bagaimana saya ingin membezakan penggunaan imbuhan diper- dan diper-kan contoh; jalan itu diperbesar atau jalan itu diperbesarkan, memper- dan memper-kan contoh ayat pihak tentera telah memperkuatkan kubu pertahanan atau memperkuat kubu pertahanan, pe-an dan per-an contoh ayat, pelantikan dan perlantikan, ada yang mengatakan per-untuk menunjukkan proses perkara itu dilakukan. 2. bagaimana untuk membezakan perkataan yang menggunakan imbuhan per- an dan pe-an. jika pihak tuan boleh menunjukkan proses /formula untuk membezakan penggunaan per-an dan pe-an, ramai yang keliru termasuk saya. | 1. Awalan diper- dan apitan diper-...-kan ialah bentuk pasif bagi kata kerja memper- dan memper-...-kan. Awalan mempeR- pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan peR-. Namun demikian, dalam ayat aktif peR- tidak boleh wujud tanpa awalan meN- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi dipeR-dalam ayat pasif. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 177 - 183. Apitan memper-...-kan Hanya golongan kata nama dan kata kerja yang boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Kata adjektif tidak boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Apitan memper-...-kan akan menghasilkan kata kerja pasif diper-...-kan. Rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208 - 211. 2. Apitan pe-...-an dan peR-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran. Apitan peR-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat, seperti perkampungan dan perhentian. Apitan peR-...-an membentuk kata nama yang membawa abstrak, Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya seperti perakuan dan persengketaan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewa, halaman 126 - 129.
| Tatabahasa | 30.03.2014 |
saya ingin mengetahui penerbitan atau jurnal berkaitan bahasa melayu kubu. setahu saya tidak banyak atau langsung tiada penyelidikan ke atas bahasa melayu kubu ini.saya juga igin mengetahui perkembangan bahasa ini di malaysia. diharap pihak tuan dapat membantu saya.terima kasih | Untuk makluman sdr. sehingga kini DBP tiada menerbitkan rencana yang berkaitan bahasa Melayu kubu. Sekiranya sdr. ingin membuat penyelidikan tentang perkembangan bahasa di Malaysia mohon sdr menjadi ahli Rakan Dewan yang diuruskan oleh Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. | Lain-lain | 05.02.2008 |
Apaka perbezaan antara parit dan longkang? | Parit bermaksud 1. alur (salur dll) utk mengalirkan air dll; 2. lubang yg panjang dlm tanah (sbg kubu dll); 3. alir, terusan air, tali air; 4. lubang tempat menggali bijih dll, lombong; 5. alur atau jalur pd kayu dll; 6. ark ranjau darat (laut); manakala longkang pula ialah parit, limbahan. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Lain-lain | 04.03.2010 |
saya hendak memohon lesen perniagaan ke MBSA.mohon tunjuk ayat yang betul untuk mempamirkan lakaran papan iklan. KEDAI MENJUAL BARANGAN LOGAM DAN ELETRIK. ZAINAH JAYA ENT. lot1993 B jalan utama kg.kubu gajah sg.buloh selangor telp.01118693358 | Untuk makluman puan, permohonan pengesahan bahasa Melayu untuk papan tanda perniagaan / iklan perlu dibuat melalui dalam talian menerusi laman dbpsahbahasa.my atau melalui kunjungan/kaunter di Aras Bawah, Menara DBP dengan membawa dua (2) salinan visual iklan. Kaunter dibuka pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. | Lain-lain | 05.11.2018 |
Sila tunjukkan kata dasar dan imbuhan bagi kata-kata berikut. menghenti menyapu menumpang mengangkat meninggi mengajar menggalak menjangkit menengah mengetua mengubu melanggar melanggan | Perkataan menyapu, menumpang, mengangkat, meninggi, mengajar, menjangkit, menengah, melanggar dan melanggan merupakan kata kerja transitif aktif yang menerima awalan meN-. Kata dasar bagi menyapu ialah sapu, tumpang bagi menumpang, angkat bagi mengangkat, tinggi bagi meninggi, ajar bagi mengajar, jangkit bagi menjangkit, tengah bagi menengah, langgar bagi melanggar dan langgan bagi melanggan. Sementara, perkataan menghentikan dan menggalakkan menerima apitan meng-...-kan manakala mengetuai dan mengubui menerima apitan meN-...-i. Kata dasar bagi perkataan menghentikan ialah henti, galak bagi menggalakkan, ketua bagi mengetuai dan kubu bagi mengubui. | Tatabahasa | 30.10.2006 |