1. Jarak antara Kota Bharu dengan Kuantan lebih kurang lima jam perjalanan. 2. Jarak di antara Kota Bharu dengan Kuantan lebih kurang lima jam perjalanan. Ayat yang mana betul? Beza antara dan di antara? Mohon penjelasan. | Frasa sendi nama di antara digunakan apabila kata antara berfungsi sebagai kata nama. Frasa sendi nama di antara hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. Contohnya: 1. Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya. 2. Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura. 1. Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: 1. Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. 2. Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. 2. Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah... (betul). Antara lagu-lagu persembahannya ialah... (salah) 3. Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalamai penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. 4. Kata sendi nama antara boleh juga diikuti oleh bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh, seribu dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, dan kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, ketiga-tiga, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu jauh perbezaannya. 5. Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara mereka, banyak persamaannya. Jawapan- Ayat nombor dua lebih tepat | Tatabahasa | 31.08.2015 |
boleh tak tolong perbetulkan puisi yang saya buat ini? aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya dibawah sinaran cahaya bulan dibawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakamlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahayasesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini... bantuan dari pihak tuan amat saya hargai... terima kasih | aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya di bawah sinaran cahaya bulan di bawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakanlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahaya sesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini Ulasan: Secara umum puisi yang dihasilkan oleh adik baik dan adik harus terus menulis lagi untuk memantapkan gaya penulisan. Selain itu, adik boleh merujuk atau membaca buku-buku puisi untuk menghayati dan mempelajari gaya penulis seseorang penyair. DBP berharap adik terus menulis. Sekian terima kasih.
| Lain-lain | 20.12.2008 |
Saya berminat menulis dan menerbit buku-buku berasaskan suku kaum Rungus. Apa kah syarat-syarat nya? | DBP sentiasa membuka peluang kepada warga karyawan untuk berkarya. Oleh sebab sdr menetap di Sabah, sdr boleh berhubung terus dengan Pegawai Komunikasi DBP Cawangan Sabah, Puan Nelawati Ngadul di talian 088-439260 atau menulis surat kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah, Kompleks DBP Sabah, Telok Likas, 88873 Kota Kinabalu, Sabah. | Lain-lain | 15.09.2009 |