Mohon penjelasan manakah yang betul: klinik kesihatan atau Klinik Kesihatan. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah "klinik kesihatan" kerana ia merupakan kata nama am, kecuali apabila menjadi kata nama khas seperti "Klinik Kesihatan Gombak" baharulah ditulis dengan huruf besar. | Tatabahasa | 29.01.2013 |
Soalan ke-55,"Klinik Gigi" yang ditunjukkan pada 07/07/2007 Arkib Pantau Regur bahasa, diterangkan salah dan perkataan yang betul ialah "Klinik Pergigian". Namun, bahagian Arkib soalan (soalan 62) pengguna Web ini menjelaskan Klinik Gigi ialah perkataan yang betul. Ini telah menyebabkan kami keliru, kami amat menghargai penjelasan yang diterangkan oleh pihak DBP,tetapi kami amat harap pihak DBP menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan teliti supaya tidak menjadikan sebarang keliruan. Terima Kasih! | Pergigian bermaksud hal-hal berkaitan gigi. Dalam penamaan premis biasanya menggunakan frasa yang ringkas dan mudah. Contohnya, Klinik Gigi, Klinik Mata, Klinik Kulit. Manakala pergigian biasanya digunakan sebagai contoh Fakulti Pergigian. Oleh itu, kedua-duanya boleh digunakan. | Lain-lain | 20.06.2010 |
salam sejahtera..mana perkataan yang betul digunakan...Klinik Gigi Aina atau Klinik Pergigian Aina? terima kasih tuan.. | Ayat yang betul ialah Klinik Pergigian Aina | Tatabahasa | 09.07.2011 |
Perbezaan Poliklinik dan Klinik. | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, klinik ialah 1. tempat utk memberi diagnosis dan merawat pesakit luar: amat perlu mendirikan ~ di kampung-kampung utk menjaga kesihatan orang-orang kampung; 2. tempat yg serupa yg dianggotai oleh pakar perubatan atau pakar pembedahan yg mengkhusus akan satu atau lebih bidang: ~ mata. Poliklinik pula ialah hospital atau klinik tempat merawat berbagai-bagai penyakit. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 14.05.2009 |
Apakah Imbuhan Asing yang boleh di gunakan untuk perkataan ' klinik' & 'fungsi' ? | Awalan asing seperti pra atau pasca boleh digunakan untuk menerbitkan kata nama untuk membawa maksud tertentu kepada kata yang mengikutinya termasuklah klinik dan fungsi. Contohnya, praklinik dan tatafungsi. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk mengenal pasti awalan mana yang sesuai dengan kata tersebut. | Tatabahasa | 20.05.2013 |
polyklinik pudu, kedai kushen ocean,klinik specialist wong, kedai kain & langsir indah globe, kedai runcit haji haniffa & sons | Tiada soalan dikemukakan. Walau bagaimanapun frasa yang betul ialah Poliklinik Pudu, Kedai Kusyen Ocean, Klinik Pakar Wong, Kedai Kain dan Langsir Indah Globe,Kedai Runcit Haji Haniffa & Sons. Perkataan ocean, indah globe dan & sons tidak diterjemahkan kerana ini merupakan nama khas yang telah didaftarkan. | Tatabahasa | 19.04.2009 |
saya ingin bertanya beberapa kesalahan seperti: 1. S. Y LIM KLINIK SAKIT PUAN DAN BERSALIN 2. DI LARANG MEROKOK... 3. BISMILLAH ECONOMI RESTORAN 4. Bandaraya Kuching 5. KELEDAR INDUSTRI KASUT boleh tidak saya dapatkan pembetulan ayat tersebut dan Menerangkan hukum tatabahasa dengan tepat, disertakan dengan sumber rujukan. saya berharap pihak DBP dapat membantu saya..sekian terima kasih | 1. S. Y LIM KLINIK SAKIT PUAN DAN BERSALIN - ayat yang betul ialah Klinik Sakit Puan dan Hospital Bersalin S.Y. Lim (Hukum DM - yang diterangkan: Klinik Sakit Puan dan Hospital Bersalin; yang menerangkan S.Y. Lim) 2. DILARANG MEROKOK ayat ini betul dan merupakan contoh laras bahasa iklan 3. BISMILLAH ECONOMI RESTORAN - ayat yang betul ialah Restoran Ekonomi Bismillah (sama seperti hukum ayat 1) walau bagaimanapun kami mencadangkan restoran ini diberi nama lain seperti Restoran Fatimah, Restoran Puteri dan sebagainya. 4. Bandaraya Kuching - ejaan yang betul ialah Bandar Raya Kuching 5. KELEDAR INDUSTRI KASUT - ayat yang betul ialah Industri Kasut Keledar (hukumnya sama seperti ayat 1). Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edsis Ketiga. | Tatabahasa | 29.01.2010 |
Saya ingin minta jasa baik pihak DBP dalam menerangkan perbezaan di antara memberi dan memberikan, cth : Klinik Rama telah memberi / memberikan rawatan yang baik kepada anak saya. | Perkataan memberi dan memberikan merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan memberi hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala memberikan hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Penggunaan memberi dalam contoh ayat adalah betul. Dalam contoh yang diberikan penggunaan yang betul ialah memberikan - Klinik Rama telah memberikan rawatan yang baik kepada anak saya. | Tatabahasa | 20.05.2010 |
Salam, adakah contoh2 ini merupakan kata nama am tak hidup institusi? klinik, pertubuhan, kuil, masjid, bank, perhentian teksi, stesen bas. Adakah kesemua kata nama am tak hidup institusi memerlukan kata sendi nama kepada dan daripada di depannya?Adakah itu bermakna penggunaan kata sendi nama dari dan ke dianggap menyalahi ayat tersebut? Boleh tuan/puan berikan contoh lain yang lebih jelas? Terima kasih. | Untuk makluman tuan, kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi nama yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu ialah; di, ke, dari ,d aripada, kepada, pada, bagi dan banyak lagi. Walaupun semua kata sendi nama hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, namun tiap-tiap satu mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan dan penggunaanya ditentukan oleh peraturan khusus. Dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa. Daripada pula di hadapan kata nama atau frasa nama, punca bagi manusia atau institusi, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda, perbezaan atau perbandingan atau menyatakan sebahagian daripada semua, perbezaan, perubahan atau perbandingan. Kata sendi nama "pada" menunjukkan keterangan waktu atau tempat seperti ... bermula pada hari ini .... , manakala kata sendi nama "kepada" untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. | Tatabahasa | 21.11.2013 |
adakah penggunaan perkataan "kondusif" di dalam teks ini adalah tepat? "Membudayakan persekitaran yang bersih, selesa, selamat serta kondusif dapat menggalakkan warga klinik berkerja dalam suasana yang ceria, bersatu- padu, berdisiplin dan berupaya meningkatkan kualiti perkhidmatan disamping menaikkan imej organisasi / jabatan". | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kondusif ialah sesuai, baik dsb utk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu. Oleh itu istilah ini boleh digunakan dan sesuai dengan ayat yang saudara sertakan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesalahan ejaan dalam contoh ayat yang diberikan, iaitu berkerja sepatutnya bekerja, bersatu-padu sepatutnya bersatu padu (tiada tanda sempang), disamping sepatutnya di samping. | Istilah | 08.06.2009 |