Assalamualaikum tuan, apakah istilah yang sesuai bagi maksud inner front cover dan inner back cover dalam bahasa Melayu? | Dalam data rujukan kami, terdapat istilah back cover yang dipadankan sebagai kulit belakang manakala front cover pula ialah kulit depan. Perkataan inner pula pula diterjemahkan sebagai dalam. Cadangan kami ialah kulit depan dalam dan kulit belakang dalam. | Penyemakan dan penterjemahan | 28.02.2018 |
1. Adakah salah sekiranya nama penulis yang ada Phd, diletakkan Dr dan diikuti nama penulis itu pada kulit luar sesuatu penerbitan? 2. Adakah sebarang implikasi sekiranya gelaran (Dr) diletakkan di depan nama penulis sesuatu penerbitan buku pada kulit depan bagi yang ada Phd? | Salam sejahter,a, Gelaran nama pada kulit buku Untuk makluman, sekiranya ikut penerbitan Dewan Bahasa dan Bahasa (DBP) nama penulis hanya ditulis dengan nama penuh penulisnya sahaja. Sebarang gelaran Dr., Datuk, Tan Sri atau seumpamanya tidak ditulis di hadapan kulit depan buku bagi gaya penerbitan buku DBP. Sekian, untuk makluman. | Lain-lain | 24.10.2020 |
Boleh emailkan saya format manuskrip untuk cadangan menulis buku | Secara umumnya, penulisan buku dan majalah sama seperti penulisan esei. Penulis perlu faham tentang struktur kandungan buku/majalah sebelum mula menulis. Penulisan sesebuah buku memerlukan perancangan yang rapi berbanding dengan majalah. Hal ini demikian kerana sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: hlm separa judul, hlm judul, hlm hak cipta, dedikasi, hlm kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Memahami penerbitan buku:siri penulisan,penerbitan dan percetakan, terbitan Wei-Ling Gallery, 2008. | Lain-lain | 12.05.2014 |
Assalamualaikum... Adakah format dan panduan menulis buku umum sama dengan menulis untuk majalah? contohnya menulis artikel. jika berbeza, boleh jelaskan bagaimana format menulis untuk majalah? terima kasih. | Penulisan buku dan majalah sama seperti menulis esei. Penulis perlu faham tentang struktur kandungan buku/majalah sebelum mula menulis. Penulisan sesebuah buku memerlukan perancangan yang rapi berbanding dengan majalah. Hal ini demikian kerana sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: hlm separa judul, hlm judul, hlm hak cipta, dedikasi, hlm kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Memahami penerbitan buku:siri penulisan,penerbitan dan percetakan, terbitan Wei-Ling Gallery, 2008. | Lain-lain | 07.05.2012 |
Assalamualaikum, pertama sekali saya adalah orang awam yang tiada pelajaran, akan tetapi saya suka membaca sehingga membuat keputusan untuk menulis sebuah buku, tapi bagaimanakah untuk menghasilkan sebuah buku? saya tiada pengalaman dan pengetahuan sama sekali. | Penulisan buku dan majalah sama seperti menulis esei. Penulis perlu faham tentang struktur kandungan buku/majalah sebelum mula menulis. Penulisan sesebuah buku memerlukan perancangan yang rapi berbanding dengan majalah. Hal ini demikian kerana sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: halaman separa judul, halaman judul, halaman hak cipta, dedikasi, halaman kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Memahami penerbitan buku:siri penulisan,penerbitan dan percetakan, terbitan Wei-Ling Gallery, 2008. | Lain-lain | 09.04.2013 |
Saya perlukan maklumat berkaitan: 1. Panduan penulisan buku 2. Hak cipta dan royalti. 3. Penyediaan manuskrip. 4. Proses penerbitan. | Soalan pertama saudara, iaitu mengenai panduan penulisan buku sebenarnya kurang jelas dan ia terlalu umum. Saudara perlu menyatakan secara khusus sama ada panduan penulisan karya fiksyen atau karya ilmiah. Walau bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan ialah, sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: hlm separa judul, hlm judul, hlm hak cipta, dedikasi, hlm kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Bagi soalan kedua, iaitu hak cipta dan royalti, saudara boleh membaca buku Hak Cipta dan Hak Berkaitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010 atau menghubungi Ketua Bahagian Harta Intelek, DBP, Puan Asiah Daud di alamat e-mel asiah2@dbp.gov.my. Bagi soalan ketiga, iaitu penyediaan manuskrip, manuskrip hendaklah ditaip menggunakan perisian Microsoft Word dengan jarak langkau dua baris. Bahagikan manuskrip kepada beberapa fail yang mengandungi 30 halaman. Setiap manuskrip hendaklah dijilid kemas dan diberi judul pada bahagian kulit. Soalan keempat, iaitu proses penerbitan, ia terdiri daripada beberapa proses utama: Perancangan judul (perolehan manuskrip, penulisan), Editorial (penilaian, penyuntingan substantif, penyuntingan kopi, penyediaan manuskrip bersih), Pracetak ( reka letak, atur huruf, semakan pruf, naskhah sedia kamera), Percetakan, dan Penjualan/Pemasaran.Terima kasih. | Lain-lain | 13.10.2010 |
