Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu



Definisi : 1. tidak berair atau sudah tidak berair lagi (bkn saluran air, parit, dll): saluran air yg membekalkan air ke sawah semuanya hampir ~ disebabkan kemarau panjang; 2. tidak basah (lagi) atau lembap (lagi): digosoknya dgn sehelai kain yg ~ hingga berkilat; sudah pun ~ kain yg dijemur itu; ikan ~ ikan yg telah dijemur hingga kering (setelah dibubuh garam dll); kuih ~ sj kuih yg dibuat drpd tepung pulut dan telur (digoreng dan disira dgn air gula); 3. tidak mendapat hujan yg agak mencukupi (bkn daerah, kawa­san, dsb), tidak turun hujan utk jangka waktu yg berpanjangan (bkn musim), kemarau: kawasan ~; musim ~; 4. sudah tidak datang haid lagi; 5. tidak berwang (lagi), habis (wang dll): saya tidak dapat meminjamkan wang kerana saya sendiri pun ~ sekarang ini; 6. habis, putus: sejarah tidak ~ dgn peristiwa; ~-~ air tidak kering sama sekali, lembap; ~ darah(nya) tersirap darahnya (sangat ter­kejut); ~ embun pagi hari kira-kira pukul 8 ­9 pagi; tak ~ gusi tak putus-putus ketawa atau mudah ketawa (kerana kelucuan dll); ~-kelontang (-kerontang, -kontang) kering sama sekali atau tidak berair sedikit pun (bkn tempayan, perigi, dll); ~ kersang kering tidak subur (bkn tanah); ~ ringkai kering sekali (bkn sesuatu yg dijemur); mengering menjadi kering; mengeringi membiarkan supaya menjadi kering (tidak berair), membiarkan kering; mengeringkan menjadikan kering, meng­usahakan (dgn menjemur dll) supaya kering: mereka menggali parit kerana hendak ~ tanah-tanah paya; ikan-ikan itu dikeringkan atau dibubuhi garam sebelum dibawa ke bandar; ~ darah menyirapkan darah (sangat memeranjatkan, mengejutkan); kekeringan 1. perihal (keadaan, sifat) kering; 2. sudah menjadi kering, tidak basah (berair) lagi: semua parit ~ dlm musim kemarau itu; tekak masing-masing ~ kerana kehausan; 3. tidak lagi di laut dll (bkn perahu), terletak di darat (bkn perahu); 4. kehabisan wang; pengeringan perihal (perbuatan dsb) menge­ringi atau mengeringkan: ~ tanah sawah; pengering alat utk mengeringkan (udara dll): ~ rambut alat utk mengeringkan rambut yg basah (selepas mandi dsb); balang ~ balang utk mengeringkan bahan kimia. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Tesaurus
 
kering (adjektif)
1. Bersinonim dengan kemarau: kontang, ringkai, timpas, usang, cerin, cering, kasang, kesang, dangkal, tohor, tidak berair, tidak turun hujan tidak basah, tidak lembap lagi,
Berantonim dengan basah

2. Dalam konteks kiasan
bersinonim dengan pokai, habis duit, tidak berwang lagi,

3. Dalam konteks durian
bersinonim dengan dengkel, tidak berisi,

Kata Terbitan : mengeringkan, kekeringan,

Puisi
 

Kucing kurus menggaru papan,
     Papan bernama papan jati;
Kurus kering bukan tak makan,
     Kurus kering memakan hati.


Lihat selanjutnya...(25)
Peribahasa

Kering pengayuh di tangan,
     kering wang di pinggang.

Bermaksud :

Orang miskin yang harus bekerja setiap masa. (Peribahasa lain yang sama makna: Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang).

 

Lihat selanjutnya...(40)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Apakah maksud bagi simpulan bahasa bawah ini? 1 patah hati 2 kering keringat 3 kering mulut 4 kering gusi 5 kering ringkai terima kasih

Saudara Gan,

Maksud simpulan bahasa yang dikemukakan ialah :

  i. hilang kemahuan;hilang keberanian; tidak hiraukan lagi, kecewa

 ii.  payah sekali; sangat letih;mencurahkan segenap tenaganya

iii.  tidak ada maksud untuk simpulan bahasa kering mulut

iv. tak putus-putus ketawa

v. barang jemuran yang kering sekali

 

