“sementelahan itu”betul tak? ribuan terima kasih | Perkataan "Sementelahan" bermaksud: lebih-lebih lagi, tambahan pula atau apalagi. Tidak perlu ditambah dengan perkataan "itu". | Istilah | 20.06.2016 |
Asal - usul (etimologi) istilah gelemaca dan gelemair. Adakah ia singkatan dua perkataan, hasil pembinaan istilah DBP atau memang wujud dalam kosa kata Melayu sejak sekian lama? | Tidak ada maklumat tentang etimologi kata lebih-lebih lagi istilah dalam pangkalan data kami. Melalui rujukan kami juga tidak ada perkataan gele atau gelem untuk membuktikan kata ini dibina daripada dua kata berasingan. Jika tuan berminat untuk membuat kajian, sila berhubung terus dengan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP. | Istilah | 15.03.2018 |
Tidak bolehkah menggunakan huruf hamzah seperti dalam tulisan arab? Ini kerana, untuk menunggu huruf hamzah tiga suku dimasukkan ke dalam unicode, akan mengambil masa yang agak panjang dan dapat membantutkan perkembangan tulisan jawi. Lebih-lebih lagi jenis font yang menyokong huruf jawi secara unicode yang digunakan diseluruh dunia amatlah terhad, oleh itu saya menyeru DBP agar membatalkan hasrat untuk meletakkan kedudukan hamzah pada kedudukan tiga suku. Perubahan adalah baik, tetapi perubahan kedudukan hamzah ini hanya membantutkan perkembangan tulisan jawi. Sekiranya huruf hamzah kekal pada kedudukan seperti dalam bahasa Arab, sudah tentu font biasa seperti Arial pun sudah dapat menyokong penulisan jawi. Mungkin inilah sebab mengapa tulisan jawi tidak mampu tulisan ini akan susah untuk matang seperti matangnya tulisan parsi, uighur, urdu dan lain-lain dalam sistem perkomputeran. Tidak perlu tunggu pengesahan unicode, cuma guna sahaja huruf hamzah yang sedia ada, tidak perlu dinaikkan kepada ketinggian tiga suku. Sekian. | Terima kasih atas makluman dan cadangan yang tuan berikan. Maklumat yang baik ini kami salurkan kepada Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP untuk kemas kini buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi. | Lain-lain | 18.12.2017 |
Berapa kerapkah korpus DBP dikemas kini dan adakah semua terbitan bahasa Melayu dimasukkan ke dalam korpus tersebut? | Korpus DBP telah dibangunkan beberapa tahun dahulu dan belum lagi dibuat kemas kini. Kami berpandangan tidak semua terbitan berbahasa Melayu dimasukkan dalam korpus, lebih-lebih lagi terbitan terkini. Sumber korpus boleh dilihat melalui http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/Report/SenaraiBahan.aspx. Korpus DBP merupakan antara fungsi Bahagian Peristilahan, DBP. | Lain-lain | 01.06.2020 |
Assalamualaikum 1. Guru yang mempunyai pengalaman lebih lama lebih tinggi tahap efikasi berbanding guru yang lebih junior. Adakah frasa "yang mempunyai pengalaman lebih lama" lebih sesuai dengan digantikan dengan kata senior? Kenapa? 2. Guru yang memiliki efikasi kendiri dan efikasi mengajar menyumbang kepada perubahan tingkah laku positif murid. Adakah kata efikasi pada frasa efikasi mengajar perlu digugurkan? 3. Hiperaktif merupakan kategori masalah penyesuaian tingkah laku yang paling kerap dilakukan oleh kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun. Apakah tepat penggunaan kata dilakukan dalam konteks ayat di atas? Adakah kata ditimbulkan atau dicetuskan lebih tepat? Terima kasih | Wa alaikum salam. Jawapan bagi soalan 1: Daripada sudut tatabahasa, kedua-dua frasa iaitu "Guru yang mempunyai pengalaman lebih lama" dan "senior" boleh digunakan dan betul penggunaannya. Walau bagaimanapun, daripada sudut kesopanan dan aspek semantik, frasa "yang mempunyai pengalaman lebih lama" lebih sesuai digunakan. Jawapan bagi soalan 2: Kekalkan frasa "efikasi mengajar" dalam ayat tersebut. Jawapan bagi soalan 3: Penggunaan kata "ditimbulkan" lebih tepat dalam konteks ayat tersebut.
