lebuh-lebuh raya? lebuh raya-lebuh raya? pasar-pasar raya? pasar raya-pasar raya? yang mana betul? terima kasih. | Penggunaan yang betul ialah lebuh-lebuh raya dan pasar-pasar raya. Walau bagaimanapun perkataan ini tidak digandakan kerana untuk memastikan sama ada perkataan tersebut dalam bentul tunggal atau jamak boleh dilihat kepada keseluruhan ayat. Ayat "Perjalanan ke rumahnya melalui sebatang lebuh raya ..." sudah pasti dalam lebuh raya tersebut dalam bentuk tunggal dan ayat "Pasar raya di seluruh negara akan menganjurkan ..." sudah pasti banyak pasar raya yang terlibat. | Ejaan | 20.06.2011 |
Adakah kosa kata "pan" sudah menjadi kosa kata bahasa Melayu? Contohnya Lebuh Raya Pan Borneo. Di Singapura misalnya, Pan Island Expressway (PIE) diterjemahkan sebagai Lebuh Raya Rentas Pulau (PIE). Adakah sepatutnya Lebuh Raya Pan Borneo diterjemahkan sebagai Lebuh Raya Rentas Borneo? | Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan pan ialah awalan asing yang membawa maksud seluruh atau segenap dan juga alat untuk menggoreng. Perkataan pan telah diterima pakai dalam bahasa Melayu seperti dalam pan-Afrika dan pan-Asia. Jika mengikut padanan maksud ayat, Lebuh Raya Pan Borneo diterjemahkan sebagai Lebuh Raya Seluruh Borneo. Walau bagaimanpun, perkataan tersebut telah didaftarkan/ digazetkan. | Istilah | 29.03.2018 |
"Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai" atau "Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai"? | Ejaan yang betul ialah "Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai". | Ejaan | 18.08.2011 |
Saya ingin mendapatkan terjemahan untuk istilah berikut: a) user-pay - konteks ayat: projek lebuh raya berkonsep 'user-pay' - pengguna lebuh raya yang akan menyumbang kepada hasil kutipan pengendali lebuh raya. b) more interconnected - konteks ayat: keadaan ekonomi dan hubungan dagangan dunia Sekian, terima kasih. | Istilah user-pay dan more interconnected masih belum ada dalam pangkalan data kami, cadangan bagi terjemahan user-pay ialah bayaran pengguna manakala more interconnected pula ialah saling berkait atau saling berhubung. | Istilah | 12.10.2018 |
Apakah terjemahan yang paling tepat bagi "Central Spine Road / Expressway"? Adakah "Jalan / Lebuh Raya Tulang Belakang Tengah"? | Padanan bahasa Melayu bagi Central Spine Road ialah Lebuh Raya Utama Tengah dan Expressway ialah Lebuh Raya. | Makna | 25.10.2010 |
Lebuh raya itu menghubungi Seremban dengan Kuala Lumpur atau Lebuh raya itu menghubungkan Seremban dengan Kuala Lumpur Anak emas-anak emas atau Anak-anak emas | Saudara, Perkataan yang betul ialah menghubungkan dan anak-anak emas. | Tatabahasa | 02.10.2009 |
Salam, Apakah cara yang betul untuk menulis istilah 'lebuh raya' jika digabungkan dengan nama khasnya? Contoh: Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Utara-Selatan dan sebagainya. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah lebuh raya. Tetapi jika nama khas, apatah lagi nama yang digazetkan, walaupun ejaannya tidak mengikut Sistem Ejaan Rumi, hendaklah ditulis mengikut ejaannya yang telah digazetkan. Contohnya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). | Lain-lain | 02.09.2014 |
1)Projek pembinaan lebuh raya itu dijangka pada tahun hadapan siap sepenuhnya. 2)Jangankan adik,sedangkan abang tidak dapat mengangkat batu giling yang berat itu. Soalan-soalan tersebut salah mana? | Ayat yang lebih gramatis ialah: 1. Projek pembinaan lebuh raya itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan. 2. Jangankan adik, abang pun tidak dapat mengangkat batu giling yang berat itu. | Tatabahasa | 04.02.2012 |
Assalamualaikum, Apakah penjodoh bilangan yang sesuai bagi lebuh raya? Terima kasih. | Jika mengambil kira penjodoh bilangan yang biasa digunakan untuk jalan ialah sebatang (penjodoh bilangan bagi benda yang panjang-panjang), oleh itu penjodoh bilangan yang sesuai untuk lebuh raya ialah sebatang. | Tatabahasa | 07.09.2008 |
Ejaan dan penggunaan 'pasar raya / pasaraya' dan 'lebuh raya / lebuhraya' sering berbeza dan mengelirukan. Apakah ejaan / penggunaan yang betul, satu atau dua perkataan? | ejaan yang betul pasar raya dan lebuh raya. | Tatabahasa | 10.07.2007 |