Yang manakah antara berikut adalah benar?mengapa? a) Semua orang boleh pergi asal sahaja kuat semangat. b) semua orang boleh pergi asal kuat semangat sahaja. | Ayat yang lebih persis ialah semua orang boleh pergi asal sahaja kuat semangat. Perkataan "asal sahaja" di sini bermaksud dengan syarat. Oleh itu perkataan "sahaja" hendaklah diletak selepas "asal" untuk membawa maksud dengan syarat. Walau bagaimanapun, ayat (b) boleh digunakan tetapi membawa makna yang berbeza sedikit. Perkataan "sahaja" di sini bermaksud "hanya" , iaitu hanya dengan kuat semangat, semua orang boleh pergi. | Makna | 17.02.2010 |
assalamualaikum.. saya ingin bertanya pada pihak tuan tentang satu perkara yang menjadi kemusykilan pada saya.. diharap pihak tuan sedia membantu saya..(^_^) Manakah antara ayat dibawah betul? mengapa? 1. Semua orang boleh pergi asal sahaja kuat semangat. 2. Semua orang boleh pergi asal kuat semangat sahaja. | Ayat yang lebih tepat ialah semua orang boleh pergi asal sahaja kuat semangat. Perkataan "asal sahaja" di sini bermaksud dengan syarat. Oleh itu perkataan "sahaja" hendaklah diletak selepas "asal" untuk membawa maksud dengan syarat. Walau bagaimanapun, ayat kedua boleh digunakan tetapi membawa makna yang berbeza sedikit. Perkataan "sahaja" di sini bermaksud "hanya" , dan ayat kedua bermaksud hanya dengan kuat semangat, semua orang boleh pergi. | Tatabahasa | 18.02.2010 |
Tuan, Yang manakah satu yang betul, semangat patriotik atau semangat patriotisme? Cerpen itu bertemakan sifat patriotik atau patriotisme? Chan, Penang. Terima kasih. | menurut Kamus Dewan, patriotik ialah semangat patriot. Patriotisme ialah persaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Ayat yang betul ialah Cerpen itu bertemakan patriotisme atau Cerpen itu bertemakan sifat patriotik. | Tatabahasa | 01.08.2011 |
Salam sejahtera. Mohon bantuan pihak tuan/ puan untuk tentukan yang mana satukah betul: semangat patriotisme atau semangat patriotik? Sekian, terima kasih. | Jawapan yang betul ialah “semangat patriotik”. Mengikut Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 1632, “patriotik” membawa maksud bersifat (berperasaan, bersemangat) sebagai patriot. Manakala, “patriotisme” ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air dan rela mengorbankan diri untuk mempertahankannya. Oleh itu, jawapan yang betul ialah “semangat patriotik” kerana penggunaan perkataan “semangat” di hadapan kata “patriotisme” adalah lewah. | Lain-lain | 12.09.2025 |
MOTIVASI | Motivasi ialah keinginan/semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan; atau, sesuatu yang membuat atau mendorong seseorang berusaha atau melakukan sesuatu dengan penuh minat. | Makna | 18.02.2008 |
Saya ingin tahu maksud "untuk menjadi orang yang sentiasa bermotivasi tinggi " ? | Untuk menjadi orang yang sentiasa mempunyai semangat yang kuat pada diri sendiri dan mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan. | Makna | 28.08.2016 |
1)Aktiviti berkumpulan dapat menyemai semangat kekitaan,saling berinteraksi secara berhemah dan bertukar pendapat dalam menyelesaikan masalah.2)Kemerdekaan yang dikecapi oleh Malaysia bukan atas dasar tentera kuat tetapi atas dasar perundingan.3)Kami terpesona apabila melihat kebolehan Pak Cik Jalil menganyam serawan jala dalam masa yang singkat.(TOLONG BETULKAN.TERIMA KASIH) | 1) Aktiviti berkumpulan dapat menyemai semangat kekitaan, saling berinteraksi dan bertukar pendapat dalam menyelesaikan masalah. 2) Kemerdekaan yang dikecapi oleh Malaysia bukan atas dasar kekuatan tentera tetapi atas dasar perundingan. 3) Kami terpesona melihat kebolehan Pak Cik Jalil menganyam serawan jala dalam masa yang singkat. | Tatabahasa | 16.09.2012 |
Apakah maksud frasa/simpulan bahasa 'waja diri'? | Tidak ada makna frasa waja diri dalam pangkalan data kami, namun waja lazimnya dikaitkan dengan semangat atau keazaman yang kuat, ketahanan dan keteguhan diri terhadap cabaran dalam kehidupan. | Makna | 23.10.2018 |
Apakah yang dimaksudkan dengan waja diri dan apa kaitannya dengan personaliti waja diri? | Tidak ada makna frasa waja diri dalam pangkalan data kami, namun waja lazimnya dikaitkan dengan semangat atau keazaman yang kuat. | Makna | 10.12.2011 |
Salam sejahtera. Saya ada beberapa soalan yang memerlukan khidmat nasihat DBP. | Ayat “memupuk semangat patriotisme” adalah betul kerana merujuk kepada seseorang yang mempunyai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 1632. ... Kata kerja transitif memerlukan objek penyambut yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Contoh ayat, “Guru itu mengajar murid-murid.” dan “Ali memandu kereta.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 147-149. | Tatabahasa | 23.10.2024 |