Adakah ayat ini betul? Minta ingatkan kawan kamu untuk bawa kertas warna, gam dan gunting. Terima kasih. | Betulkan ayat itu kepada “Ingatkan kawan kamu untuk membawa kertas warna, gam dan gunting.” | Tatabahasa | 13.09.2018 |
Assalamualaikum. Saya melihat ada jawapan DBP yang tidak konsisten di ruangan khidmat nasihat. Perbezaan jawapan begini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna terutamanya dalam kalangan pelajar. Ingin saya bertanya, jawapan manakah yang paling tepat? Warna kegemaran saya ialah warna biru. atau Warna kegemaran saya adalah warna biru? Terima kasih atas maklum balas daripada pihak DBP. Saya sangat berharap agar DBP sentiasa membuat semakan jawapan agar pengguna tidak bercelaru. Jika rujukan pun kucar kacir, apatah lagi pengguna. Hidup dengan rujukan yang bercelaru ibarat menjunjung buku tanpa kertas. Kulitnya ada tetapi isinya tiada. | Pihak kami ambil maklum berkenaan perkara ini dan akan mengambil tindakan yang selanjutnya. Jawapan yang betul ialah “Warna kegemaran saya ialah warna biru”. Kata pemeri “adalah” tidak betul jika digunakan dalam ayat tersebut kerana kata pemeri “adalah” hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. | Tatabahasa | 10.08.2022 |
Bolehkah ayat-ayat berikut diterima? 1. ‘Baju saya merah.’ Dalam ayat ini, haruskah perkataan ‘berwarna’ hadir di hadapan perkataan ‘merah’ ataupun ayat tersebut boleh diterima tanpa penggunaan perkataan ‘berwarna’? 2. ‘Kertas itu disalah cetak’ atau ‘Kertas itu dicetak salah’ ? 3. ‘Buku ini mahal.’ Dalam ayat ini, haruskah perkataan ‘harga’ hadir di hadapan ‘buku’ ataupun tidak perlu? 4.’Buku itu saya punya’ atau ‘Buku itu kepunyaan saya’ ? | 1. Ayat 'Baju saya merah.' boleh digunakan tanpa menambah perkataan 'berwarna' kerana perkataan 'merah' membawa maksud warna seperti darah. 2. Ayat yang betul ialah 'Kertas itu dicetak salah.' 3. Ayat 'Buku ini mahal.' boleh digunakan tanpa menambah perkataan 'harga' kerana perkataan 'mahal' membawa maksud tinggi harganya. 4. Kedua-dua ayat boleh digunakan.
| Tatabahasa | 30.03.2021 |