pohon pencerahan apa maksud koreksional | Tidak ada perkataan koreksional dalam bahasa Melayu. Jika koreksional merupakan terjemahan correctional, penggunaan kata yang betul ialah pembetulan atau pemulihan. | Makna | 05.05.2015 |
Salam 1 Malaysia, Saya mahu bertanya berkenaan dengan maksud perkataan koreksional di dalam ayat " Menjadi sebuah organisasi koreksional bertaraf dunia menjelang 2020 ". | Koreksional tiada dalam bahasa Melayu. Perkataan yang sama erti dengan perkataan tersebut ialah pemulihan. | Makna | 15.04.2010 |
Muhamad Asyraf Yahaya Di Dungun, Terengganu ada satu pusat dinamakan dlm bahasa melayu "Pusat Koreksional". Agak DBP la betulke perkataan Koreksional tu??? In english mmg la dipanggil Correctional Center yg mana nama baik bagi "PENJARA" tp betul ke direct tukar nama camtu? | Dalam proses memperbanyak dan memperkaya perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu, kaedah peminjaman kata daripada bahasa asing khususnya daripada bahasa Inggeris diamalkan dengan pengubahsuaian ejaan kata tersebut ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang-bidang khusus. Walau bagaimanapun terdapat kecenderungan pengguna untuk menggunakan kata pinjaman dalam semua konteks penggunaan. Bagi perkataan koreksional pula, pihak kami telah pun menghantar surat teguran kepada pihak berkenaan supaya tindakan pembetulan dibuat. Koreksional tiada dalam bahasa Melayu. Perkataan yang sama erti dengan perkataan tersebut ialah pemulihan. | Lain-lain | 27.02.2015 |
Salam Sejahtera, Saya akan mengadakan kursus di sebuat institut yang bernama Akdemi Koreksional, setelah di rujuk, tiada istilah "koreksional" di dalam Kamus rujukan DBP. Menurut laman DBP, teguran telah di lakukan kepada Akdemi tesebut, apakah maklum balas akademi Tersebut? Mohon pihak DBP memperbetulkan penggunaan istilah tersebut terutamanya bagi sesebuah institut kendalian kerajaan. *persoalan dan cadangan ini merupakan persoalan individu dan tidak mewakili jabatan pihak saya, harap maklum | Untuk makluman tuan, pihak Jabatan Penjara telah menghantar surat berhubung dengan penggunaan perkataan koreksional dalam hal penamaan akademi tersebut. DBP tidak bersetuju dengan penamaan tersebut, sebaliknya mencadangkan penggunaan perkataan lain, iaitu pemulihan. Sebanyak dua kali pihak Jabatan Penjara berurusan dengan DBP melalui surat, namun DBP kekal dengan keputusan untuk tidak menerima penamaan tersebut. Kami mengucapkan terima kasih atas pandangan dan cadangan tuan dan hal ini akan kami timbulkan semula dalam pemantauan jabatan kerajaan. | Lain-lain | 24.04.2015 |
Salam Sejahtera, Adakah papan tanda bagi sektor awam disemak oleh pihak DBP? Sebagai contoh, Pusat Koreksional Jabatan Penjara yang menggunakan perkataan Koreksional yang saya rasa adalah Bahasa Inggeris yang diMelayukan. | Waalaikumussalam, Setiap papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu perlu dirujuk di DBP untuk pengesahan bahasa Melayu yang betul dan baik manakala penamaan bagi sesuatu nama khas adalah ditentukan sendiri oleh organisasi kerajaan tersebut dan sekiranya organisasi tersebut merujuk terlebih dahulu kepada pihak DBP bagi sesuatu penamaan, pihak DBP akan memberikan cadangan penamaan yang baik dan betul. Hasil carian perkataan koreksional masih belum ada dalam pangkalan data kami. | Makna | 12.11.2018 |
Assalamualaikum encik, Saya ingin bertanya tentang ejaan jawi bagi "Pusat Koreksional Kamunting" Kerjasama daripada pihak tuan amat dihargai, Sekian terima kasih. | ڤوست كوريك سااونل كمونتيڠ | Ejaan | 24.01.2019 |
Assalamualaikum, Maafkan saya sekiranya soalan saya ini telah menyinggung mana2 pihak. Saya bukanlah Pakar Bahasa, tetapi saya rasa sedikit kecewa dan terkilan. Boleh tak saya dapatkan penjelasan, apakah rasionalnya kita me"Melayu"kan perkataan2 bahasa inggeris yang mana terdapat istilah Melayu yang tepat untuk maksud perkataan2 tersebut. Antara perkataan2 yang dikenalpasti dan digunakan secara meluas adalah : -diskusi (discussion) -dekorasi (decoration) -kolaborasi (collaboration) -dedikasi (dedicate) Yang amat mengecewakan saya adalah perkataan "KOREKSIONAL", yang telah digunapakai dalam akhbar arus perdana. Menurut petikan akhbar tersebut, ia bermaksud "pembetulan" yang diambil dari perkataan "correctional" merujuk kepada pengurusan Penjara. harap maklum. | Dalam proses memperbanyak dan memperkaya perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu, kaedah peminjaman kata daripada bahasa asing khususnya daripada bahasa Inggeris diamalkan dengan pengubahsuaian ejaan kata tersebut ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang-bidang khusus. Walau bagaimanapun terdapat kecenderungan pengguna untuk menggunakan kata pinjaman dalam semua konteks penggunaan. Bagi perkataan koreksional pula, pihak kami telah pun menghantar surat teguran kepada pihak berkenaan supaya tindakan pembetulan dibuat. | Istilah | 30.04.2010 |