Assalam Tuan, Saya keliru dalam menggunakan ialah dan adalah. Harap dapat tuan beri pencerahan. Disertakan teks di bawah. Terima kasih. Suhaimi. Rekabentuk kulit buku ini adalah artefak jumpaan batu nisan Aceh di Selangor. Nisan batu Aceh ini dijumpai di tapak Kampung Kedah, Kuala Selangor. (N 03° 22’ 095”- E 101° 17’ 692) Berdasarkan dari bentuk nisan batu Aceh ini adalah dari tipologi L. Pemilihan artefak ini sebagai gambar kulit depan buku adalah berdasarkan daripada keunikan bentuk dan motif batu nisan. Ini adalah bagi memaparkan nisan batu Aceh dari tipologi L kerana sebelum ini penerbitan berkaitan nisan batu Aceh umumnya memaparkan tipologi C. Paparan gambar batu nisan Aceh ini diambil secara insitu, seperti mana keadaan sebenar nisan batu Aceh di tapak. Secara visual gambar yang dipaparkan adalah tidak secara menyeluruh tetapi hanya menunjukkan dengan jelas bahagian puncak dan kepala nisan Batu Aceh yang mempunyai motif teratai. Bentuk dan keterangan lanjut mengenai nisan batu Aceh ini akan dipersembahkan dalam buku ini. | Berikut ayat yang telah dibetulkan penggunaan tatabahasa: Reka bentuk kulit buku ini ialah artifak jumpaan batu nisan Aceh di Selangor. Batu nisan Aceh ini dijumpai di tapak Kampung Kedah, Kuala Selangor (N 03° 22’ 095”- E 101° 17’ 692). Berdasarkan daripada bentuk batu nisan Aceh ini adalah dari tipologi L. Pemilihan artifak ini sebagai gambar kulit depan buku berdasarkan kepada keunikan bentuk dan motif batu nisan. Perkara ini adalah bagi memaparkan nisan batu Aceh daripada tipologi L kerana sebelum ini penerbitan berkaitan nisan batu Aceh umumnya memaparkan tipologi C. Paparan gambar batu nisan Aceh ini diambil secara insitu, seperti keadaan sebenar batu nisan Aceh di tapak. Secara visual gambar yang dipaparkan tidak secara menyeluruh tetapi hanya menunjukkan dengan jelas bahagian puncak dan kepala nisan batu Aceh yang mempunyai motif teratai. Bentuk dan keterangan lanjut mengenai nisan batu Aceh ini akan dipersembahkan dalam buku ini. Menurut tatabahasa bahasa Melayu kata pemeri hanya dua iaitu "adalah" dan "ialah". Dalam penggunaannya kata pemeri tidak boleh diikuti dengan kata kerja. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. | Tatabahasa | 07.04.2015 |
Salam tuan di talian, Apakah perkataan terlentang dalam ayat contoh di bawah betul penggunaannya. 1. Pak Pandir jatuh terlentang kerana terpijak kulit pisang. 2. Pak Pandir jatuh telentang kerana terpijak kulit pisang, 3. Pak Pandir jatuh tertelentang kerana terpijak kulit pisang. Semoga mendapat jawapan yang segera daripada tuan. Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 2. Pak Pandir jatuh telentang kerana terpijak kulit pisang, telentang bermaksud terbaring dengan bahagian depan atau bahagian cekung ke atas. | Tatabahasa | 15.09.2011 |
Assalamualaikum. Kenapa "sangkakala" tidak ditulis sebagai "sang kakala", iaitu sepertimana kita tulis "sang kancil"? Terima kasih. | Sangkakala merupakan satu perkataan , iaitu sejenis serunai daripada kulit kerang. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sang digunakan di depan nama binatang (dalam cerita). Contohnya, Sang Kancil, Sang Buaya dan sebagainya. Sang ialah kata sandang yang digunakan di depan sesuatu kata nama untuk maksud menghormati, mengejek dan lain-lain. Sang biasanya digunakan dalam penceritaan sastera kreatif yang menunjukkan keakraban. | Tatabahasa | 02.10.2013 |
minta tanya suku kata yang betul untuk perkataan di bawah. 1. main 2. perempuan 3. keluarga 4. ceria 5. kuih Sebelum saya pernah minta tanya, dimanakah saya dapat buku rujukan suku kata. Saya diberitahu dewan tatabahasa edisi ketiga. Boleh pihak tuan beritahu di manakah saya dapat beli atau emel muka depan supaya saya dapat cari di kedai buku. Terima kasih. | Pemenggalan suka kata bagi perkataan tersebut: Main – ma.in Perempuan – pe.rem.pu.an Keluarga – ke.lu.ar.ga Ceria – ce.ri.a Kuih - ku.ih Selain daripada buku Tatabahasa Dewan, tuan juga boleh merujuk buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan buku Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu. Ketiga-tiga buku tersebut merupakan terbitan DBP. Untuk melihat kulit buku, tuan boleh membuat carian melalui Internet. Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pembelian buku, tuan boleh menghubungi talian berikut: Anjung DBP: 03-2147 9597/03-2147 9598 Kompleks DBP Hulu Kelang: 03-41010028/019-2141956 (WhatsApp) Layari laman web ini https://dbpniaga.my | Tatabahasa | 17.06.2021 |