| 1. Marilah kita mengucapkan terima kasih kepada Alam Flora. 2. Marilah kita ucapkan terima kasih kepada Alam Flora. 3. Mari kita mengucapkan terima kasih kepada Alam Flora. 4. Mari kita ucapkan terima kasih kepada Alam Flora. Dalam empat ayat ini, adakah partikel -lah diperlukan? Bolehkah partikel -lah digugurkan secara pilihan, maksudnya boleh diwujudkan dan boleh juga ditiadakan? Ayat ini ialah ayat penyata atau ayat suruhan? Jika ayat suruhan, adakah kata kerja "ucap" patut menerima akhiran -kan lalu membentuk kata kerja ayat suruhan "ucapkan"? Jika ayat ini ayat penyata, adakah kata kerja "ucap" harus menerima apitan meN-...-kan lalu terhasilnya kata kerja transitif "mengucapkan" yang disambut oleh objek, yakni "terima kasih"? Semua inilah tanda-tanda soal dalam hati saya. | Ayat yang betul ialah Marilah kita mengucapkan terima kasih kepada Alam Flora dan Mari kita mengucapkan terima kasih kepada Alam Flora kerana ayat ini ayat aktif transitif. Jika hendak diberikan penekanan maka partikel –lah boleh digunakan dan sebaliknya jika ditiadakan ayat tersebut masih lengkap. | Tatabahasa | 29.05.2014 |
| Salam Saya hendak bertanya, dalam bahasa Melayu adakah perkataan adangan dan teradang? Kata dasar perkataan ini ialah adang? Apakah maksud kata adangan dan teradang? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan “Adang” itu sendiri mempunyai beberapa maksud iaitu adang-adang penyekat (yg memisahkan, mengasingkan, dsb): tiap-tiap meja disekat dgn satu ~; ~ pintu penyekat di muka pintu; mengadang 1. = mengadangi menahan (seseorang) drpd dapat lalu atau masuk ke sesuatu tempat (dgn mendepangkan tangan, merintangkan sesuatu, dsb), menghalang(i), menyekat: Hamid ~nya di pintu, tidak mahu memberinya masuk; 2. menyekat laluan (di jalan raya): mereka ~ jalan dgn meletakkan tong-tong kosong; sebatang pokok yg tumbang ~ jalan dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas; 3. menunggu dgn tujuan hendak menyergap (menyerang hendap): merancang utk ~ musuh; 4. menuju, memaksudkan, menghadapi; 5. menempuh (bahaya, kesukaran, dsb); musuh jangan diadang, selisih jangan dicari prb pertelingkahan atau perselisihan janganlah dicari-cari; sungguhpun kawat yg dibentuk, ikan di laut yg diadang prb sungguhpun nampaknya tidak ada sesuatu maksud tetapi ada juga benda yg dituju; mengadangkan menggunakan sbg adang, merentangkan (sesuatu), mendepangkan (tangan): diadangkannya lengannya; pengadangan 1. tempat utk mengadang; 2. perbuatan mengadang; pengadang 1. penghalang, perintang (di jalan dll), sekatan; 2. orang yg mengadang (menghalang atau menyekat orang lain); 3. penyamun dsb yg mengadang (menunggu dan menyerang hendap). (Kamus Dewan Edisi Keempat). Saudara yang budiman, Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkataan andang, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari" atau sila rujuk Kamus Dewan edisi Keempat. | Tatabahasa | 23.10.2018 |
| Boleh saya dapatkan penerangan terkini mengenai penggunaan kata sendiri berikut? 1) dari / daripada 2) hanya / dengan 3) melalui / menerusi 4) antara / di antara 5) baru - baharu | 1. Kata sendi dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Merujuk kepada ayat di atas, kata sendi yang sesuai ialah "daripada": Mengeluarkan wang daripada bank (merujuk kepada sumber). 2. Kata sendi dengan digunakan untuk membawa maksud i. bersama-sama atau berserta, ii. cara sesuatu itu dilakukan iii. memakai atau menggunakan dan menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama. Kata hanya merupakan golongan kata penegas. Kata penegas disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan (hanya, sahaja, juga, memang, pun, -kah, -lah, –tah) yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Oleh sebab, kata "hanya" membawa maksud yang sama, iaitu tidak lebih daripada satu atau tidak ada orang lain lagi. 3. Kata melalui berasal daripada kata dasar lalu membentuk kata baru yang membawa pelbagai makna. Kata melalui membawa maksud "dengan perantaraan" atau "menerusi", contoh ayatnya: Kami berjalan melalui/menerusi lurah dan bukit. 4. Kata sendi nama "antara" perlu hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Contoh penggunaannya "Mereka berbincang antara adik-beradik". Sementara penggunaan kata 'antara' sebagai kata arah yang mengikuti kata sendi nama di-. Contohnya ialah "Rumahnya terletak di antara sebuah tasik dengan sawah padi". 5. Kata baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan baru dan baharu dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "dia baru sampai dari kampung" dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "buku Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu". Untuk penggunaan umum, puan boleh mengambil makna daripada kamus, namun jika untuk tujuan pembelajaran di sekolah, perlulah mematuhi rumus dalam buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 30.05.2019 |