Manakah perkataan yang sesuai digunakan untuk sekolah, lencana, logo atau lambang ? Adakah istilah ini berubah mengikut situasi? Contoh - lencana sekolah pada baju, tapi lambang/ logo sekolah pada kepala surat. Secara umum mana satu? Terimakasih | Menurut Kamus Pelajar, lencana ialah tanda yang dibuat daripada logam atau kain (mempunyai reka bentuk tertentu) untuk menunjukkan keanggotaan sesuatu persatuan atau murid sesebuah sekolah. Lambang pula ialah tanda (lukisan, lencana dan lain-lain) yang digunakan untuk memperkenalkan atau untuk menyatakan sesuatu simbol atau isyarat. Contoh, Warna putih lambang kesucian. Manakala logo pula ialah lambang khas sesuatu badan, pertubuhan dan sebagainya, yang tersirat dengan maksud tertentu. Contohnya gambar daun lontar merupakan lambang Dewan Bahasa dan Pustaka yang digunakan pada kepala surat, lencana, logo, program rasmi DBP dan lain-lain. Begitu juga lambang sekolah digunakan pada lencana pelajar, kepala surat, program rasmi sekolah dan pelbagai lagi. | Tatabahasa | 30.05.2013 |
Adakah ayat di bawah salah: 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Pada pendapat saya, 3 & 4 tidak mempunyai kesalahan tetapi 1 & 2 sepatutnya, 1. Tiap-tiap/ Setiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak mematuhi larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. atau ( patuh akan larangan ) Apakah pendapat tuan/ puan. Terima kasih. | 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. Betul kerana tiap sama dengan setiap dan tiap-tiap. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. Salah, yang betulnya ... tidak mematuhi larangan .... 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. Tiada kesalahan. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Tiada kesalahan.
| Tatabahasa | 17.10.2012 |
Saya ingin tahu erti sebenarn apakah maksud lencana SAYA ANTI RASUAH sepertimana yang di pakai oleh Pegawai dan anggota PDRM. | Rasuah bermaksud perbuatan yang salah di sisi undang-undang seperti menerima atau memberikan wang suap(pecah amanah, menggelapkan wang dll.) Anti- ialah awalan yang bermaksud bertentangan dengan, melawan,menentang. Antirasuah bermaksud tidak menerima atau mengamalkan perbuatan menerima rasuah. Sdr. boleh menghubungi Polis Diraja Malaysia. | Lain-lain | 01.10.2007 |
cogan atau cogan kata | Makna cogan ialah panji-panji atau lencana sebagai lambang; atau disebut juga cogan kata. | Makna | 29.05.2008 |
Saya ingin tahu terjemahan untuk frasa 'premium gift' dan 'button bagde' dalam Bahasa Malaysia. Juga 'ceramic mug'. Terima kasih. | Untuk makluman tidak ada istilah bahasa Melayu yang khusus dalam pangkalan data kami untuk istilah yang tuan kemukakan. Walau bagaimanapun, cadangan istilah bahasa Melayu ialah cenderamata istimewa (premium gift), lencana butang (button badge) dan kole seramik (ceramic mug). | Istilah | 08.02.2012 |