Penggunaan Tatabahasa Ayat: 1. Semua pelajar tingkatan 1, 2, 3, dan 4 diwajibkan menggunakan pakaian seragam sekolah yang lengkap. 2. Semua pelajar tingkatan 1, tingkatan 2, tingkaan 3, dan tingkatan 4 diwajibkan menggunakan pakaian seragam sekolah yang lengkap Soalan: Ayat mana yang betul, 1 atau 2?. Apakah kesalahannya? Terima kasih. | Kedua-duanya betul dan gantikan perkataan menggunakan kepada memakai. | Tatabahasa | 07.02.2012 |
Saya memerlukan maklumat (biodata lengkap) 5 orang penyajak berasal dari negeri perak beserta beberapa contoh(1 penyajak 1 hasilan sajak mereka) untuk rujukan saya menyiapkan kertas kerja saya | Sdr. dicadangkan membuat rujukan bahan tersebut di mana-mana perpustakaan negeri atau perpustakaan IPTA yang berhampiran tempat tinggal sdr. Juga sdr. boleh membuat rujukan di perpustakaan atau Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 28.10.2008 |
apa maksud paradima | Paradigma ialah 1. daftar atau kumpulan lengkap bentuk terbitan sesuatu perkataan; 2. contoh atau model yang jelas tentang sesuatu: kedudukan dunia media hari ini mempunyai empat trend utama yang diterima sebagai ~ yang universal; 3. lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yang ada; anjakan ~ peralihan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru (biasanya kepada yang lebih baik). | Makna | 27.08.2010 |
1. Apakah perbezaan di antara ayat-ayat berikut/yang mana satu ayat yang betul? a. Susun semula perkataan di bawah supaya menjadi ayat yang betul. b. Susun perkataan di bawah semula supaya menjadi ayat yang betul. a2. Susun dan tulis semula ayat di bawah supaya menjadi cerita yang lengkap. b2. Susun dan tulis ayat di bawah semula supaya menjadi cerita yang lengkap. | Ayat yang betul ialah : Susun semula perkataan di bawah supaya menjadi ayat yang betul. Susun dan tulis semula ayat di bawah supaya menjadi cerita yang lengkap. | Tatabahasa | 09.05.2008 |
Assalamualaikum.. Persoalan saya; 1.Mengapakah suatu ayat itu dikatakan tidak gramatis? 2.Bagaimanakah untuk membezakan ayat lengkap dengan ayat yang tidak gramatis, beserta contohnya. terima kasih. | Ayat yang gramatis merupakan ayat yang betul mengikut prinsip-prinsip nahu atau tatabahasa. Setiap bahasa mempunyai tatabahasanya. Tatabahasa ialah peraturan berdasarkan sesuatu teori tertentu yang menghuraikan ayat-ayat dalam sesuatu bahasa dengan kaedah yang paling mudah, tepat dan lengkap. Contoh: Kamil berjalan kaki ke sekolah apabila tayar basikalnya pancit. Ayat tersebut tidak gramatis kerana penggunaan kata penghubung ayat yang tidak tepat. Ayat yang gramatis ialah Kamil berjalan kaki ke sekolah kerana tayar basikalnya pancit. | Tatabahasa | 06.07.2013 |
definasi 'sekuriti', definasi 'keselamatan', definasi 'pusat' dan definasi 'membeli' yang lengkap | sekuriti bermaksud 1. sijil saham,bon dsb. bagi membolehkan pemegangnya berhak mendapat bayaran faedah dan dividen 2. keselamatan bermaksud perihal selamat,kesejahteraan, keamanan 3. pusat bermaksud 1. lekuk di tengah-tengah perut2. titik di tengah-tengah sekali3.kawasan yang terletak di tengah-tengah benar 4. membeli bermaksud memperoleh barang dengan membayar. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 16.07.2008 |
