Saya telah mengajukan kepada pihak DBP tentang pemenggalan suku kata bagi perkataan "Malaysia". Tetapi jawapan yang saya terima adalah (fff). Bolehkah saya tahu apakah maksud jawapan itu? Adakah pemenggalan suku kata seperti berikut? 1. (Ma-lay-sia) 2. (Ma-lay-si-a) Terima kasih. | Menurut Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi kedua pemenggalan suku kata bagi perkataan 'Malaysia" ialah [ Ma.lé.sia], iaitu pemenggalan mengikut sebutan bunyi. é bermaksud membunyikan e secara e taling. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara pemenggalan suku kata (pemisahan suku kata) dengan pemenggalan sebutan bagi kata bahasa Melayu. Pemenggalan suku kata ditandai oleh satu vokal, vokal itu dapat didahului atau diapit oleh konsonan (berbeza dengan pemenggalan sebutan). Kebiasaannya di peringkat prasekolah, pemenggalan dibuat berdasarkan suku kata. Oleh itu, jika berdasarkan suku kata, pemenggalannya ialah ( Ma.lay.si.a) | Ejaan | 02.03.2018 |
Salam. Apakah istilah sesuai bagi proses "hand lay-up" dalam bidang kejuruteraan? | Untuk makluman tidak ada istilah khusus untuk hand lay-up dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, setelah merujuk dalam Internet, kami dapati istilah ini sama dengan istilah contact moulding. Dalam pangkalan data kami, padanan bahasa Melayu untuk contact moulding ialah pengacuan sentuh (bidang Kejuruteraan). | Istilah | 17.04.2011 |
Salam Sejahtera. 1. Apakah terjemahan untuk "lay juror" dalam Bahasa Melayu? 2. Apakah perbezaan antara "kedua-dua negara" dan "kedua negara"? Adakah penggunaan istilah "kedua negara" ini salah? Terima kasih. | 1. Kami mencadangkan lay juror ialah juri awam. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan bergantung pada konteks ayat yang bersesuaian. 2. Perkataan kedua-dua negara tepat kerana mengikut hukum D (diterangkan) - M (menerangkan) dan kedua-dua di sini membawa maksud bilangan seramai atau sejumlah dua. Kedua negara tidak tepat kerana tidak mengikut hukum D - M. Kedua membawa maksud dalam bilangan, urutan atau kedudukan selepas yang pertama dan sebelum yang ketiga, oleh itu contoh pembentukan yang betul ialah, negara kedua, tempat kedua, dan tahap kedua. | Penyemakan dan penterjemahan | 13.09.2021 |
Saya ingin mendapatkan perkataan Bahasa Malaysia untuk: a) regulatory convergence; b) energy layout; dan c) electric smart grids. Terima kasih | Padanan bagi frasa: a) regulatory convergence; b) energy layout; dan c) electric smart grids tidak ada dalam sumber rujukan kami. Agak sukar untuk kami memberikan cadangan terjemahan kerana tidak mengetahui bidang penggunaannya. Kami berusaha juga untuk menyuaipadankan dengan kata/istilah yang ada, malangnya tidak sesuai. Contohnya: energy layout - energy bermaksud tenaga, manakala terjemahan lay out ialah reka letak atau susun atur. Jika digandingkan kedua-dua terjemahan ini menjadi 'reka letak tenaga', tetapi frasa ini tidak membawa apa-apa maksud yang boleh difahami. Harap pihak saudara dapat menghubungi kami semula untuk perbincangan lanjut. | Istilah | 29.03.2011 |