Apakah perbezaan perkataan 'peranan' dan 'fungsi'? | Encik Razali, Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan peranan dan fungsi membawa maksud yang sama. Walau bagaimanapun, penggunaan dalam ayat perkataan ini diguinakan mengikut kesesuaian. Contohnya, i. Fungsi(bukan peranan) mesin itu adalah untuk memotong kertas. ii. Masyarakat juga berperanan (bukan berfungsi) untuk membantu negara mendaulatkan bahasa Melayu. | Makna | 11.02.2010 |
Assalamualaikum. Tuan, dalam kertas mesyuarat saya pernah terjumpa frasa PERINGATAN MESYUARAT. Adakah maksudnya sama dengan MINIT MESYUARAT? Mana lebih tepat antara keduanya mengikut pandangan DBP?Adakah menjadi satu kesalahan gaya penulisan Minit mengikut stail tersendiri?Contohnya mengikut sistem penomboran contohnya Perkara 1 ada pecahan 1.2 atau dipecahkan lagi 1.2.1 dan sebagainya, atau mengikut turutan seperti sistem Jabatan Pelajaran dengan melabelkan Perkara I,II,III,IV sehingga seterusnya. Terima kasih Ismail Hashim-Baling Kedah | Peringatan Mesyuarat sama maksudnya dengan Minit Mesyuarat. Walau bagaimanapun Minit mesyuarat lebih tepat penggunaannya kerana minit merupakan catatan tentang apa yang telah diperkatakan (dibincangkan) atau dipersetujui (dlm mesyuarat, perundingan, dan sebagainya). Gaya penulisan Minit tidak semestinya sama antara semua organisasi. Minit mesyuarat DBP tidak sama 100 peratus dengan minit mesyuarat Kementerian Pelajaran, Intan ataupun Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun, minit mesyuarat yang baik hendaklah mematuhi ciri-ciri berikut: format yang betul (tajuk, maklumat mesyuarat, kehadiran), fakta betul, catatan yang ringkas, bahasa yang mudah difahami (tatabahasa yang betul). | Tatabahasa | 10.04.2011 |
Tuan/Puan, Saya ingin menerbit 15 siri buku-buku dalam Bahasa Malaysia untuk bacaan umum berkenaan dengan barah payudara. Setiap buku sebesar separuh kertas A4 yang berlainan tajuk mengandungi 20-40 mukasurat dengan gambar yang berwarna-warni. Saya berharap ini dapat siap sebelum acara kami pada 29 Oktober 2016. Mohon maklumbalas tuan/puan. Terima kasih. | Tuan boleh menghantar manuskrip yang lengkap kepada Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diusahakan oleh Bahagian Penerbitan yang sesuai. Beliau juga boleh dihubungi melalui talian 03-21479000/01/02 atau e-mel khalik@dbp.gov.my (Tuan Haji Khalik bin Sulaiam). Manuskrip lengkap mestilah mengandungi: (i) bahan awalan (ii) bahan teks (iii) bahan akhiran Untuk mengetahui lebih lanjut akan maklumat yang perlu ada dalam setiap bahan itu, tuan boleh merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP. Setiap halaman manuskrip perlu diberikan nombor secara berturutan. Setiap manuskrip yang dihantar ke DBP akan melalui beberapa peringkat penilaian dan hanya jika didapati sesuai baru boleh diterbitkan oleh DBP. | Lain-lain | 01.09.2016 |
Assalamualaikum, Adakah menjadi kesalahan dari segi tatabahasa sekiranya dalam menulis tajuk kajian, pengkaji memulakan dengan kata kerja? Contoh tajuk: 1. Meningkatkan kemahiran menulis huruf besar dalam kalangan murid tahun tiga melalui kaedah SaSiSu 2. Meningkatkan kemahiran lisan dalam kalangan murid prasekolah melalui aktiviti perbualan pagi. Soalan ini dikemukakan kerana ada ahli bahasa menyatakan tajuk mesti bermula dengan kata nama untuk memenuhi konsep ayat tetapi saya berhujah bahawa tajuk kajian bukannya ayat tetapi frasa kerana: i. tiada subjek dan predikat ii. tidak didahului dan diakhiri dengan kesenyapan. iii. Intonasi ujarannya tidak sempurna. Tolong kemukakan justifikasi: 1. Adakah tajuk kajian berupa ayat atau frasa? 2. Adakah tajuk kajian mesti dimulai dengan kata nama? 3. Adakah tajuk kajian tidak boleh dimulai dengan kata kerja? Terima kasih. | Penulisan kertas kerja sama seperti menulis tajuk buku. Walaupun binaan tajuk bukanlah dalam satu ayat yang lengkap, lazimnya penulisan tajuk ini menggunakan kata nama. Berdasarkan semakan kami dalam data Pusat Dokumentasi Melayu, DBP ditemukan juga tajuk buku/kertas kerja/artikel bermula dengan kata kerja. Walau bagaimanapun terbitan DBP tekal mengguakan kata nama sebagai tajuk karya, kecuali karya kreatif. | Tatabahasa | 09.11.2015 |
