Perkara di atas adalah dirujuk. Dengan sukacitanya disini pihak kami ingin memaklumkan bahawa kerja kerja tersebut telah selesai pada 3hb Oktober 2014 iaitu tujuh belas (17) hari lebih awal daripada tarikh tamat kontrak iaitu 20hb Oktober 2014. Berkenaan dengan pemasangan skrin di pentas, sehingga ke hari ini pihak kami masih menunggu arahan seterusnya dari pihak tuan. Dengan itu pihak kami ingin memberi latihan pengendalian serta membuat penyerahan, pengujian dan pentauliahan pada hari Selasa bersamaan 14hb October 2014 ini. Kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan amatlah dihargai. | Perkara di atas adalah dirujuk. Dengan sukacitanya pihak kami ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja tersebut telah selesai pada 3 Oktober 2014 iaitu tujuh belas (17) hari lebih awal daripada tarikh tamat kontrak iaitu 20 Oktober 2014. Berkenaan dengan pemasangan skrin di pentas, sehingga ke hari ini pihak kami masih menunggu arahan seterusnya daripada pihak tuan. Dengan itu, pihak kami ingin memberi latihan pengendalian serta membuat penyerahan, pengujian dan pentauliahan pada hari Selasa bersamaan 14 Oktober 2014 ini. Kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan amatlah dihargai. | Tatabahasa | 07.10.2014 |
kejadian itu mungkin dapat dielakkan setelah langkah mencegah dibuat sejak lebih awal lagi. tuan, jika langkah mencegah dibuat dari awal lagi atau jika langkah pencegahan dibuat dari awal lagi atau lagipun, tuan...sejak awal lagi dan dari awal ladi...apakah perbezaan antara kedua-dua ini? tq | Penggunaan kata yang betul ialah "langkah mencegah" atau "pencegahan" (tidak perlu didahului oleh kata langkah) dan "sejak awal" atau "dari awal" (bukan sejak dari awal kerana antara makna sejak ialah dari). | Tatabahasa | 18.09.2011 |
Apakah yg dimaksudkan dengan sukan proaktif | Tidak ada maklumat tentang sukan proaktif dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan proaktif bermaksud sikap positif (individu, institusi dll) merangka atau melakukan sesuatu tindakan (setelah difikir masak-masak) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan yang berkenaan (tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku). | Makna | 04.07.2013 |
ADAKAH AYAT "SILA MENUNGGU BAS DI STESEN BAS MASING-MASING 10 MINIT AWAL' ITU BETUL? | Ayat yag lebih gramatis ialah "Sila tunggu bas di stesen bas masing-masing 10 minit lebih awal." | Tatabahasa | 21.03.2017 |
Berapa lamakah tempoh menunggu untuk kelulusan iklan melalui Khidmat Pengesahan Bahasa DBP? | Untuk makluman tuan, setiap permohonan dalam Khidmat Pengesahan Bahasa DBP akan diproses dalam tempoh 48 jam. Walau bagaimanpun, tempoh ini bergantung pada jumlah permohonan yang terkumpul pada sesuatu masa, berkemungkinan permohonan akan diproses lebih awal daripada tempoh tersebut ataupun sebaliknya. | Lain-lain | 29.08.2014 |
Adakah ayat ini ada bermasalah? Pihak kami menjangkakan kerja-kerja penebangan ini akan dilakukan selama sebulan,namun kita yakin akan dapat diselesaikan awal. | Cadangan ayat yang betul ialah Pihak kami menjangkakan kerja-kerja penebangan ini akan dilakukan selama sebulan dan kami yakin akan dapat menyelesaikan kerja ini dengan lebih awal. | Tatabahasa | 09.07.2021 |
Mohon pencerahan berkenaan didahului: Kerjasama tuan dalam hal ini amatlah dihargai dan "didahului" dengan ucapan ribuan terima kasih. kerjasama tuan dalam hal ini amatlah di dihargai dan pihak kami mendahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih. Semakan saya menggunakan kamus dewan 4 ,perkataan didahului tidak wujud. Mohon Juga pencerahan sama ada perkataan mendahului, didahulukan ....wujud.Sekian, terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, terdapat perkataan “didahului”, “mendahului” dan “didahulukan”. Antara maksud perkataan “didahului” dan “mendahului” seperti yang berikut: - Melepasi (seseorang atau sesuatu) dan berada di hadapan.
- Melebihi atau mengatasi seseorang atau sesuatu dari segi bilangan, markah, prestasi dan sebagainya yang diperoleh.
- Melakukan sesuatu lebih awal atau lebih cepat daripada seseorang atau sesuatu.
- Berlaku atau wujud sebelum atau lebih awal daripada sesuatu yang lain.
- Menduduki tempat paling atas dalam (senarai, carta dan sebagainya).
- Memberikan keutamaan pada sesuatu berbanding dengan yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, muka surat 466. | Makna | 10.12.2023 |
Salam, boleh saya tahu antara ejaan Wilkinson atau ejaan Za'ba, yang mana satu merupakan ejaan rumi pertama yang digunakan secara meluas di kalangan rakyat untuk bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu? Ataupun terdapat ejaan rumi lain yang lebih lama yang telah digunakan di sekolah-sekolah atau pondok pengajian Melayu secara rasminya? | Ejaan rumi yang lebih awal digunakan ialah Ejaan Wilkinson namun Ejaan Za’ba atau Ejaan Sekolah merupakan ejaan rumi yang digunakan lebih meluas terutama di sekolah dan dalam urusan rasmi sejak tahun 1924 hingga 1972. (Ensiklopedia Bahasa Melayu -2015 dan Encyclopedia of The Malay Language and Linguistics - 2020) | Lain-lain | 11.06.2022 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Peristiwa (suram) itu terjadi 10 tahun yang lalu. (b) Tulisannya sukar dibaca kerana sangat (kotor). (c) Rumah nenek nampak (segar) selepas dipasang kain langsir. (d) Anita Lim baru (segar) daripada demam. (e) Saya tidak suka makan daging kambing kerana baunya (manis). (f) Lembu jantan itu merenung kami dengan wajah yang (manis). (g) Kami tidur (rapat) kerana khemah itu sempit. (h) Lori itu (rapat) melanggar sebuah motosikal. (i) Ibu bangun lebih awal untuk (panas) lauk untuk kami. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
Assalamualaikum/Salam sejahtera. Saya mahu membuat pertanyaan mengenai perkataan Lead. Perkataan ini ialah istilah yang digunakan dalam pemasaran internet. Sebagai penerangan, berikut ialah maklumat yang saya jumpa di dalam laman sesawang: In a sales context, a lead refers to contact with a potential customer, also known as a “prospect”. Depending on the organisation, the definition of the term “lead” may vary. For some companies, a “lead” is a contact already determined to be a prospective customer, whereas other companies consider a “lead” to be any sales contact. Tetapi saya cuba buat carian, tiada terjemahan untuk perkataan tersebut (atau mungkin carian yang saya buat salah). Harap dapat maklum balas dari pihak anda. | Lead boleh diterjemahkan kepada pendulu, utama dan sebagainya bergantung pada konteks penggunaannya. Tuan boleh lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=lead untuk maklumat lanjut. Berdasarkan konteks "lead" ialah individu yang lebih awal berada dalam kumpulan dengan membawa bakal pelanggan yang berpotensi. Sukar untuk diterjemahkan dalam satu perkataan khusus kecuali keterangan yang berkaitan dengan peranannya seperti pelanggan awal atau penghubung utama. | Penyemakan dan penterjemahan | 29.05.2019 |