Encik, 1.Penggunaan 'sementara' dalam ayat berikut betul @ salah? "Ahmad suka makan langsat sementara adiknya suka makan duku." 2. Adakah terdapat hukum bahawa 'demi' perlu diikuti oleh kata nama & 'untuk' perlu diikuti oleh kata kerja? Terima kasih. | Penggunaan yang lebih tepat ialah manakala. Demi dan untuk tidak semestinya diikuti kata nama atau kata kerja, dan kata tersebut mempunyai makna yang sama. | Makna | 12.09.2007 |
Bolehkah koma ( , ) ditulis selepas perkataan ialah ; Contoh ayat : Nilai pertama ialah, keberanian. | Merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga, antara fungsi penggunaan tanda koma (,) ialah sebagai unsur pemisah bagi kata atau frasa yang berurutan. Penggunaannya hendaklah sebelum "dan", "atau" dan "serta" yang diikuti dengan frasa. Contoh ayat, dia membeli rambutan, langsat, ciku, dan bakul. Oleh itu, tanda koma tidak diperlukan selepas perkataan ialah. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga, halaman 64. | Tatabahasa | 05.03.2010 |
1. Bolehkah kita memulakan ayat atau satu-satu perenggan dengan "Untuk" ? 2. Lantaran demam yang dialaminya, semua makanan yang disuapkan ke mulutnya terasa __________ . ( pahit atau tawar ). Tolong jelaskan sebabnya. | i. Menurut data kami, perkataan "untuk" boleh berada di pangkal ayat. Sebagai contoh, "Untuk makluman ....." ii. Perkataan "pahit" bermaksud 1 (be)rasa tidak sedap seperti rasa hempedu atau rasa biji langsat: Ubat demam itu ~ sungguh rasanya. 2 ki tidak menyenangkan hati; menyusahkan hati; susah atau sulit: pengalaman yang ~. ~ getir (maung) kesusahan atau kesulitan yang berbagai-bagai. kepahitan 1 keadaan pahit; rasa pahit. 2 ki keadaan yang tidak menyenangkan; kesulitan; kesusahan. Manakala perkataan "tawar" ialah 1 tidak ada rasa (bukan makanan, minuman dan sebagainya); tidak cukup manis, masin dan sebagainya; hambar: air teh ~. 2 tidak masin (bukan air): Air sungai itu ~ sampai ke laut. 3 tidak dpt menyembuhkan penyakit; tidak mujarab (bukan ubat dan sebagainya); sudah hilang kekuatannya (bukan bisa atau racun). Oleh itu, berdasarkan kedua-dua maksud perkataan tersebut, perkataan yang sesuai ialah "pahit". | Lain-lain | 28.06.2016 |
Salam 1Malaysia. soalan 1. apakah tanda ayat yang paling sesuai digunakan dalam ayat? ( , ) atau ( ; ) soalan 2. yang manakah contoh ayat yang paling sesuai untuk menyatakan perbandingan antara dua responden. Contoh 1. Ini bermakna lebih ramai responden guru yang memiliki ikhtisas SP yang berkompetensi tinggi berbanding responden guru yang memiliki ikhtisas SMP dalam mengurus aktiviti pembelajaran kumpulan dalam bilik darjah, memenuhi keperluan tugas dan tanggungjawab seperti dalam senarai tugas yang diberikan oleh pengetua, pengurusan masa yang berguna untuk meningkatkan tahap profesionalisme seorang pendidik, mengurus sumber-sumber PdP, dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti dan polisi penambahbaikan sekolah. contoh 2. Ini bermakna lebih ramai responden guru yang memiliki ikhtisas SP yang berkompetensi tinggi dalam mengurus aktiviti pembelajaran kumpulan dalam bilik darjah, memenuhi keperluan tugas dan tanggungjawab seperti dalam senarai tugas yang diberikan oleh pengetua/guru besar sekolah, pengurusan masa yang berguna untuk meningkatkan tahap profesionalisme seorang pendidik, mengurus sumber-sumber PdP, dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti dan polisi penambahbaikan sekolah berbanding responden guru yang memiliki ikhtisas SMP. mohon pembetulan dan penjelasan jika perlu. tq | Untuk makluman tuan, tanda koma (,) berfungsi sebagai unsur pemisah - memisahkan unsur-unsur kata dan frasa yang berurutan seperti Ali membeli rambutan, langsat dan durian. Tanda koma bertitik (;) pula digunakan untuk memisahkan dua atau beberapa klausa utama yang biasanya disambungkan dengan kata hubung dan, tetapi, atau, namun dan lalu seperti Membaca menambahkan ilmu; dan berfikir mempertajam akal. Sila rujuk maklumat berkenaan untuk disesuaikan dengan teks yang tuan kemukakan. | Ejaan | 02.09.2015 |