Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu



Definisi : ; ~ andelan sj tumbuhan (pokok), kacang kota, ketepeng hutan, Cassia occidentalis; ~ arab sj tumbuhan (herba, buahnya dijadikan sayur dan bijinya sbg pengganti kopi), kacang (sayur) bendi, kacang lendir, Hibiscus esculentus; ~ hutan sj tumbuhan (pokok renek), dada kura, kahwa hutan, lidah rusa, mempulih, mengkudu badak, pakan paya, Fagraea racemosa. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata kopi II


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "segar" dengan betul. I. Peristiwa lucu itu masih segar dalam ingatannya. II. Ayah suka makan buah-buahan segar untuk mengalas perut. III. Udara di kaki bukit pada waktu pagi sungguh nyaman dan segar. IV. Badan Ali kembali segar setelah dia mandi di perigi itu. A. I dan IV sahaja B. I, II dan III sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV 2. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mencecah" dengan betul. I. Cikgu Ujang menegur Saidin kerana rambutnya mencecah telinga. II. Adik mencecah hujung jari telunjuknya pada permukaan air yang sejuk itu. III. Datuk mencecah biskut dengan air kopi sewaktu minum petang. IV. Air sungai itu telah mencecah paras bahaya. A. I dan III sahaja B. I, II dan IV sahaja C, II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV

Sdr. Ong,

Bagi soalan pertama jawapannya ialah D, semuanya betul. Manakala soalan kedua pula jawapannya ialah B, i,ii,dan iv.

Tatabahasa08.04.2010
Istilah melayu untuk kopi "cold brew" dan "cold drip"?Salam sejahtera,

Kami mencadangkan:

  (I)  cold brew kepada bru sejuk

  (ii)  cold drip  kepada drip sejuk


Tetapi terjemahan ini perlu disesuaikan juga dengan penggunaannya.

Sekain, terima kasih.

Penyemakan dan penterjemahan24.10.2017
Sila jelaskan fungsi 'kurang' dalam ayat ini, iaitu Kopi ini 'kurang' manis, adakah 'kurang' ini merupakan kata penegas atau bukan?
Kata penegas yang disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu: (i) Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, -kah, -tah, dan -lah. (ii) Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang. Perkataan-perkataan begitu dan banyak boleh menjadi kata penegas apabila menerima proses pendepanan, seperti contoh: banyakkah dan begitulah.
Tatabahasa07.04.2017
Saya ingin mengetahui tentang tugas, peranan dan tanggungjawab seorang editor di dalam sesebuah penerbitan

Saudara,

            Dalam sesebuah penerbit, tugas, peranan dan tanggungjawab seseorang editor itu bergantung pada kerja yang dilakukan oleh mereka. Maksudnya, editor itu sendiri terdiri daripada beberapa kategori, contohnya, Ketua Editor, Editor Kanan, Editor Perolehan, Editor Substantif, Editor Kopi/Naskhah dan Editor Pengeluaran. Peranan mereka bergantung pada kerja yang dilakukan seperti yang berikut:

             (i)   Ketua Editor akan mengetuai kumpulan editor dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perancangan penerbitan dan belanjawan tahunan secara keseluruhan.

             (ii)  Editor Kanan pula akan membantu Ketua Editor menjayakan kerja penerbitan dan mengawasi editor lain di bawaha pengawalannya.  

             (iii)  Editor Perolehan akan bertanggungjawab merancang penulisan judul baharu, mengenal pasti penulis, menguruskan perjanjian dengan penulis, menilai mutu manuskrip, mencadangkan cetak semula judul yang ada, meramal jualan, membuat anggaran kos perbelanjaan, membuat laporan cadangan projek dan menganggarkan jumlah cetakan dan harga jualan.

             (iv)  Editor Substantif ialah editor yang bertanggungjawab terhadap isi kandungan dan keseluruhan bentuk, susunan dan konsep buku. Tugasnya ialah menumpukan perhatian kepada perincian kandungan (memeriksa fakta) dan gaya persembahan daripada baris ke baris, perenggan ke perenggan dan halaman ke halaman.  

             (v)   Editor Kopi/Naskhah pula bertanggungjawab terhadap penyediaan manuskrip untuk ke bahagian pengeluaran. Tugas mereka ialah menyunting manuskrip daripada setiap ayat demi ayat, baris demi baris dan perenggan demi perenggan. Seterusnya memerikasa fakta dengan pakar bidang, membetulkan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca, meneliti keselarasan dan gaya persembahan dan akhirnya membuat penandaan manuskrip untuk diatur huruf. 

