| Salam hormat, Lema *Jibrail - mentakrifkan malaikat yang menyampaikan wahyu kepada rasul atau nabi. Manakala *Jibril (ejaan tanpa a) terdapat pada lema *wahyu mentakrifkan firman (kalam) Allah yang dibaca kepada nabi dan rasul-Nya yang disampaikan sama ada melalui malaikat (Jibril) ataupun tanpa melaluinya. Juga pada lema *mewahyukan - mentakrifkan menurunkan wahyu kepada, menyampaikan petunjuk (pengajaran dll) dengan wahyu disampaikan kepada Nabi oleh Jibril... Persoalannya - boleh perkataan *Jibril digunaka di samping perkataan *Jibrai? | Salam hormat dan terima kasih atas perhatian yang diberikan. Untuk makluman, kamus terkini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Kamus Dewan Perdana, 2020) telah memasukkan entri Jibril dan ditakrifkan seperti berikut: Jibril جبريل [dʒib·ril] n malaikat yg tugasnya menyampaikan wahyu kpd rasul Manakala entri Jibrail ditakrifkan seperti berikut: Jibrail جبرائيل [dʒib·rɒ.·il] n Jibril Walaupun kedua-dua ejaan dimasukkan sebagai entri, ejaan Jibril lebih lazim penggunaanya berbanding Jibrail. Terima kasih. | Ejaan | 18.05.2025 |
| Kamus Dewan IV - lema *bersapa membawa maksud *keteguran (oleh hantu dan lain-lain), manakala *menyapa membawa maksud antara lainnya *mengur, Begitu juga *bertegur sapa membawa maksud *saling menyapa, dan *menegur sapa pula membawa maksud *menyapa. Persoalannya kenapa tiada lema *bersapa yang memberi maksud *bertegur, sedangkan dalam pantun Kurik Kundi Merah Saga memberi erti *betegur seperti pantun berikut: Sayang kelapa buahnya masak, batangnya condong ke pokok manggaa; merajukkan sayang bersapa tidak, sepanjang malam saya berduka. Mohon pencerahan. | Untuk makluman, makna bagi bersapa dalam Kamus Dewan dimasukkan berdasarkan data korpus penggunaan masyarakat ketika itu dan sebelumnya. Makna bersapa yang membawa maksud bertegur dengan seseorang untuk mengajaknya bercakap-cakap telah dimasukkan dalam kamus yang terkini, iaitu Kamus Dewan Perdana yang diterbitkan pada tahun 2020. Untuk maklumat lebih lanjut, silalah dapatkan Kamus Dewan Perdana di kedai buku DBP atau melalui laman portal DBPNiaga.my | Makna | 14.12.2025 |
| Lema *merang dalam Kamus Dewan IV hanya mentakrifkannya sebagai *merah merang/*merah sungguh. Maksud kedua sebagai *Jw *tangkai padi yang sudah kering. Serangkap pantun dalam "Kurik Kundi Merah Saga" bawah tema *Budi berbunyi begini: Banayk saya menabur padi, padi habis dimakan *merang; banyak saya menabur budi, budi tidak dipandang orang. Saya yakin *merang yang dimaksudkan itu iadalah juga *memerang. Soalannya bolehkan *merang diterima sebagai lema *merang juga? | Kami tidak dapat mengesahkan andaian makna merang dalam pantun yang tuan berikan sebagai memerang. Makna merang yang terdapat dalam kamus berdasarkan maklumat data korpus. Memerang (binatang) dalam kamus bersinonim dengan anjing air dan berang-berang. | Makna | 07.12.2025 |
| apakah pengunaan kata sendi nama yang betul sebelum lema 'kalangan'? contohnya: '... dalam kalangan...' ataupun '... di kalangan ...' manakah yang lebih tepat dan betul digunakan? | Saudara, Yang lebih tepat dan betul ialah dalam kalangan kerana merujuk lingkungan bukan tempat. | Tatabahasa | 09.03.2010 |
| saya Hasbi bt Hussin, ingin bertanya mengenai konsep-konsep berikut dari sudut perkamusan, bolehkah terangkan kepada saya? i) korpus dan korkordans ii) tilde dan lema iii) fonemik dan fonetik | Korpus bermaksud (Lin) himpunan makalah (tulisan dsb) mengenai sesuatu perkara tertentu atau kumpulan bahan utk kajian (spt kumpulan contoh penggunaan kata dll). Konkordans bermaksud (Lin) senarai kata dlm korpus (buku, majalah, dsb) yg disusun mengikut abjad yg menyatakan kedudukan sesuatu kata, dan cara penggunaannya dlm bahagian korpus yg berkenaan. Tilde bermaksud lambang (~) spt yg digunakan di dlm sesebuah kamus sbg pengganti kata masukan pd bahagian tertentu sesuatu entri. Lema bermaksud (Lin) kata masukan dlm kamus, entri. Fonemik bermaksud (Lin) 1. bkn fonem; 2. kajian linguistik tentang fonem. Fonetik bermaksud ilmu bahasa (linguistik) yg berkaitan dgn penyebutan kata dan lambang yg menunjukkan sebutannya. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 04.04.2009 |
