Tolong beri jawapan tang betul: keping papan atau batang papan Terimakasih | Jawapan, keping papan. Alasannya ialah bentuk papan yang berkeping-keping. Contoh: Sekeping papan lapis. Lihat juga buku penjodoh bilangan yang terdapat di pasaran. T.kasih. | Lain-lain | 14.07.2008 |
sepuluh keping atau helai setem? | Sepuluh keping setem. | Tatabahasa | 14.11.2012 |
Apakah deskripsi yang boleh diberikan kepada kanak-kanak tadika supaya mereka dapat membezakan "helai" dan "keping" kerana keduanya merupakan sesuatu yang nipis dan rata. roti juga lembut walaupun penjodoh bilangan untuk roti adalah "keping". Jadi deskripsi "lembut" mungkin sukar dijelaskan kepada mereka. Adakah "berbentuk segi empat" boleh digunakan sebagai deskripsi untuk membezakan "keping" daripada "helai"? | Tidak semua benda diberikan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan lazimnya mengikut bentuk atau konsep sesuatu benda. Setiap penjodoh bilangan tidak semestinya bergantung pada fizikal tetapi mengikut konteks atau kesesuaian dalam ayat. | Tatabahasa | 12.10.2017 |
Apakah penjodoh bilangan bagi piza (yang belum dipotong)? Saya ingin membuat ayat seperti berikut.. _________ piza dipotong kepada beberapa keping. Saya akan menggunakan penjodoh bilangan "keping" untuk piza yang sudah dipotong. Terima kasih. | Saudari, Untuk makluman, tidak kesemua perkataan memiliki penjodoh bilangan. Bagi soalan yang dikemukakan memadai jika saudari menggunakan ayat seperti yang berikut. 'Piza dipotong kepada beberapa keping.' | Tatabahasa | 09.10.2012 |
Apakah penjodoh bilangan yang betul bagi kertas? Helai, keping atau lembar? | Penjodoh bilangan “helai”, “keping” dan “lembar” boleh digunakan untuk kertas mengikut kesesuaian ayat. | Lain-lain | 10.03.2025 |
Apakah penjodoh bilangan yang betul bagi setem? Adakah helai atau keping? Saya ada melihat di Pos Malaysia yang menggunakan helai tapi ada juga yang menggunakan keping. Harap diperjelaskan. Terima Kasih.... | Penjodoh bilangan yang betul ialah "sekeping setem". | Tatabahasa | 16.06.2011 |
1. Apakah penjodoh bilangan untuk borang penyertaan? (keping atau helai) 2. menjana tenaga elektrik atau menjanakan tenaga elektrik? mana yang betul. minta pencerahan, terima kasih encik/puan. | Jawapan soalan 1: helai atau keping boleh diterima untuk dokumen bercetak, termasuk borang. Jawapan soalan 2: Frasa "menjana tenaga elektrik" adalah lebih gramatis. Bagaimanapun menjanakan tenaga elektrik tidak menjadi satu kesalahan. Sila rujuk olahan menjana dan menjanakan yang terakam pada halaman 866 daripada Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), iaitu: menjana منجان kt [psf: dijana, jana] 1 menghasilkan atau mengeluarkan (wang, tenaga dll): Institut tsb bertanggungjawab menjana tenaga kerja berkemahiran tinggi utk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.Bekalan kuasa elektrik di atas kapal datang drp sumber kuasa yg dijana oleh generator. Janalah pendapatan anda dr rumah sehingga RM100.00 sehari. 2 menyebabkan (sst keadaan, sistem dsb) berlaku atau terlaksana: Tanggungjawab kita mengemukakan idea praktikal utk menjana sistem ekonomi Islam yg realistik. Kemajuan akan dijana oleh pelaburan luar dan juga peruntukan dalaman drp kerajaan. 3 menjadikan (akal atau minda) berfikir dgn baik, kreatif, kritis dsb: Hadis hendaklah dijadikan panduan utk menjana akal kita supaya berfikir pd landasan yg betul. menjanakan منجاناكن kt [psf: dijanakan, janakan] menjana. | Tatabahasa | 27.07.2025 |
Bagaimana terjemah "roti canai double" dan "roti canai triple"? | Cadangan terjemahan bahasa Melayu bagi "roti canai double " ialah “dua keping roti canai” dan "roti canai triple" ialah “tiga keping roti canai”. Padanan terjemahan ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. Untuk makluman puan, pihak DBP tidak melaksanakan kerja penterjemahan, sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing atau sebaliknya. | Penyemakan dan penterjemahan | 21.05.2024 |
selonggok pinggan atau setimbun pinggan ( beberapa keping pinggan yang tersusun) | Longgok bermaksud himpunan atau timbunan. Oleh itu, selonggok pinggan sama maksudnya dengan setimbun pinggan. | Tatabahasa | 01.02.2012 |
Penggunaan penjodoh bilangan bagi 'kertas', lebih tepat menggunakan helai atau keping? 'Jalan' lebih sesuai buah atau batang? Terima Kasih | Yang tepat ialah dua helai kertas. Dua batang jalan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 05.08.2010 |