Adakah salah kalau murid tidak tulis -nya pada ayat berikut? 1)Ben Li makan sarapan dengan keluarga(nya). 2)Ben Li dan kawan-kawan(nya) pergi ke ladang anggur. 3)Ben Li dan keluarga(nya) menyaksikan pertunjukan udara. | Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Menerusi ayat pertama, kedua dan ketiga yang disoal, seharusnya diletakkan 'nya'. Hal ini demikian kerana, penggunaan 'nya' di dalam ayat tersebut merujuk kepada kata ganti nama ganti orang ketiga. Sekiranya tidak diletakkan 'nya' akan timbul persoalan misalnya menerusi ayat pertama sekiranya tidak diletakkan kata 'nya' akan wujud persoalan Ben makan bersama keluarga siapa? Oleh itu, saudari/saudari perlu meletakkan kata 'nya' di dalam ketiga-tiga ayat tersebut. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.08.2012 |
Salam sejahtera. Pertanyaan saya berkaitan tentang penggunaan "nya". Adakah penggunaan nya boleh untuk merujuk kepada haiwan? Sebagai contoh ayat berikut; "Gigi ketam berada di dalam perutnya." Sekiranya tidak boleh digunakan, apakah ayat yang sesuai? Soalan kedua ialah bagaimanakah untuk menggunakan perkataan "nya". Boleh berikan contoh penggunaan ayat. Sekian, Terima kasih. | - Penggunaan -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan hanya boleh digunakan pada manusia. Ayat yang lebih tepat ialah Gigi ketam berada di dalam perut.
- Contoh ayat yang menggunakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya ialah, Mimi mengundang Ai Ling dan Kencana datang ke rumahnya.
Selain sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, perkataan -nya juga berfungsi sebagai kata penekan dan pembenda. Contoh ayat seperti yang berikut: Kata penekan – Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. Kata pembenda – Lajunya ialah 100 km sejam. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 26.07.2021 |
Kekeliruante tentang penggunaan Penanda Wacana yang kerap digabungkan dengan kata ganti nama 'nya', sedangkan 'nya' membawa maksud dia iaitu ganti nama diri ketiga. Contoh-contoh yang saya dapat melalui bahan taklimat pihak Kementerian Pelajaran iaitu, Seterusnya, Tamsilnya, Misalnya, Contohnya, Kesannya, Akhirnya, Natijahnya, Tegasnya, Sesungguhnya, Akibatnya dan Secara keseluruhannya. Bukankah penggunaan ini merupakan satu bentuk kesalahan umum dalam tatabahasa ? Sekian, terima kasih. | Puan Allison, Fungsi 'nya' dalam perkataan tersebut adalah sebagai kata pembenda. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
Dalam penulisan kreatif, adakah penggunaan "-nya" untuk merujuk kepada benda berbanding manusia dianggap tidak salah dalam bahasa Melayu? | -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan hanya digunakan pada manusia. Selain itu, -nya juga berfungsi sebagai kata penekan dan pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya, seperti contoh ayat yang berikut: - Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis.
- Pokok durian itu nampaknya akan berbuah lebat.
Kata pembenda pula ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, seperti contoh ayat yang berikut: - Lajunya ialah 100 km sejam.
- Datangnya secara mendadak.
