Salam sejahtera. Adakah kata ganda separa berikut betul? balai-balai = bebalai, benang-benang = bebenang, cair-cair = cecair, guli-guli = geguli, gendang-gendang = gegendang, kunci-kunci = kekunci, kura-kura = kekura, lumba-lumba = lelumba, pejal-pejal = pepejal, patung-patung = pepatung, sumpah-sumpah = sesumpah, tambak-tambak = tetambak, tangga-tangga = tetangga Terima kasih. | Kata ganda dan kata ganda separa yang diberikan mempunyai pelbagai makna yang berbeza. Oleh itu, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) untuk mendapatkan makna bagi setiap perkataan tersebut. Penggandaan separa kata nama ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar. Kata dasar boleh terdiri daripada kata nama tunggal atau kata nama berimbuhan, seperti yang berikut: i. Penggandaan separa kata nama tunggal Melibatkan suku kata pertama dalam kata dasar. Bunyi-bunyi vokal dalam suku kata pertama perkataan yang digandakan itu mengalami perubahan menjadi vokal tengah, iaitu e pepet. Contohnya, kura (kekura). ii. Penggandaan separa kata nama berimbuhan Melibatkan pengulangan kata dasar tanpa imbuhannya. Terdapat hanya perkataan yang menerima akhiran –an yang mengalami penggandaan jenis ini. Contohnya, sayuran (sayur-sayuran). Pembentukan kata ganda/kata ganda separa tidak boleh dilakukan pada semua perkataan. Tuan boleh merujuk senarai kata ganda/kata ganda separa sedia ada dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) atau pangkalan data prpm.dbp.gov.my (melalui pautan istilah bahasa Melayu/istilah MABBIM). Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan kata ganda dan kata ganda separa, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 135 – 138. | Tatabahasa | 08.07.2025 |
apakah maksud ditala? | Kata terbitan 'ditala' ialah daripada kata akar tala, bermaksud: 1. menentukan bunyi (alat muzik dan sebagainya) dengan nada yang bersesuaian; dan 2. melaraskan pergerakan enjin (motor dan sebagainya) supaya berjalan dengan lancar. Tala juga membawa maksud: tala II : Pr ibu kunci, mangga, gepuh-gepuh, pedal ayam. tala III: menala memukul dgn tangan tergenggam. tala IV: hala, arah. | Makna | 12.12.2012 |
salam.tolong jelaskan perbezaan penggunaan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah'. Tolong berikan juga contoh penggunaan kedua-dua kata pemeri tersebut dalam ayat.terimakasih. | Merujuk kepada Koleksi Pedoman Bahasa yang dikeluarkan oleh DBP, kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah yang menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sebenarnya, sering berlaku kekeliruan apenggunaan kedua-dua kata ini. Namun demikian, bagi membantu saudara, kata kunci yang boleh saudara gunakan bagi membezakan contoh ayat yang diberikan atau kegunaan pada masa hadapan ialah: a) Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja. b) Kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja. Contoh penggunaan "ialah" : i. Anak ialah anugerah Allah ii. Sepak takraw ialah sukan yang elok dipertandingkan. Contoh penggunaan "adalah": i. Kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta. ii. Kerja pembaikan lif dijangka siap adalah pada minggu hadapan. (untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, hal.250) | Lain-lain | 16.04.2010 |