Yang mana lebih tepat penggunaannya: i. Sila masuk apabila ada urusan ii. Sila masuk jika ada urusan | Puan, Kedua-duanya boleh digunakan pada frasa tersebut. Namun, perkataan jika lebih kerap diguna pakai yang membawa maksud seandainya. Perkataan apabila pula membawa maksud semasa, sewaktu, ketika, bilamana dan apakala. Terima kasih. | Tatabahasa | 08.01.2011 |
I Pasukan Rumah Merah bertegang urat untuk mengalahkan pasukan Rumah Hijau dalam perlawanan itu. II Putus asa hatinya apabila permohonannya untuk berpindah ditolak oleh majikannya. III Baju-baju yang dijual di kedai itu cantik-cantik belaka. IV Ibu risau kerana abang belum balik-balik dari sekolah. JAWAPAN yang diberikan dalam BUKU ialah B iaitu IV sahaja. A I sahaja B IV sahaja C I, II, dan III D II, III, dan IV Mengapakah IV salah, bukankah maksud ayat ialah abang masih belum pulang dengan menggandakan balik-balik? Ada guru yang menjelaskan bahawa I dan II salah kerana penggunaan untuk sepatutnya guna "bagi". Sebenarnya saya tidak dapat terima penjelasan tersebut. | Ayat I betul kerana kata sendi nama untuk dan bagi dapat bervariasi (bertukar ganti) kecuali dalam keadaan menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan, seperti dalam ayat Hadiah ini untukmu (bukan Hadiah ini bagimu). Ayat IV salah kerana balik-balik ialah bahasa percakapan yang bermaksud kerap melakukan perkara yang sama dan bahasa percakapan tidak digunakan dalam situasi rasmi. | Tatabahasa | 11.08.2011 |
“Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” Pasangan “antara – ialah” seperti dalam ayat ini kerap kita temukan dan saya juga menggunakannya. Benarkah penggunaan kata “ialah” dalam ayat ini SALAH? Jika benar, mengapa dan apa pula pasangan yang betul? | Penggunaan kata pemeri "ialah" hadir di hadapan atau sebelum kata nama dalam sesuatu ayat. Misalnya: (i) Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara. (ii) Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. Oleh yang demikian, ayat saudara: Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” betul penggunaannya mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini, demikian kata "ialah" dalam ayat ini menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Walau bagaimanapun, tidak tepat sekiranya sdr mengatakan "antara-ialah" sebagai pasangan. Terdapat juga perkataan "antara" - "dengan". Misalnya; (i) Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. Ayat sdr seperti yang di atas dapat juga dibina seperti berikut: (ii) Antara barang yang kami beli di pasar raya itu termasuk garam, gula, kopi, dan teh. Sekiranya saudara ingin memahami penggunaan kata sendi dan kata pemeri, sdr boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan DBP. | Tatabahasa | 23.02.2009 |
Assalamualaikum. Tuan, saya memohon Tuan dapat memberi penjelasan mengenai dua perkataan di bawah ini kerana saya agak keliru dengan penggunaannya; (i) baru (ii) baharu Melalui pembacaan saya sebelum ini; baru merujuk kepada 'just'. contoh penggunaan: baru sampai, dia baru tersedar, baru sahaja habis. manakala; baharu merujuk kepada 'new'. contoh penggunaan: baju baharu, pengantin baharu, tahun baharu, adik baharu Namun begitu timbul kekeliruan pada saya kerana lazimnya 'baharu' tetap juga ditulis dengan 'baru' seperti yang biasa ditemui: baju baru, pengantin baru, tahun baru, adik baru. Saya mohon Tuan dapat membantu tentang ketepatan penggunaan perkataan 'baru' & 'baharu'. Terima kasih, Tuan. | Pendapat saudara memang benar, kita biasa melihat frasa 'kereta baru' atau 'kereta baharu' dan 'buku baru' atau 'buku baharu'. Oleh itu, kata news kerap diterjemahkan kepada baru atau baharu. Namun begitu berbeza dengan kata just yang lazimnya diterjemahkan kepada baru seperti baru sampai dan baru sebentar tadi. | Tatabahasa | 07.12.2011 |