Oleh yang demikian, penggunaan -nya tidak boleh digunakan bagi merujuk kepada benda. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 103 - 104 dan 295 - 296. | Tatabahasa | 20.09.2023 |
Assalamualaikum, Ekoran pertanyaan saya berkaitan penggunaan -nya keada bukan manusia, bolehkan -nya digunakan untuk merujuk binatang atau tumbuhan. Contohnya dalam ayat yang berikut: a. Binatang: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkainya dibiarkan di tepi jalan. b. Tumbuhan 1. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harganya meningkat dengan mendadak. Terima kasih | Waalaikummussalam saudara Mohd Januri, Nya ialah kata ganti diri nama orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" merujuk kepada manusia bukannya merujuk kepada haiwan dan tumbuhan. Menerusi contoh ayat yang diberikan memadai sekiranya diganti dengan menggunakan perkataan di bawah: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkai anjing itu dibiarkan di tepi jalan. 2. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harga bawang meningkat dengan mendadak. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 08.09.2012 |
Salam tuan,adakah penggunaan -nya di bawah ialah ayat yang gramatis? 1. Semuanya …… ringgit. Ayat tersebut biasa saya dengar apabila beli sesuatu. Saya telah semak Tatabahasa Dewan -nya ialah kata pembenda ataupun kata penekan. Saya rasa “semuanya” di sini memberikan penekanan kepada harga sahaja,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? 2. Suaminya di mana? Ayat tersebut telah saya dengar semasa tonton video. Seorang wanita berkata sedemikian dengan marah apabila ditanya ada suami ke tidak. Dia seorang yang belum ada jodoh. Saya rasa “suaminya” di sini,cuma memberikan penekanan kepada realiti bahawa dia tidak ada suami,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? | 1 “Semuanya … ringgit.” Kata ganti nama orang ketiga –nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Dalam ayat di atas, kata ganti nama –nya berfungsi sebagai penekan. 2. 2. “Suaminya di mana?” Dalam ayat di atas, -nya berfungsi sebagai kata ganti nama orang ketiga. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 103 dan 296. | Tatabahasa | 23.04.2024 |
bila masakah ganti nama "nya" dapat merujuk selain manusia? | Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda/penekan selain berfungsi sebagai kata ganti nama diri ketiga. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 295 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.12.2010 |
Assalamualaikum, Mohon penjelasan penggunaan pada dan kepada yang terdapat dalam ayat berikut: Allah menampakkan sedikit kesempurnaan-Nya yang tidak terhingga itu pada@kepada kewujudan insan kamil. Kepada @Pada insan kamil ini, Allah memperlihatkan ciptaan-Nya dan membahagikan kasih sayang-Nya. | Kata sendi nama pada menunjukkan keterangan waktu atau tempat, manakala kata sendi nama kepada untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Namun ayat contoh yang diberi tidak menunjukkan keterangan tentang waktu atau tempat dan juga sasaran. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 272 - 276. | Tatabahasa | 28.10.2011 |
1)Diperkenalkannya imbuhan Ke pascakata sebab ade nya..kalau merupakan imbuhan apitan di-kan...nya bertindak sebagai apa 2)kebergantungan..imbuhan awalan apa?ke ade dua imbuahan awalan.. 3)pertama adakah kata tugas..persoalannya boleh kah menjadi imbuhan awalan per+tama | 1. Imbuhan dipeR- ...-kan ialah apitan yang membentuk kata kerja pasif transitif, contoh ayat: Dasar Wanita diperkenalkan untuk membantu kaum wanita. "Nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga. 2. Mengambil contoh perkataan "kebergantungan", terbit daripada akar kata gantung, mendapat awalan beR- menjadi berguna dan menerima pula apitan ke-...-an. Dalam bahasa Melayu, tidak wujud apitan kebeR-...-an untuk menghasilkan bentuk kata seperti kebergantungan. 3. Kata tugas ialah unit yang tidak dapat berdiri sendiri yang memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Fungsinya sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, dan pemeri. Contoh : dan, atau, wah, sila, maka, akan, sangat, pun, dan ialah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 91 - 93. | Tatabahasa | 07.08.2018 |
Saya ingin bertanya soalan, apakah ejaan sebenar untuk perkataan di bawah; 1. PhD-nya atau PhDnya Apakah penjelasan untuk jawapan yang diberikan? Sekian, terima kasih. | Partikel “nya” merupakan kata ganti nama diri ketiga yang ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya, kecuali jika merujuk kepada Allah kerana pada perkataan tersebut perlu diletakkan sempang, iaitu ‘-Nya’. Oleh yang demikian, ejaan yang betul ialah “PhDnya”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 103 - 104. | Tatabahasa | 09.11.2023 |