Adakah penggunaan kata bahasa yang betul PEKERJA BINAAN MAHIR 1 Pemasang Konkrit Pratuang 2 Pemasang Sistem Acuan 3 Pemasang Sistem Blok 4 Pemasang Kekuda Bumbung 5 Jurulepa 6 Pemasang jubin 7 Penerap Bata 8 Jurubengkok Besi Tetulang 9 Tukang Kayu 10 Tukang Konkrit 11 Pemasang Dinding 12 Pemasang Siling 13 Tukang Cat 14 Operator Jentera 15 Pemasang Perencah 16 Operator Kren 17 Juruambin dan Jurutali 18 Tukang Paip 19 Penjaga Jentera 20 Penyambung Kabel 21 Pendawai 22 Jurukimpal 23 Jurugegas Petrokimia 24 Jurubagas & Jurucat 25 Juru Penyaman Udara & Pengudaraan Mekanikal 26 Penyiasat Tanah? | Sila berikan istilah bahasa Inggeris untuk kami memastikan sama ada padanan bahasa Melayu yang diberikan adalah betul. Hal ini kerana kebanyakan istilah yang diberikan tidak terdapat dalam pangkalan data istilah DBP. | Istilah | 22.11.2016 |
Cikgu, 1. "di dalam keluarga" atau "dalam keluarga"? 2. Kata nama "keluarga" ialah objek abstrak atau objek konkrit? Tolong berikan jawapan berserta dengan penjelasan. Terima kasih. | Frasa yang betul ialah "dalam keluarga", keluarga bukanlah objek konkrit yang mempunyai ruang fizikal yang jelas seperti rumah atau kotak seperti frasa "di dalam rumah" dan "di dalam kotak". | Tatabahasa | 11.05.2014 |
Selamat sejahtera, mohon pencerahan tentang 2 soalan: 1) Apakah beza konkrit "Hingga" dan "Sehingga" ? Adakah Hingga hanya untuk batasan had jelas seperti masa dan harga. Dan Sehingga untuk batasan seperti apa? 2) Apakah padanan perkataan BM yang sesuai untuk "Browse" - contohnya seperti "Browse our products". Adakah "Lihat produk kami" atau ada padanan lain? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 775, sehingga merupakan kata sendi nama yang bermaksud sampai menjadi atau sampai pada sesuatu keadaan; hingga; hinggakan. Oleh itu, hingga dan sehingga mendukung makna yang sama. Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat. Contoh: Pegawai itu berjaga hingga pagi. Manakala, sehingga digunakan sama maksud dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Contoh: Kami akan bersama-sama sehingga akhir hayat. | Tatabahasa | 11.07.2024 |
Saya ingin kepastian berkaitan tatabahasa beberapa ayat serta pertanyaan terjemahan yang akan saya kemukakan di bawah. 1. "Pada tahun 1942, pentadbiran British di Singapura telah menyerah kalah secara rasmi kepada / terhadap Jepun. Kata 'kepada' atau 'terhadap' yang lebih sesuai? 2. "Kedai itu beroperasi di bawah SOP yang ditetapkan" atau "Kedai itu beroperasi bawah SOP yang ditetapkan" Adakah SOP itu konkrit atau abstrak sebab saya keliru dengan penggunaan di kerana di digunakan menyatakan objek konkrit. SOP dikatakan konkrit? 3. Apakah terjemahan sesuai untuk "multiplayer mode" dan "single player mode". Ia merupakan istilah digunakan dalam permainan video. | 1. Jawapan yang betul ialah Pada tahun 1942, pentadbiran British di Singapura telah menyerah kalah secara rasmi kepada Jepun 2. Ya, SOP ialah konkrit. Oleh itu, ayat yang betul ialah Kedai itu beroperasi di bawah SOP yang ditetapkan. 3. Sehingga kini masih belum ada lagi istilah tersebut dalam data kami. Oleh yang sedemikian, sekiranya bersesuaian dengan konteks penggunaaan tuan/puan, kami mencadangkan multiplayer mode ialah mod berbilang pemain, manakala single player mode ialah mod pemain tunggal.