apa makna perkataan paradigma? boleh tolong terangkan.terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, paradigma bermaksud 1. daftar atau kumpulan lengkap bentuk terbitan sesuatu perkataan; 2. contoh atau model yg jelas tentang sesuatu: kedudukan dunia media hari ini mempunyai empat trend utama yg diterima sbg ~ yg universal; 3. lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pd sesuatu masa yg dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yg ada; anjakan ~ peralihan paradigma drpd satu lingkungan atau batasan kpd sesuatu yg baru (biasanya kpd yg lebih baik). | Tatabahasa | 07.09.2012 |
a. Adakah ayat di bawah betil? 1. Dapat menguasai semua huruf. 2. Masih perlu berusaha. 3. Masih ada huruf-huruf yang perlu dikuasai. 4. Sangat memuaskan. 5. Pembentukan suku kata sangat memuaskan. 6. Masih belum menguasai suku kata yang dipelajari. 7. Sederhana dalam pembentukan suku kata. 8. Ada kemajuan dalam mengenali suku kata. 9. Sebutan suku kata yang lancar. 10. Pencapaian yang bagus dalam ejaan. 11. Masih ada ruang untuk kemajuan. 12. Masih belum boleh bercerita tetapi kopmunikasi yang mudah dapat difahami. 13. Masih dalam proses untuk kemajuan. 14. Pencaipaian yang memuaskan dalam segi cerita dan komunikasi. 15. Dapat menyusun semula ayat dengan penuh keyakinan. 16. Penyusunan semula ayat masih perlu diperhatikan. 17. Dapat membaca ayat dengan penuh keyakinan. 18. Pembacaan ayat tidak lancar. 19. Bacaan kurang lancar. 20. Masih belum boleh membaca ayat. 21. Perlu bimbingan yang lebih dari guru. 22. Tulisan yang kemas. 23. Masih perlu latihan yang lebih dalam teknik menulis. | 1. Dapat menguasai semua huruf. - Ayat ini tidak lengkap kerana tidak ada subjeknya. 2. Masih perlu berusaha. - Tidak lengkap kerana tiada subjek. 3. Masih ada huruf-huruf yang perlu dikuasai. - Ayat tidak lengkap. Untuk soalan 4 - 23, sila rujuk kamus dan buku Tatabahasa Dewan. Sebahagian besar daripada contoh yang diberikan bukan ayat lengkap, tidak ada subjek atau pelaku dalam ayat tersebut. Untuk membina ayat dengan lengkap, rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Pembentukan Kata dan Pembentukan Ayat. | Tatabahasa | 14.05.2012 |
Selamat pagi : 1.Bagi murid tahun 1 dan 2 , jika mereka menulis ayat a.Ali sedang bersenam.( 3 markah ) Pada pendapat tuan , berapakah markah dapat diberi untuk ayat itu??? 2.Betulkah semua kata kerja berimbuhan MeN- mesti diikuti dengan objek?????.Jika murid menulis kata kerja tak transitif CTHnya:Kassim membaca di dalam dewan.Ayat ini betul????Dapat markah ??? | 1. Ayat tersebut betul dan lengkap. 3 markah adalah memadai bergantung pada jumlah dan bentuk soalan yang lain. 2.Tidak semua kata kerja diikuti dengan objek, misalnya memberontak atau menangis. Ayat "Kassim membaca di dalam dewan" itu betul. | Tatabahasa | 14.08.2007 |
ASSALAMUALAIKUM...SAYA MEMPUNYAI BEBERAPA SOALAN.. 1) BAGAIMANA UNTUK SAYA MEMOHON JAWATAN KOSONG YANG DI IKLANKAN DI DALAM BERITA MINGGUAN YANG BERTARIKH 8 APRIL 2007? 2) BAGAIMANA UNTUK MENJADI AHLI DBP? | 1. Sila isikan dengan lengkap Borang Permohonan Jawatan Kosong yang disediakan di laman web DBP. Lampirkan salinan dokumen sokongan sebagaimana yang dikehendaki/dinyatakan di dalam iklan. 2. Bagi soalan kedua yang anda kemukakan, mohon diperjelaskan maksud AHLI DBP. Adalah ia membawa maksud menjadi pegawai DBP, atau menjadi ahli Kelab Rakan Dewan atau ia membawa maksud lain selain daripa apa yang dinyatakan ini? | Lain-lain | 11.04.2007 |