Mohon semakan bahasa untuk tema majlis konvokesyen "Aspirasi Graduan PolyCC Tunggak Kesarjanaan TVET Memacu Ekonomi Madani" | Frasa yang sesuai digunakan ialah “Aspirasi Graduan PolyCC Tonggak Kesarjanaan TVET dalam Memacu Ekonomi Madani”. | Tatabahasa | 04.07.2024 |
Untuk soalan sebegini, yang manakah jawapan yang betul? "Adakah ChatGPT akan membunuh semua kemahiran manusia? Apa yang akan terjadi dengan nilai kesarjanaan yang sering diperjuangkan bagi sebuah bidang ilmu? Adakah masih sama seperti dahulu? atau "Adakah ChatGPT akan membunuh semua kemahiran manusia, apa yang akan terjadi dengan nilai kesarjanaan yang sering diperjuangkan bagi sebuah bidang ilmu dan adakah masih sama seperti dahulu?" Terima Kasih. | Jawapan yang betul ialah, "Adakah ChatGPT akan membunuh semua kemahiran manusia? Apa yang akan terjadi dengan nilai kesarjanaan yang sering diperjuangkan bagi sebuah bidang ilmu? Adakah masih sama seperti dahulu?”. | Tatabahasa | 13.04.2023 |
Apakah persamaan dan perbezaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dengan Bahasa Melayu Baku? | Pada umumnya, konsep bahasa Melayu tinggi merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu dalam konteks wacana ilmiah dan berkaitan dengan ketamadunan. Bahasa Melayu menjadi wahana bagi melahirkan idea dan wawasan yang berkaitan dengan kesarjanaan dan kebudayaan. Bahasa Melayu tinggi lazimnya digunakan dalam seminar, persidangan atau kongres yang berkaitan dengan bahasa, budaya ataupun bidang ilmiah yang lain. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I - VII, Prosiding Konvensyen Bahasa Kebangsaan 2001, dan Prosiding Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-2 2006 yang terdapat di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Bahasa Melayu baku ialah bahasa Melayu yang sempurna dari segi penggunaan aspek bahasanya, iaitu ejaan, tatabahasa, istilah, penggunaan kata, laras bahasa dan sebutan. | Tatabahasa | 07.01.2013 |
Jelaskan konsep bahasa tinggi dan bahasa rendah? Adakah bahasa tinggi dikaitkan dengan bahasa penjajah? Dan bahasa rendah dikaitkan dengan bahasa tempat yang dijajah? | Bahasa tinggi ialah bahasa Melayu tinggi yang merujuk penggunaan bahasa Melayu dalam konteks wacana ilmiah dan berkaitan dengan ketamadunan. Bahasa Melayu menjadi wahana bagi melahirkan idea dan wawasan yang berkaitan dengan kesarjanaan dan kebudayaan. Bahasa Melayu tinggi lazimnya digunakan dalam seminar, persidangan atau kongres yang berkaitan dengan bahasa, budaya ataupun bidang ilmiah yang lain. Bahasa rendah (bahasa Melayu rendah) ialah lawan kepada bahasa tinggi. Bahasa rendah tidak dapat digunakan bagi tujuan keilmuan termasuklah berfikir dan berkarya dalam bidang-bidang saintifik, teknikal, teknologi dan falsafah tinggi yang abstrak, konseptual dan kompleks. Bahasa rendah hanya dapat digunakan bagi membaca, memahami, memikirkan dan menulis perkara-perkara yang mudah, cetek, remeh, dangkal dan dungu. | Tatabahasa | 25.03.2015 |