan dalam penggunaan huruf besar dan huruf kecil dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Pihak kami mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkenaan dan akan menjawap pertanyaan puan dalam masa terdekat. Terima kasih atas kepekaan puan dalam tatabahasa bahasa Melayu. | Tatabahasa | 19.08.2019 |
Salam sejahtera Saya ingin mendapatkan padanan dalam Bahasa Melayu yang sesuai bagi perkataan-perkataan berikut: 1. Waste Watcher 2. Waste Watcher Business Support 3. Emitter of CO2 gas 4. Different points of preparation 5. Leftovers and trimmings 6. Waste insights and Waste Trends 7. False transactions 8. High sensitivity 9. Dummy weight to enact waste 10. Spoilage area 11. Choose applicable item/category Untuk pengetahuan puan, ini adalah dalam konteks pembuangan sisa makanan dan tentang mesin yang merekod dan mengira pembuangan sisa makanan. Terima kasih. | Kami mencadangkan padanan seperti berikut: 1) "Waste Watcher": Pemerhati Sisa Buangan 2) "Waste Watcher Business Support": Penyokong Perniagaan Pemerhati Sisa Buangan 3) "Emitter of CO2 gas": Pemancar Gas Karbon Dioksida 4) "Different points of preparation": Pelbagai Jenis Penyediaan 5) "Leftovers and trimmings": Baki dan Reja 6) "Waste insights and Waste Trends": Tinjauan dan Kecenderungan Sisa Buangan 7) "False transactions": Urus Niaga Palsu/Transaksi Palsu 8) "High sensitivity": Kepekaan Tinggi 9) "Dummy weight to enact waste": Berat Palsu untuk Menghasilkan Sisa Buangan 10) "Spoilage area": Kawasan Perosak 11) "Choose applicable item/category": Pilih Kategori/Barangan Boleh Guna Padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 16.07.2021 |
Salam, 1. Kenapa terjemahan dan padanan kata dlm kebanyakan kamus bahasa Inggeris-Melayu dan Google Translate dilihat tidak secekap dlm Kamus Online DBP - PRPM yg ada dlm terbitan DBP? Seolah-olah bahasa atau kosa kata dlm kamus Online DBP dilihat hanya hebat dan gah dlm kamus online itu semata-mata, bukan dlm semua terbitan kamus Inggeris-Melayu, bukan pula dlm Google Translate, malah bukan juga melalui penggunaannya dlm pertuturan sehari-hari. 2. Apakah peranan DBP dlm menyediakan maklumat, kemudahan, cadangan dan pembinaan bahasa Melayu dlm kemudahan "Google Translate"? dan kenapa terjemahannya juga banyak kekurangan dan kelihatan tiada kecekapan dan kekreatifan dlm istilah-istilah yg sedia ada dlm Melayu? tidak seperti bahasa Indonesia atau Melayu Riau yg kaya dgn kosa kata dan istilah. 3. Kenapa padanan kata "hello" dan "hi" dlm bahasa Inggeris hanya dipadankan dgn kata "helo" dan "hai"? sedangkan dlm masyarakat kita byk lagi kata yg dpt digunakan utk memadankan perkataan-perkataan itu spt "salam"; "selamat sejahtera"; "salam sejahtera"; "apa khabar"; "sejahtera" (singkatan drpd selamat sejahtera atau salam sejahtera); "jahtera" (singkatan drpd sejahtera, salam sejahtera atau selamat sejahtera); tabik (dlm masyarakat Nusantara); amboi (dlm peluasan makna kata selain makna lazim spt kata utk menzahirkan rasa kagum, hairan, kasihan atau utk mengusik, dsb.). Sekian, terima kasih! | 1. Terjemahan dan padanan kata dalam kamus bahasa Inggeris-Melayu (bukan terbitan DBP) dan Google Translate adalah terjemahan langsung berbeza dengan kamus dalam talian dalam PRPM yang kebanyakan kata dan istilahnya digubal bersama-sama pakar bahasa dan pakar bidang. Pemilihan padanan tersebut berbeza kerana penggunaan masyarakat dan pengguna bahasa mempunyai tingkat pengetahuan, sikap terhadap bahasa dan sumber rujukan bahasa yang berbeza. 2. DBP tidak mempunyai jalinan perkongsian data dengan Google Translate. Masih kurang penyumbang data dalam bahasa Melayu kepada Google Translate. Korpus penggunaan bahasa Melayu juga tidak seprolifik dan sekreatif penyumbang korpus bahasa Indonesia dan bahasa-bahasa lain di dunia. Keluarga Malaysia, khususnya orang Melayu perlu lebih banyak menulis dan menggunakan kata dan istilah dalam bahasa Melayu yang telah digubal. 3. Padanan kata hello dan hi dalam bahasa Inggeris hanya dipadankan dengan kata "helo" dan "hai" merupakan terjemahan langsung. Padanan ini boleh digantikan dengan perkataan lain seperti salam, selamat sejahtera, apa khabar dan sebagainya, mengikut kesesuaian konteks dan wacana yang ingin disampaikan kepada pembaca sasaran. Hal ini bergantung kepada kebijaksanaan dan kepekaan penterjemah untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada pembaca karya terjemahannya. Ada kalanya teks yang diterjemah tidak sesuai dengan kata padanan yang lazim digunakan dalam budaya masyarakat sasaran, maka terjemahan langsung lebih disarankan penggunaannya.
| Lain-lain | 02.08.2022 |