              (vi)   Editor Pengeluaran akan memastikan kerja atur huruf, semakan pruf dan Naskhah Sedia Kamera(NSK) serta penetapan harga dilakukan sebelum judul dicetak.  

 

Diharap maklumat ini dapat membantu saudara. Hubungi saya di talian 03-21481532 atau e-mel kamsiah@dbp.gov.my untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Teriama kasih. 

Lain-lain25.10.2010
Bagaimana menggunakan tanda titik koma dengan betul dalam ayat,bagaimana ingin membezakan tanda baca titik koma dengan tanda baca koma dalam ayat,mengapa tanda baca ini jarang digunakan dan sila nyatakan beberapa contoh ayat yang mengandungi tanda baca titik koma.

Dibetulkan istilah tanda baca, daripada 'titik koma' kepada 'koma bertitik'.

Tanda koma bertitik (;) digunakan apabila:
(a)  memisahkan dua atau beberapa klausa dalam satu ayat. Contohnya: (i) Membaca menambah ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. (ii) Malam makin larut; kerja masih banyak.
(b)  memisahkan klausa induk daripada klausa atau frasa yang bermula dengan kata hubung juga, walau bagaimanapun, di samping itu, oleh yang demikian, sesungguhnya, dan sebagainya. Contohnya: (i) Harga barang-barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik. (ii) Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuklah pendekatan psikologi; pendekatan androgogi; dan pendekatan sinergogi.

(c)  memisahkan klausa yang bersiri yang berlainan maklumat dalam satu ayat yang lengkap. Contohnya: kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur; kepada mereka yang cedera, diminta bersabar; dan kepada keluarga mereka yang gugur, diucapkan takziah.

Tanda koma (,) digunakan:

(a)   sebagai unsur pemisah.

(b)   sebagai unsur yang mengapit keterangan subjek, predikat atau objek. Contohnya: (i) Duit syiling itu jatuh, dan sebelum sempat dipungutnya, bergolek laju ke dalam lubang. (ii) Pagi tadi, sebelum datang ke sini, saya singgah sebentar di pejabat. (iii) Lima belas orang, termasuk dua orang wanita, telah menyertai bengkel itu.

(c)   mewujudkan ada perkataan yang telah dihilangkan. Contohnya: Saya mahu kopi. Dia, teh tarik.

Tanda koma bertitik jarang digunakan, mungkin disebabkan pengguna kurang faham.

Perbezaan penggunaannya tidak ketara, boleh menggunakan sama ada tanda koma atau koma bertitik untuk memisahkan beberapa klausa dalam ayat. Kecuali, jika dalam beberapa klausa ada penggunaan tanda koma.

Lain-lain04.03.2012
“Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” Pasangan “antara – ialah” seperti dalam ayat ini kerap kita temukan dan saya juga menggunakannya. Benarkah penggunaan kata “ialah” dalam ayat ini SALAH? Jika benar, mengapa dan apa pula pasangan yang betul?

Penggunaan kata pemeri "ialah"   hadir di hadapan atau sebelum kata nama dalam sesuatu ayat. Misalnya:

(i) Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.

(ii) Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Oleh yang demikian,  ayat saudara: Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….”  betul penggunaannya mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini, demikian kata "ialah" dalam ayat ini menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.

Walau bagaimanapun, tidak tepat sekiranya sdr mengatakan  "antara-ialah" sebagai pasangan.  Terdapat juga perkataan "antara" - "dengan". Misalnya;

(i) Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya.

Ayat sdr  seperti yang di atas dapat  juga dibina seperti berikut:

(ii)  Antara barang yang kami beli di pasar raya itu termasuk garam, gula, kopi, dan teh.

Sekiranya saudara ingin memahami  penggunaan kata sendi dan kata pemeri, sdr boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan DBP. 

Tatabahasa23.02.2009
Terangkan penggunaan tanda koma sebelum atau selepas perkataan kecuali.

Tanda koma (,) digunakan:

(a)   sebagai unsur pemisah.

(b)   sebagai unsur yang mengapit keterangan subjek, predikat atau objek. Contohnya: (i) Duit syiling itu jatuh, dan sebelum sempat dipungutnya, bergolek laju ke dalam lubang. (ii) Pagi tadi, sebelum datang ke sini, saya singgah sebentar di pejabat. (iii) Lima belas orang, termasuk dua orang wanita, telah menyertai bengkel itu.

(c)   mewujudkan ada perkataan yang telah dihilangkan. Contohnya: Saya mahu kopi. Dia, teh tarik.

Lain-lain08.02.2019

Kembali ke atas