Salam Aidil Fitri, Saya beberapa soalan lagi. 1) Perkataan manakala - tergolong dalam kategori atau jenis kata apa? - Adalah ia sejenis penanda wacana, menurut seorang kawan. 2. Tolong berikan contoh penggunaan yang tepat. | Manakala ialah kata hubung, contoh penggunaan ayat; Dia duduk di samping mayat ayahnya, manakala adiknya tidak putus-putus menangis. | Tatabahasa | 17.09.2010 |
Salam dan terima kasih dia tas jawaban yang lalu. Saya masih banyak kemusykilan lagi. 1. wujudkah perkataan mengkehendaki atau tidak? masalah dengan imbuhan meng --- i 2. Bagaimana dengan perkataan berkehendakkan? Adakah kedua-duanya membawa maksud yang sama, want atau mahu dalam konteks yang formal. tolong jelaskan. 3. Adakah betul istilah pemunya proses bagi Process Owner? Terima kasih | 1. Perkataan mengkehendaki wujud dan sama maknanya dengan mengingini 2. Perkataan berkehendakkan boleh digunakan yang bermaksud berkehendak akan, atau memerlukan. 3.Padanan Process Owner ialah pemunya proses atau pemilik proses, walau bagaimanapun terjemahan ini disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 27.08.2010 |
Assalamualaikum. Tuan, dalam kertas mesyuarat saya pernah terjumpa frasa PERINGATAN MESYUARAT. Adakah maksudnya sama dengan MINIT MESYUARAT? Mana lebih tepat antara keduanya mengikut pandangan DBP?Adakah menjadi satu kesalahan gaya penulisan Minit mengikut stail tersendiri?Contohnya mengikut sistem penomboran contohnya Perkara 1 ada pecahan 1.2 atau dipecahkan lagi 1.2.1 dan sebagainya, atau mengikut turutan seperti sistem Jabatan Pelajaran dengan melabelkan Perkara I,II,III,IV sehingga seterusnya. Terima kasih Ismail Hashim-Baling Kedah | Peringatan Mesyuarat sama maksudnya dengan Minit Mesyuarat. Walau bagaimanapun Minit mesyuarat lebih tepat penggunaannya kerana minit merupakan catatan tentang apa yang telah diperkatakan (dibincangkan) atau dipersetujui (dlm mesyuarat, perundingan, dan sebagainya). Gaya penulisan Minit tidak semestinya sama antara semua organisasi. Minit mesyuarat DBP tidak sama 100 peratus dengan minit mesyuarat Kementerian Pelajaran, Intan ataupun Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun, minit mesyuarat yang baik hendaklah mematuhi ciri-ciri berikut: format yang betul (tajuk, maklumat mesyuarat, kehadiran), fakta betul, catatan yang ringkas, bahasa yang mudah difahami (tatabahasa yang betul). | Tatabahasa | 10.04.2011 |
1. Majlis Penutupan atau majlis Penutup. 2. Penggunaan kata lagi cth: belum membeli lagi kereta atau belum membeli kereta lagi. | Jawapan yang betul ialah 1. Majlis Penutupan. 2. belum membeli kereta lagi. | Lain-lain | 09.12.2010 |
Tolong jelaskan tentang penggunaan kata "lagi' dalam ayat. Yang manakah betul 1. Cikgu memarahinya lagi kerana tidak hadir kelas tambahan. 2. Cikgu memarahi dia kerana tidak hadir kelas tambahan lagi. Terima kasih. | Lagi dalam ayat tersebut mempunyai makna yang berbeza. Kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 23.05.2010 |
penggunaan tanda baca yang betul. 1) "Saya masih ingat lagi". @ "Saya masih ingat lagi." -Nokhtah perlu ada sebelum atau selepas penutup kata? -terima kasih- | Penggunaan tanda baca yang betul dalam contoh ayat ini - "Saya masih ingat lagi." | Ejaan | 21.01.2011 |
bagimana caranya saya ingin menghantar manuskrip utk terbitan DBP, utk makluman saya ada menulis manuskrip ttg etnik peribumi sarawak khususnya di bintulu dan 1 lagi berkaitan isu keagamaan. saya juga ada mnghtr 2 manuskrip utk terbitan DBP Cawangan Sarawak dan dimaklumkan skrg diperingkat semakan editorial.terima kasih atas maklumbalas pihak tuan. | Tuan boleh menghantar manuskrip tuan ke alamat berikut; Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jalan Tun Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, 93050 Kuching (u.p; Penolong Pengarah Penerbitan) jika ada sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi Unit Penerbitan di talian 082-444711. | Lain-lain | 07.12.2010 |
