| Bagaimana menulis Kota Damsyik atau Kota Makkah. Perlukah menggunakan huruf besar pada pangkal Kota? | Ejaan yang digunakan ialah Mekah atau Makkah, atau lazimnya disebut kota suci Mekah. Oleh itu, huruf "k" bagi "kota" hendaklah ditulis menggunakan huruf kecil bagi kota Makkah. Begitu juga dengan kota Damsyik. | Tatabahasa | 18.03.2013 |
| Apakah perbezaan bandar, bandar raya, dan kota raya? Bolehkah "city" diterjemahkan kepada kota raya bagi istilah pelancongan? | Bandar ialah tempat atau pusat yang ramai penduduknya dan terdapat banyak urusan dan perniagaan dijalankan. Bandar Raya ialah yang besar lagi penting yang biasanya mempunyai penduduk seramai sejuta orang atau lebih atau digelar juga sebagai kota raya. Kota Raya ialah bandar raya yang besar. Berdasarkan makna ketiga-tiga perkataan tersebut tidak ada perbezaanya. Oleh itu, istilah kota raya boleh digunakan dalam istilah pelancongan kerana membawa makna yang sama. | Istilah | 18.09.2020 |
| Tepatkah penggunaan huruf besar / kecil untuk ayat yang bertanda " "berikut: Noni tinggal di "bandar raya Kota Bharu Islam / Islamik"? | Kota Bharu Bandar Raya Islam . | Tatabahasa | 07.03.2007 |
| persoalan berkaitan penggunaan perkataan mahkamah syariah dalam ayat perlu huruf besar ke? contoh ayat: didapati kes tersebut diadili di mahkamah syariah petang esok. Bagaiman pula penggunaan dalam ayat ini Mahkamah Syariah Kota Bharu perlu huruf besar ke terima kasih | Perkataan mahkamah syariah tidak perlu dieja dengan huruf besar kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Walau bagaimanapun, jika perkataan tersebut digandingkan dengan nama tempat, negeri atau yang seumpamanya, maka perkataan tersebut menjadi kata nama khas dan perlu dieja dengan huruf besar. Contohnya, Mahkamah Syariah Kota Bharu. | Tatabahasa | 29.07.2020 |
| Salam. Adakah penggunaan kata nama khas pada ayat berikut, betul? 1. Bandar Ruili, Wilayah Yunan di *barat daya China* yang bersempadan dengan Myanmar, mengalami kerosakan akibat gempa bumi. 2. Chongqing, dikenali sebagai "Bandar Gunung" dan "Kota Sungai," ialah sebuah kota yang meriah di *Barat Daya China* (Southwestern China) yang kaya dengan sejarah 3,000 tahun. Terima kasih | Dalam Kamus Dewan Perdana, “barat daya” merujuk arah mata angin antara barat dengan selatan. Oleh hal yang demikian, barat daya China tidak dieja dengan huruf besar pada huruf pertama nama am yang tidak ada kaitan dengan geografi. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP: 2020) dan buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (DBP: 1992). | Tatabahasa | 22.05.2026 |
| MAKNA PERKATAAN "SENTOSA" DAN "VILLA" SECARA TERPERINCI. | Sentosa bermaksud aman dan tenteram,bebas daripada segala bencana,sejahtera, selamat. Vila bermaksud rumah yang besar dan mewah yang terletak di luar kota atau di tempat peranginan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1456 dan 1790. | Makna | 06.03.2008 |
| Adakah istilah berikut merupakan kata nama khas dan perlu ditulis dengan huruf besar?: Madinah Nabawi Madani Nabawi Contoh ayat: 1. Apabila membicarakan Madinah Nabawi, perhatian sering tertumpu kepada pembinaan masyarakat, penginstitusian keadilan, pengurusan kemajmukan, atau pembentukan akhlak. 2. Apabila kita berbicara tentang keantarabangsaan madani nabawi, kita sebenarnya sedang meneliti bagaimana sebuah kota yang dibina di satu kawasan geografi tertentu dapat melahirkan idea dan nilai yang melampaui geografinya. | Perkataan Madinah Nabawi ialah kata nama khas dan ditulis dengan huruf besar bagi pangkal perkataan. Untuk maklumat lanjut tentang penggunaan huruf besar dan kecil, sila rujuk Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 147. | Tatabahasa | 05.05.2026 |
| Salam sejahtera, saya nak bertanya tentang penggunaan kata nama khas. Jika perkataan pekan Umbai dalam ayat, adakah penulisannya Pekan Umbai atau pekan Umbai? Perkataan pekan tu perlu huruf besar atau kecil? Begitu juga dengan kampung umbai, daerah Segamat, adakah kampung dan daerah itu perlu huruf besar atau kecil? Soalan kedua, perkataan utara, selatan, pantai timur, yang merujuk kepada kawasan di Malaysia, adakah perlu huruf besar? Adakah ia kata nama khas? | JAWAPAN: SOALAN 1 Kata nama khas merujuk khusus kepada nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bahasa, pangkat dan lain-lain. Dalam penulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis menggunakan huruf besar. Kata nama khas boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula boleh dibahagikan lagi kepada kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Contohnya: Manusia: Hang Tuah, Fatimah, Profesor Ahmad Bukan Manusia: Jibrail, Tompok, Kancil Berdasarkan huraian kata nama khas ditulis meggunakan huruf besar, maka yang betul ialah Pekan Umbai, Kampung Umbai dan Daerah Segamat. Rujukan: Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman: 96-97. JAWAPAN: SOALAN 2 Kata nama khas tak hidup pula merujuk benda-benda yang khusus tetapi bukan hidup, misalnya nama-nama benda, institusi, negara, tempat, bangsa, bahasa, pangkat dan undang-undang. Contohnya: Menara KL, Jalur Gemilang, Proton Saga, Kota Bharu, Malaysia, Bintulu Perkataan yang merujuk kawasan, wilayah atau geografi di Malaysia juga perlu ditulis menggunakan huruf besar dan merupakan kumpulan kata nama khas tak hidup. Oleh itu, penulisan yang betul ialah Utara, Selatan, Pantai Timur. Rujukan: Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman: 97-98. | Tatabahasa | 17.04.2026 |
| adakah perkataan jenayah canggih sesuai digunakan dalam satu-satu ayat. Sila berikan cadangan terbaik bagi ayat berikut: Dimana sekarang dikota jenayah-jenayah besar dan canggih sedang meningkat | Berdasarkan konteks ayat yang telah diberikan oleh saudara, "jenayah canggih" tidak sesuai digunakan. Di bawah ini dicadangkan contoh ayat yang sesuai digunakan: Jenayah berlaku secara berleluasa di ibu kota. | Lain-lain | 25.09.2007 |
| Adakah terdapat perbezaan maksud di antara "stesen bas" dengan "terminal bas"? Contoh: Terminal Bas Putra (Kuala Lumpur), Stesen Bas Kota Bharu (Kelantan), Terminal Bas Bersepadu Selatan (Kuala Lumpur). | Terminal juga bermaksud stesen atau hentian. Walau bagaimanapun lazimnya stesen digunakan untuk hentian yang agak kecil seperti Stesen Bas Kuala Lipis, manakala terminal digunakan untuk hentian yang besar atau tempat transit untuk pelbagai jenis pengangkutan seperti Terminal Bersepadu Selatan. | Tatabahasa | 21.09.2012 |