| Seperti sedia maklum, kata bahasa Inggeris "repertoremic" tidak terdapat dalam pangkalan data PRPM (sekalipun sebagai lema dalam kamus bahasa Inggeris) tetapi kata ini wujud hendak dieja dalam bentuk transliterasi bahasa Melayu (bukan dipinjam terus dan dicondongkan). Berdasarkan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, adakah betul bentuk ejaan bakunya "repertoremik"? | Mengikut kaedah penyesuaian ejaan, repertoremik boleh diterima sebagai padanan repertoremic dalam bahasa Melayu. | Ejaan | 13.06.2013 |
| Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) (begitu juga Dewan Eja Pro), lambat-laun dieja dengan sempang. Menurut tatacara ejaan, kata majmuk (gabungan kata yang masing-masing dapat berdiri sendiri dan mempunyai makna tersendiri) tidak boleh dieja dengan tanda sempang, contohnya pandu lalu, ubah suai, reka bentuk dan sebagainya, tidak seperti kata ganda (rama-rama, isu-isu, berhari-hari) dan kata ganda berirama (gunung-ganang, kusut-masai, saki-baki). Laun merupakan lema berasingan dan takrifnya diperikan dalam KD4, dengan maksud yang (hampir) sama dengan lambat yang turut berupa lema dan bertakrif. Persoalan di sini, adakah berlaku kesilapan dalam KD4 (maka, ejaan betul ialah lambat laun) atau sememangnya sengaja dieja begitu. Jika sengaja, mohon justifikasi yang membatalkan konsep "kata majmuk" pada kata lambat laun diberikan. Sekian, terima kasih. Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad | Peraturan ejaan yang menyatakan kata majmuk, iaitu gabungan kata yang masing-masing dapat berdiri sendiri dan mempunyai makna tersendiri tidak perlu diletakkan tanda sempang adalah betul. Oleh itu, ejaan yang betul ialah lambat laun. | Ejaan | 13.01.2014 |
| Yang berikut ialah kekerapan perkataan berkenaan dirakamkan dalam Kamus DBP tertentu: kadangkala Kamus Dewan - 33 kali Kamus Pelajar - 5 kali Kamus Pelajar II - 12 kali Kamus Komputer – 1 kali Jumlah 51 kali kadang kala Tiada dalam mana-mana kamus DBP ada kala Kamus Dewan - 1 kali Kamus Pelajar - 1 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Jumlah 7 kali ada kalanya Kamus Dewan - 47 kali Kamus Pelajar - 4 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Kamus Komputer - 1 kali Jumlah 57 kali adakalanya Kamus Dewan - 1 kali Jumlah 1 kali adakala Kamus Dewan - 3 kali Jumlah 3 kali 1. Ejaan untuk kata kadangkala adalah jelas satu perkataan. 2. Perhatikan bahawa adakala dimasukkan sebagai satu perkataan di tiga (3) tempat dalam Kamus Dewan termasuklah sebagai lema/entri utama/kata masukan, tetapi di tempat lain dimasukkan sebagai ada kala sebanyak tujuh (7) kali, malah ada kala dengan partikel -nya (ada kalanya) dirakamkan sebanyak 57 kali dalam Kamus DBP. Dengan kekerapan yang tinggi sebagai dua perkataan (ada kala/ada kalanya), mustahil berlaku kesilapan semasa penyuntingan, juga mustahil semasa atur huruf. Jadi, muktamadnya, kata ini harus dieja bagaimana? Qiu Syah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) | Kami ambil maklum atas kekeliruan yang berlaku. Pihak kami akan berbincang dengan bahagian lain yang terlibat di DBP seperti Bahagian Perkamusan serta Bahagian Peristilahan dan Leksikologi bagi mencari satu ketetapan untuk dijadikan panduan. Pihak kami akan menghubungi saudara melalui alamat e-mel yang diberikan dengan kadar segera. | Lain-lain | 15.08.2012 |