Salam 1 Malaysia. 1. Pensyarah kursus Penterjemahan memaklumkan yang bagi Bahasa Melaysia moden sekarang perkataan 'telah' tidak digunakan lagi. Contoh: 'saham syarikat A telah jatuh 50%'. Jadi sepatutnya 'saham syarikat A jatuh 50%'. Tetapi saya lihat melalui panduan penggunaan tatabahasa yang betul yang dibentangkan di MOSTI oleh DBP, masih digunakan perkataan 'telah'. 2. Kami jugak dimaklumkan bahawa perkataan tidak digandakan. Contoh : 'projek dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan' ditulis sebagai 'projek dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan'. Mohon panduan berkaitan perkara ini. Terima kasih. | Maklumat yang disampaikan oleh penceramah tersebut lebih kepada gaya penulisan dan nilai ekonomi. Kecenderungan penulis pada masa kini tidak lagi menggunakan kata telah dan kata ganda dalam penulisan mereka. Penulis tidak lagi menggunakan kata telah terutamanya dalam melaporkan peristiwa yang telah berlaku, seperti "Saham syarikat A jatuh sebanyak 50% ...". Begitu juga dengan penggunaan kata jamak. Penulis lebih gemar tidak mengulangi perkataan yang sememangnya diketahui umum bersifat jamak, seperti "peserta-peserta seminar" dan "negara-negara yang bersidang". Seminar dan persidangan semestinya melibatkan ramai peserta dan banyak negara. | Tatabahasa | 22.10.2011 |
Saya berminat untuk mngembangkan bakat atau mengisi waktu apabila melangkah ke alam persaraan dalam masa 4 tahun 1/2 lagi. Walau bagaimanapun penumpuan idea atau kecenderongan ke arah skop penulisan belum ada lagi yang kukuh. masih mencari apa bidang yang sesuai dan mengarah pemikiran untuk menampilkan cetusan idea yang boleh diisi dalam pencernaan ayat dan perkataan yang begitu mantap untuk dibaca atau ditatap oleh segelintir manusia barangkali. Aliran pemikiran dan penulisan tidak menjurus kepada trend sesiapa kerana saya ingin gaya dan kekuatan tersendiri. Apakah yang boleh dilakukan buat permulaan sekarang ? Adakah elok saya menulis artikel atau penulisan awalan untuk mengukur sejauh mana kemampuan saya . Memang betul sebagai asas saya perlu banyak membaca supaya saya tahu pelbagai jurusan penulisan serta teknik yang digunakan. Perlukah saya belajar pelbagai teknik penulisan? Kalau saya ingin penulisan saya dibukukan bagimana caranya ? | Alhamdulillah, sdr. berminat dalam bidang penulisan. Mudah-mudahan akan bertambah lagi penulis berbakat di tanah air pada masa akan datang. Dalam hal ini sdr. boleh mengasahkan bakat dalam bidang penulisan terutamanya dengan banyak membaca dan meneliti karya-karya pemenang sastera. Semua karya sdr. perlulah dihantar ke media cetak dan syarikat penrbit (akhbar, majalah, novel/buku dll.) serta media elektronik (radio dan tv) bagi tujuan penerbitan dan penyiaran. Sdr. juga digalakkan menyertai peraduan karya sastera (mengikut genre yang diminati) bagi menguji semangat, bakat dan keterampilan sdr. dalam bidang penulisan. Akhirnya, bagi mendapatkan pendedahan dan khidmat nasihat dalam bidang penulisan, sdr. bolehlan menghubungi pejabat DBP yang berhampiran. Untuk mendapatkan Khidmat Nasihat Berkarya secara dalam talian, saudari bolehlah melayari laman web DBP www.dbp.gov.my, dan klik menu perkhidmatan, saudari akan dapat khidmat bimbingan berkarya secara percuma. Selamat mencuba. | Lain-lain | 22.10.2009 |
1. Saya tidak sabar lagi menunggu dia. 2. Penyakit H1N1 telah menimbulkan reaksi di kalangan rakyat. Adakah ayat- ayat di atas betul? | 1. Saya tidak sabar lagi menunggu dia. - ayat ini betul 2. Penyakit H1N1 telah menimbulkan reaksi di kalangan rakyat. - ayat ini kurang tepat kerana penggunaan kata reaksi kurang tepat dalam ayat tersebut | Tatabahasa | 04.09.2009 |