1.Adakah penggunaan 'di' dalam ayat ini tepat: Namun, ada ketikanya para TG menggunakan “okyaku” iaitu pelanggan untuk merujuk PJ di bawah kendaliannya seperti Contoh 12 dan 13 2.Adakah tanda baca sengkang (-) yang digunakan dalam ayat ini betul: atau ayat keua yang menggunakan tanda koma lebih tepat? Begitu juga pada Contoh 13 - TG2 juga turut mengaplikasikan sistem panggilan sapaan formal Okyaku san/Tuan Pelanggan bagi merujuk PJ5 ketika berinteraksi. Begitu juga pada Contoh 13. TG2 juga turut mengaplikasikan sistem panggilan sapaan formal Okyaku san/Tuan Pelanggan bagi merujuk PJ5 ketika berinteraksi | Penggunaan yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Namun, ada ketikanya para TG menggunakan “okyaku” iaitu pelanggan untuk merujuk PJ di bawah kendaliannya seperti Contoh 12 dan 13. (penggunaan di) 2. Begitu juga pada contoh 13, TG2 juga turut mengaplikasikan sistem panggilan sapaan formal Okyaku san/Tuan Pelanggan bagi merujuk PJ5 ketika berinteraksi. (penggunaan tanda koma) | Tatabahasa | 23.11.2020 |
Salam.. Saya ingin kepastian ejaan. Adakala dieja rapat. Tapi bagaimana pula dengan 'adakalanya' atau 'ada kalanya'. Kedua-duanya ditemui dalam kamus. Terima kasih | Ejaan yang betul ialah ada kalanya yang membawa maksud ada masanya (ketikanya), kadang-kadang. | Tatabahasa | 24.11.2017 |
Saya ingin bertanya. Adakah penggunaan "salah satu" merupakan satu bentuk kesilapan tatabahasa? Guru bahasa Melayu saya pernah menyatakan bahawa penggunaan "salah satu" tidak tepat menurut hukum tatabahasa. Mohon penjelasan. Terima kasih. | Frasa "salah satu" banyak ditemukan dalam data korpus bahasa Melayu dan ini menunjukkan penggunaannya telah mantap dalam kalangan pengguna bahasa. Namun ada ketikanya frasa "salah satu" boleh digantikan dengan kata sendi nama "antara" berdasarkan konteks penggunaannya dalam ayat. | Tatabahasa | 27.02.2015 |
1. Apakah ejean yang tepat untuk Yang Berbahagia, Yang Berusaha, YBhg atau YBhg.,YBrs atau Y.Brs. atau YBrs. 2. Jika ejaan bagi screw ialah skru, bukan skrew. Dengan demikian crew harus dieja kru bukan krew. Ejaan tidak seragam antara TV3, RTM dan akhbar. Sila beri penjelasan. 3. Saya masih keliru tentang penentuan waktu. Saya pernah merujuk dgn BDP pada awal tahun 2000. Petang bermula pada pukul 2.00 hingga 6.59 petang. Malam bermula dari pukul 7.00 hingga 11.59 malam. Penentuan waktu ini tidak seragam. TV3 menggunakan petang dari pukul 1.00 hingga 7.00 petang. Ada ketikanya 7.30 pun masih petang. Boleh tuan jelaskan tentang penentuan waktu ini. Terima kasih. | YBhg. Datuk, i. Ejaan yang tepat ialah YBhg. dan YBrs. ii. Sehingga kini tiada pembentukan kata kru atau krew. Padanan yang digunakan ialah petugas, pekerja atau anak kapal. 3. Pukul 12.00 hingga 1.59 ialah tengah hari; 2.00 hingga 6.59 ialah petang; 7.00 hingga 11.59 ialah malam; 12.00 hingga 12.59 ialah tengah malam; 1.00 hingga 11.59 ialah pagi. Dicadangkan semua stesen penyiaran di bawah Kementerian berkenaan bertemu dan membuat satu keputusan tentang penyeragaman penggunaan bahasa di semua stesen penyiaran. | Tatabahasa | 13.05.2010 |
Salam sejahtera. Terima kasih atas penjelasan terdahulu. Saya rujuk:'menyarankan' adalah kata kerja yang bermaksud mengemukakan sesuatu pendapat; memberi saran; atau memberi usul. Bagaimana dengan 'sarankan'? Penggunaannya dalam laman web atau bahasa sehari-hari dilihat sbg kata kerja. Adakah 'sarankan' kependekkan tidak formal untuk kata kerja 'menyarankan' (lebih formal)? Adakah 'sarankan' sebenarnya 'menyarankan' dan hanya sesuai digunakan dalam bahasa perbualan dan situasi2 tidak formal? Maklumat untuk 'sarankan' tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Terima kasih. | Sdr. Jeanet, Maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk memberikan jawapan kerana saya terpaksa merujuk beberapa buah kamus sebelum saya menjawab soalan ini. Memang tidak terdapat perkataan sarankan dalam kamus dan saya bersetuju sarankan ada ketikanya digunakan bagi maksud menyarankan. | Tatabahasa | 26.04.2010 |
Bolehkah diperjelaskan perbezaan antara STRATEGI dengan STRATEGIK. | Untuk membezakan kata strategi dan kata strategik, anda perlu tahu makna yang terkandung dalam kata tersebut. Sila fahami takrif kedua-dua kata ini seperti yang terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) di bawah: strategi kata nama 1 perancangan yang dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor atau aspek, dan disertai oleh persediaan yang rapi dan teliti untuk mencapai matlamat atau tujuan yang diingini. Contoh penggunaan: a. Strategi yang berkesan dapat membantu meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi. b. Dalam diam, dia memikirkan beberapa strategi bagi mengatasi pesaingnya. 2 ilmu merancang dan melaksanakan tindak-tanduk peperangan, penaklukan dsb: Contoh penggunaan: Ada ketikanya strategi perang perlu dirahsiakan. 3 taktik atau kaedah dalam peperangan untuk menyerang musuh: Contoh penggunaan: Kemenangan dalam sesuatu peperangan terletak pada strategi dan bukannya pada ramainya tentera yang terlibat. 4 bahasa basahan siasat atau muslihat untuk mencapai sesuatu maksud. strategik kata adjektif 1 (berkenaan kedudukan sesuatu) baik, elok atau sesuai letaknya: Contoh penggunaan: a. Poster dipasang di lokasi yang strategik untuk publisiti yang lebih luas. b. Kedudukan Melaka yang strategik dari segi perdagangan dan keselamatan membantu perkembangannya sehingga terkenal di Timur dan Barat. 2 dalam keadaan berhubungan atau berdasarkan strategi: Contoh penggunaan: Perancangan strategik merupakan salah satu pendekatan pengurusan untuk mencapai kecemerlangan organisasi. Setiap kata mempunyai makna dan kelas kata yang tertentu mengikut konteks dan penggunaannya. Untuk carian pantas berkaitan kata dalam bahasa Melayu, sila layari prpm.dbp.gov.my. | Makna | 19.09.2023 |