| Lain-lain | 16.10.2020 |
Salam sejahtera saya ucapkan kepada pihak DBP yang saya hormati. Saya ingin menunjuk ajar tentang penggunaan kata sendi "terhadap" dan "tentang/mengenai" dalam penggunaan kata sendi dengan benda abstrak dan benda konkrit. Apa yang saya kelirukan adalah seperti ayat di bawah: Soalan 1: a) Kesan terhadap pertanian b) Kesan tentang/mengenai pertanian Guru saya mengajar saya bahawa jika selepas kata sendi "terhadap" mestilah ada objek konkrit dan selepas kata sendi "tentang/mengenai" mesti mempunyai objek abstrak. Tetapi saya telah banyak merujuk buku lain dan saya mendapati penulis suka sangat menggunakan "terhadap" dengan objek abstrak. Sehubungan dengan itu, saya ingin menanyakan soalan yang kedua. Soalan 2: Pertanian, negara, negeri, daerah, wilayah dan kawasan ialah objek abstrak atau objek konkrit? Jadi apabila kita menggunakan perkataan "dalam" yang berfungsi untuk hadir sebelum objek abstrak, kita menggunakan "di dalam negeri/daerah/wilayah/kawasan, atau dalam negeri/daerah/wilayah/kawasan" ? Sekian sahaja soalan dan masalah saya. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menganalisis soalan saya walaupun sibuk. | Kata sendi nama “terhadap” digunakan digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contoh: i. Seorang ketua harus bersikap adil “terhadap” anak buahnya. ii. Tanamilah rasa belas kasihan “terhadap” binatang. Kata sendi nama “tentang” digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Contoh: i. Mereka berbincang “tentang” masalah negara. ii. Kami perlu merujuk ketua kami dahulu “tentang” kelewatan bayaran. Perkataan “mengenai” tergolong sebagai kata kerja yang bermaksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaan mengenai yang disamakan dengan tentang berfungsi sebagai kata sendi nama. Contoh: Antara laporan yang disediakan itu termasuklah ringkasan mengenai keperluan tenaga manusia dan keperluan kemudahan. Perkataan pertanian, negara, negeri, daerah, wilayah dan kawasan ialah objek konkrit. Oleh itu, perlu digunakan “di dalam”. | Tatabahasa | 27.04.2014 |
Adakah perkataan 'usang' hanya boleh diguna pakai dalam ayat berkaitan benda-denda konkrit seperti rumah, bangunan, jambatan dan sebagainya tetapi bolehkah "usang" diguna untuk pakaian atau kain? | Mengikut kamus usang bermaksud 1. kering dan tidak berisi (padi), kersang (rambut, tembakau, dll); 2. sudah lama benar, lama terpakai atau tersimpan: tikar mengkuang yg sudah begitu ~; 3. sudah tidak biasa lagi dipakai (perkataan, barang, dll), kuno. Oleh itu tidak terhad makna usang untuk benda konkrit sahaja. | Makna | 13.08.2008 |
Tuan, kata sendi nama "terhadap", "di atas" atau "ke atas" patut digunakan dalam ayat di bawah? 1. (a) Saya menyembur baja terhadap tanah. (b) Saya menyembur baja di atas tanah. (c) Saya menyembur baja ke atas tanah. Tuan, jangan terus salahkan penggunaan kata sendi nama "terhadap", kerana di dalam buku Tatabahasa Dewan, "terhadap" boleh digunakan untuk benda konkrit. "Tanah" ialah sejenis benda konkrit, tetapi "tanah" ialah sejenis tempat", jadi "di atas" dan "ke atas" lebih sesuai pada pandangan saya. Apakah pandangan tuan? Minta sertakan penerangan tuan juga. Terima kasih. | Kami berpandangan frasa yang betul ialah "ke atas" dan "di atas". Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata arah yang didahului kata sendi nama digunakan apabila menunjukkan hala atau jurusan. | Tatabahasa | 04.12.2014 |