| Makna | 31.05.2017 |
Apakah beza antara 'lebih rumit' dan 'lebih merumitkan lagi'? Adakah kedua-duanya sesuai digunakan pada permulaan ayat | Perkataan “lebih rumit” membawa maksud tidak mudah; lebih susah; lebih sukar dan lebih sulit. Contoh ayat, “Perkembangan baru pada sesuatu penyakit yang menjadikannya lebih rumit untuk dirawat dan diubati”. Manakala perkataan “lebih merumitkan lagi” membawa maksud lebih menyukarkan, lebih menyulitkan dan lebih menyusahkan. Contoh ayat, “Kalau dirinya sakit, keadaan lebih merumitkan lagi, dia tidak dapat pergi ke laut”. Kebiasaannya, frasa ini hanya wujud di pertengahan ayat. | Tatabahasa | 20.02.2020 |
1. Sementelahan itu atau Sementelahan (kalau digunakan dalam permulaan ayat) 2. Sehubungan dengan itu atau sehubungan itu? | Menurut data kami, perkataan yang betul ialah sementelahan yang bermaksud lebih-lebih lagi; tambahan pula: Ibu tidak ke pasar hari ini kerana sakit kepala, ~ pula hari hujan lebat. (Kamus Pelajar Edisi Kedua). Mengikut Kamus Dewan, perkataan sehubungan bermaksud berkaitan dengan, bersangkutan dengan. Frasa sehubungan dengan itu bermaksud sama dengan. Oleh yang demikian, frasa sehubungan itu dan sehubungan dengan itu, kedua-duanya betul. Walau bagaimanapun, frasa yang lebih tepat ialah sehubungan dengan itu kerana merujuk perkataan berhubung dengan itu perlu ada perkataan dengan. | Tatabahasa | 13.06.2018 |
Yang manakah adalah ayat yang betul? Jika terdapat kesalahan, bolehkah tuan menerangkan sebab kesalahan tersebut: 1) gerai ini menjual pelbagai barangan daripada makanan, pakaian hingga barangan perhiasan. 2) kita sedang berada pada/di ketinggian 10 000 kaki 3) tambang dikenakan untuk/ke atas setiap penumpang setiap hala (per passenger per way) 4) bayaran penyertaan yang dikenakan kepada/ke atas/untuk setiap peserta ialah sebanyak RMXXX 5) nikmati lebih/lebih banyak ganjaran dengan program kesetiaan kami terima kasih | 1. Gerai ini menjual pelbagai barangan seperti makanan, pakaian dan barangan perhiasan. (kata sendi nama 'daripada' dan hingga tidak sesuai digunakan) 2. Kita sedang berada pada ketinggian 10,000 kaki (Sendi nama 'pada' dalam ayat ini merujuk keterangan waktu atau masa manakala 'di' pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat yang tetap) 3. Tambang pergi balik dikenakan kepada setiap penumpang (Sendi nama kepada merujuk kepada orang atau objek dan ke atas pula menunjukkan arah) 4. Bayaran penyertaan yang dikenakan kepada setiap peserta ialah RMXXX. (Sendi nama kepada merujuk kepada orang atau objek) 5. Nikmati lebih/lebih banyak ganjaran dengan proram kesetiaan kami (kedua-dua ayat ini betul) | Tatabahasa | 18.02.2018 |
Kata sendi nama manakah yang betul dalam ayat ini: "Buku ini dipinjam dari/daripada perpustakaan"? Dalam ayat ini, perpustakaan adalah tempat, dan pada masa yang sama juga ia adalah asal atau punca buku itu dipinjam. Mohon pencerahan, terima kasih. | Penggunaan yang betul ialah daripada. Dalam ayat tersebut, perkataan dipinjam boleh digunakan sebagai penentu penggunaan kata sendi sama ada dari dan daripada. Ayat tersebut lebih lebih kepada sumber atau punca. | Tatabahasa | 06.08.2020 |
Tuan, yang manakah betul, "pandangan hidup" atau "pandangan kehidupan", "gaya hidup" atau "gaya kehuidupan"? "Live" perbuatan bahasa Inggeris yang sepadan dengan "hidup"; "life" pula nama "live" bahasa Inggeris dan setimbal dengan "kehidupan". "Kehidupan" bentuk nama bagi perbuatan "hidup". Jadi, saya berpendapat bahawa yang betul "pandangan kehidupan" dan "gaya kehidupan" kerana "gaya kehidupan" selari dengan "lifestyle". Jika kita menulis "gaya hidup, maka padanan dalam bahasa Inggeris "livestyle", ini tidak betul! Lebih-lebih lagi, kita hendak menerangkan gaya tentang hal hidup kita, seperti gaya tidur kita, iaitu pukul berapa tidur, adakah berjoging antara hal hidup (kehidupan) kita, pemakanan antara hal hidup kita, jadi "gaya kehidupan" ini termasuklah gaya kita makan, sama ada makan makanan sihat atau sebaliknya. Samalah halnya dengan "pandangan kehidupan" - pandangan tentang hal-hal yang berlaku semasa kita hidup, hal hidup. "Gaya hidup" membawa maksud yang salah, kerana "hidup" ada kaitan dengan keadaan ada nafas, maka "gaya hidup"lah gaya bernafas kita, gaya kita "ada nyawa" (hidup = ada nyawa), maka tidak sampailah maksud! Kehidupan = life, lifestyle = gaya kehidupan. | Untuk makluman, gaya hidup ialah padanan bahasa Melayu untuk istilah "life style' dan pandangan hidup ialah padanan bahasa Melayu untuk "worldview" atau "world outlook". Istilah ini telah digunakan dalam pelbagai bidang ilmu dan tidak perlu ditukar kerana telah diterima dan telah mantap. Sekiranya puan tidak bersetuju dengan istilah tersebut, sila kemukakan pandangan puan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP. | Istilah | 16.12.2016 |