Makna03.02.2010
Adakah Kata adjektif yang membawa keserasian makna seperti cantik molek dan kurus kering boleh ditulis secara songsang ? sebagai contoh, molek cantik dan kering kurus.Bentuk gabungan tersebut betul tetapi apabila diterbalik ia tidak lazim digunakan. Contoh cantik molek - sangat cantik dan kurus kering -sangat kurus. Namun begitu, jika diterbalikkan akan membawa makna yang lain contohnya kering kurus - sangat kering.Makna22.02.2018
Penulis yang terkenal itu tidak pernah kering idea untuk menghasilkan karyanya. Adakah penggunaan perkataan 'kering' betul ?Penggunaan perkataan kering dalam ayat boleh digunakan. Namun, perkataan yang lebih tepat digunakan ialah ketandusan idea.Tatabahasa02.07.2013
untuk produk "Freeze Dried Durian" mana satu lebih tepat sama ada "Durian Kering Beku" atau "Durian Beku Kering"Padanan yang lebih tepat bagi Freeze Dried Durian ialah "Durian Kering Beku".Istilah25.06.2018
Salam sejahtera, 1.Kita harus memakai topi keledar supaya kepala kita dilindungi jika kemalangan berlaku / berlaku kemalangan. (kedua-dua boleh diterima?) 2. a.Pak Sani menjirus sayur-mayur. b. Sayur-mayur tumbuh segar. Ayat majmuk : Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tidak layu. atau Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya sayur-mayur tumbuh segar. (ayat mana betul?) 3. Saya dan bapa menyapu daun-daun kering / daun kering di bawah pokok. (daun-daun kering atau daun kering?) Sekian, terima kasih.

1. Kita harus memakai topi keledar supaya kepala kita dilindungi jika kemalangan berlaku / berlaku kemalangan. (kedua-dua boleh diterima?). Kedua-dua ayat tersebut betul

2. a. Pak Sani menjirus sayur-mayur. b. Sayur-mayur tumbuh segar. Ayat majmuk : Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tidak layu atau Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya sayur-mayur tumbuh segar. (ayat mana betul?): Jawapan betul ialah 1. Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tidak layu. 2. Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tumbuh segar

3. Saya dan bapa menyapu daun-daun kering/daun kering di bawah pokok. (daun-daun kering atau daun kering?) Jawapan betul ialah Saya dan bapa menyapu daun-daun kering di bawah pokok

Tatabahasa10.02.2020
Daun-daun kering berterbangan di halaman rumah kerana ditiup angin yang sangat kencang. Adakah ayat ini gramatis?Daun-daun kering berterbangan di halaman rumah kerana ditiup angin yang sangat kencang. Ayat ini tidak gramatis kerana kurang tepat dari aspek makna. Frasa keterangan "ditiup angin yang sangat kencang" lazimnya memberi kesan yang berlebihan, bukan sekadar berterbangan.Tatabahasa28.10.2018
Adakah "Hiasan daun kering itu pada dinding" gramatis?Mohon perjelaskan makna ayat yang ingin disampaikan dalam ayat diajukan. Ayat yang betul dari segi tatabahasa dan mempunyai makna ialah  “Hiasan daun kering itu di dinding”.Tatabahasa13.03.2014
IBU AMIR MENJEMUR PAKAIAN YANG BASAH DI AMPAIAN SUPAYA IA CEPAT KERING.IBU AMIR MENJEMUR PAKAIAN YANG BASAH DI AMPAIAN SUPAYA CEPAT KERING.Lain-lain21.03.2011
Mohon penjelasan tentang maksud 'lembab' dan lembap yang mana membawa maksud masih basah dan tidak kering sepenuhnya.Perkataan yang membawa maksud "masih basah dan tidak kering sepenuhnya" ialah "lembap".Tatabahasa03.03.2015
tuan Ali mrngupas kulit kering luka pada kakinya. (mengupas salah dan perlu digantikan dengan kata?) tuan Ramli tidak tidur semalaman kerana sibuk mengupas idea.( mengupas perlu digantikan dengan kata apa?) TQ banyak2

Ali menanggalkan kulit kering pada luka di kakinya. Sila rujuk kamus untuk mendapatkan makna setiap perkataan dan sesuaikan dengan konteks ayat atau maksud yang hendak disampaikan. Untuk menghasilkan ayat yang gramatis, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Bab 16.

Tatabahasa15.08.2011
12345678

Kembali ke atas