Assalamualaikum tuan. Saya ingin mendapatkan kepastian kerana takut tersilap. Berdasarkan gambar yang saya lampirkan, bolehkah pihak tuan senaraikan kata nama am konkrit, kata nama am abstrak, binaan frasa dan klausa yang didapati dalam petikan tersebut? Terima kasih tuan. | 1. Kata nama am konkrit contohnya, ‘badan’, ‘orang’, ‘tubuh’ dan lain-lain. Kata nama am abstrak pula contohnya ‘kesihatan’, ‘segar’, ‘kecergasan’, ‘penyakit’ dan lain-lain.1"> 2. Contoh binaan frasa dan klausa dalam petikan tersebut ialah (sukan (FN) + (memainkan peranan yang penting (FK) + untuk kesihatan badan dan kecerdasan otak (Frasa keterangan tujuan) . Untuk memahami lebih lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 04.03.2019 |
Salam tuan/puan, Saya mempunyai kekeliruan untuk membezakan kata nama am tak hidup institusi (KNATHI) dengan kata nama am tak hidup bukan institusi konkrit (KNATHBIK). Ya, saya sudah merujuk tatabahasa dewan. Tetapi, 0aya masih kurang jelas. Adakah KNATHI bermaksud kesemua contohnya mesti hadir selepas 'daripada' dan 'kepada'? Jika ayat begini, adakah salah? 1. Mereka pergi ke pejabat pendaftaran untuk membuat kad pengenalan baharu. 'Pejabat pendaftaran' dalam ayat itu dikira KNATHI atau KNATHBIK? Bukankah pejabat pendaftaran dikira sebagai satu organisasi/badan yang menguruskan bahagian pendaftaran negara dan sebagainya? Tetapi, dalam ayat itu digunakan KSN 'ke' bukan 'kepada'. Jadi, bagaimana? Penting bagi saya untuk tuan/puan jelaskan dengan terperinci. Saya merupakan penulis buku. Jadi, jika salah maklumat yang diberikan/keliru, maka salah juga maklumat yang akan diterima pembaca. Terima kasih. | Pengelasan kata nama am tak hidup institusi (KNATHI) dan kata nama am tak hidup bukan institusi konkrit (KNATHBIK) diterangkan dengan jelas dalam Tatabahasa Dewan halaman 99-100. KNATHI dikenal pasti melalui kehadiran kata sendi nama (KSN) kepada dan daripada sebelum KNATHI, manakala KNATHBIK didahului oleh KSN ke dan dari. (1) Sumbangan buku iti telah diserahkan kepada sekolah (sekolah ialah KNATHI) (2)Kebanyakan murid berbasikal ke sekolah (sekolah ialah KNATHBIK) Kata sekolah dalam ayat (1) menjadi KNATHI kerana didahului kepada, kata sekolah dalam ayat (2) menjadi KNATHBIK kerana didahului ke. Yang penting perlu difahami bahawa KNATHI merujuk badan atau institusi yang bersifat tidak hidup tetapi mendukung makna am manakala KNATHBIK konkrit sifatnya dan kebanyakkan KNATHBIK merujuk tempat. | Tatabahasa | 19.11.2014 |
Tuan DBP, tolong beritahu saya frasa di bawah yang manakah adalah betul. 1. patuh akan perintah Allah 2. patuh kepada perintah Allah Berdasarkan pembelajaran Tatabahasa saya, "akan" digunakan jika belakang "akan" terdapat objek abstrak seperti perkataan "perintah" iaitu objek abstrak yang terdapat di atas. Manakala "kepada" pula belakangnya mesti ada objek bernyawa dan objek konkrit. Tolong saya selesaikan kekeliruan saya ini. Terima kasih banyak-banyak! | Ayat yang gramatis ialah "patuh kepada perintah Allah". Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif.
| Tatabahasa | 29.04.2014 |