1. bila masa yang paling sesuai untuk menggunakan tanda (:) dan ( ; ). 2. mohon kepastian ejaan ketiadaan ketelusan atau ketidaktelusan | Jawapan soalan pertama, tuan boleh merujuk penggunaan kedua-dua tanda baca dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Tanda titik bertindih (:) digunakan seperti yang berikut : (1)pada akhir suatu penyataan apabila diikuti (a) rangkaian atau pemerian, atau (b) penjelasan. Contohnya: (a) Yang kita perlukan sekarang ialah barang-barang yang berikut: kertas, dakwat dan pen. (b) Ketua: Abdullah Salleh Hari : Isnin (2) di antara jilid atau nombor dengan halaman, (ii) di antara bab dengan ayat dalam kitab-kitab, atau (iii) di antara judul dengan anak judul. (3)Digunakan dalam teks drama sesudah kata yang menunjukkan pelaku dalam percakapan. Contohnya: Ibu: “Bawa bungkusan ini, Mir!” Tanda koma bertitik (;) digunakan untuk (1) memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara. Contohnya: Malam makin larut; kamu belum selesai juga. Juga digunakan (2) memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contohnya: Ayah menyiapkan kertas kerjanya, ibu sibuk memasak di dapur; adik menghafal nama pahlawan nasional; saya sendiri asyik mendengar siaran pilihan pendengar. Jawapan soalan yang kedua, kedua-dua ejaan, iaitu ketiadaan ketelusan dan ketidaktelusan betul. Ketiadaan bermakna tidak ada/tidak memiliki keadaan dan sifat berterus terang iaitu tidak ada sifat telus. Manakala ketidaktelusan ialah kata kerja untuk tidak mempunyai sifat telus. | Tatabahasa | 11.03.2014 |
Saya ingin bertanya apakah maksud dan perbezaan penggunaan tanda-tanda seperti berikut (mohon pencerahan berserta contoh) : a) : b) :- c) ; | A)Tanda titik bertindih (:) digunakan seperti yang berikut: 1. digunakan pada akhir suatu penyataan apabila diikuti suatu (a) rangkaian atau pemerian, atau (b) penjelasan. Misalnya: i. Yang kita perlukan sekarang ialah barang-barang yang berikut: kertas, dakwat dan pen. ii. Ketua: Abdullah Salleh. Hari: Isnin 2.digunakan (a) antara jilid atau nombor dengan halaman, (b) antara bab denghan ayat dalam kitab suci, atau (c) antara dengan anak judul suatu karangan. Misalnya: Dewan Sastera, IV(1974),4:9 Surah yasin:9 3.digunakan dalam teks drama sesudah kata yang menunjukkan pelaku dalam percakapan. Misalnya: Ibu : “Bawa bungkusan ini,Mir!” Amir : “Baik,bu.” B)Tanda koma bertitik (;) digunakan seperti yang berikut: 1.Tanda koma bertitik dapat digunakan untuk memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara. Misalya: Malam makin larut; kamu belum selesai lagi. 2.Tanda koma bertitik digunakan untuk memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majluik sebagai pengganti kata penghubung. Misalnya: Ayah menyiapkan kertas kerjanya; ibu sibuk bekerja di dapur; adik menghafalkan nama-nama pahlawan nasional; saya sendiri asyik mendengar siaran pilihan pendengar. Manakala simbol (:- ) tidak digunakan lagi dan digantikan dendan simbol tanda titik bertindih (:). | Tatabahasa | 23.06.2014 |
Assalam Adakah boleh menggunakan tanda baca noktah bertindih diikuti dengan sempang (:-)? Kalau boleh bilakah digunakan? Terima kasih. | Berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Buku Gaya Dewan, terbitan DBP, terdapat 17 tanda baca yang telah digunakan dengan mantap, iaitu tanda koma(,), tanda noktah(.), tanda pisah (-), tanda sempang(-), tanda elipsis (...), tanda titik bertindih (:), tanda koma bertitik (;), tanda soal (?), tanda seru (!), tanda kurung dan kelompok ({[( )]}), tanda kurung (( )), tanda kurung siku ([ ]), tanda kurung dakap ({ }), tanda petik (" "), tanda petik tunggal (' '), tanda garis miring (/) dan tanda penyingkat ('). Setiap simbol/tanda baca ada fungsinya. Tanda titik bertindih (:) digunakan seperti yang berikut : (1) pada akhir suatu penyataan apabila diikuti (a) rangkaian atau pemerian, atau (b) penjelasan. Contohnya: (a) Yang kita perlukan sekarang ialah barang-barang yang berikut: kertas, dakwat dan pen. (b) Ketua: Abdullah Salleh Hari : Isnin (2) di antara jilid atau nombor dengan halaman, (ii) di antara bab dengan ayat dalam kitab-kitab, atau (iii) di antara judul dengan anak judul. (3) Digunakan dalam teks drama sesudah kata yang menunjukkan pelaku dalam percakapan. Contohnya: Ibu: “Bawa bungkusan ini, Mir!” Tanda koma bertitik (;) digunakan untuk (1) memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara. Contohnya: Malam makin larut; kamu belum selesai juga. Juga digunakan (2) memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contohnya: Ayah menyiapkan kertas kerjanya, ibu sibuk memasak di dapur; adik menghafal nama pahlawan nasional; saya sendiri asyik mendengar siaran pilihan pendengar.
| Tatabahasa | 08.01.2020 |