Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Bilakah penggunaan imbuhan diper...kan dan memper...kan? Apakah kata-kata yang boleh menngunakan kedua-dua imbuhan ini dan mengapa? Antara berikut, yang manakah betul? a. kata-kata aluan b. kata alu-aluan? | Apitan diper...kan boleh digunakan untuk golongan kata nama atau kata kerja, dan akan membentuk kata kerja; contohnya, isteri - diperisterikan, dengar - diperdengarkan. Begitu juga dengan apitan memper...kan, golongan kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper...kan untuk membentuk kata kerja, contohnya jodoh - memperjodohkan, lihat - memperlihatkan. Yang betul ialah kata alu-aluan. | Tatabahasa | 10.09.2008 |
Salam Sejahtera, bolehkah tuan/puan jelaskan kepada saya perbezaan penggunaan imbuhan "di-..." dan "di-...-kan"? Sebab saya lihat ada orang guna ...diberi... kadang kala ...diberikan... Mohon pencerahan. | Kedua-dua perkataan yang menerima imbuhan awalan di- dan apitan di-...-kan merupakan kata kerja pasif. Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga. Awalan di- dapat bergabung dengan kata dasar golongan kata kerja dan kata nama. Contohnya, ditulis, dipanjat, diolah, dihukum, dipanah dan diserkap. Kata kerja yang dibentuk dengan awal di- ialah kata kerja pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga. Contoh ayat seperti yang berikut: - Surat itu ditulis oleh adik saya.
- Kereta rosak itu ditarik ke bengkel.
Apitan di-...-kan ialah bentuk pasif bagi imbuhan apitan meN-...-kan. Ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan –kan. Contoh apitan di-...-kan dalam ayat adalah seperti yang berikut: - Sebuah buku diberikan kepada adik oleh rakannya.
- Kenyataan itu dinafikan oleh orang tuanya.
- Rasuah cuba dihapuskan oleh kerajaan.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 175 dan 202. | Tatabahasa | 15.06.2025 |
Salam, frasa yang manakah betul?mendeklamasikan sajak atau mendeklamasi sajak?apakah bezanya?bolehkah tuan terangkan dalam bahasa yang mudah difahami.terima kasih | Frasa yang betul ialah mendeklamasikan sajak. Deklamasi termasuk dalam salah satu kata dasar yang hanya dapat menerima apitan men-....-kan. di-...-kan atau ber-...-kan, dan tidak dapat menerima awal meN, di-. atau ber- sahaja. Contoh kata lain yang termasuk dalam kumpulan ini: mengabaikan bukan mengabai menggelarkan bukan menggelar mencantikkan bukan mencantik menjatuhkan bukan menjatuh dan banyak lagi. Untuk memastikannya saudara boleh lihat dalam Kamus Dewan Edisi 4, hanya ada perkataan mendeklamasikan sahaja, dan bukan mendeklamasi. | Istilah | 19.03.2014 |
Penggunaan imbuhan meng--kan dan meng--i | Apabila dibandingkan penggunaan apitan meN-...-kan dan meN-...-i, fungsinya dapat dibahagikan kepada tiga: i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala meN-...-i menandakan lokatif. Contoh: Pak Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ali dan Pak Osman menghadiahi Ali sebuah basikal. ii. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, manakala apitan meN-...-i lazimnya menerima objek yang bernyawa. Lihat contoh di atas. iii. Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contoh: Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. | Tatabahasa | 16.09.2011 |
Saya ingin tahu. Perkataan dalam Bahasa Inggeris, kalau (NAMA KHAS) khas adakah ianya perlu di italic kan atau tidak? Selain daripada (NAMA KHAS) saya rasa ia perlu di italic kan. BETUL ATAU TIDAK. Lihat petikan ini yang saya dapat dalam laman web DBP Minda Tertutup Memori Terhakis Dunia Bahasa, Pilihan Utama Penyokong PPSMI yang hingga kini enggan mengakui kalah, cuba mengelirukan penggubal dasar dan orang ramai tentang penggunaan bahasa Inggeris dengan penguasaan sains dan matematik. SOALAN: 1) Saya ingin tahu. Perkataan bahasa Inggeris. Mana satu penulisannya yang betul. (a) Bahasa Inggeris ATAU (b) bahasa Inggeri. Perkataan bahasa itu ( huruf besar atau huruf kecil). 2) Rujuk kepada sains dan matematik. Perkataan sains dan matematik itu semestinya huruf besar (a) Sains dan (b) Matematik. TETAPI dalam petikan web DBP ditulis dengan huruf kecil? Mohon penjelasan. terima kasih. (Rusli Kamaruddin) PA YB. Dato' Speaker Merangkap Ketua Pelapor Perbahasan Dewan Undangan Negeri PULAU PINANG. 04-2611955 | 1. Berdasarkan gaya penerbitan DBP, nama khas dalam bahasa Inggeris seperti nama tempat, nama orang, nama jalan, nama bangunan dan sebagainya tidak diitalikkan. Walau bagaimanapun, nama buku dan petikan ayat dalam bahasa Inggeris perlu diitalikkan. 2. Sekiranya perkataan tersebut merujuk kepada nama mata pelajaran, perkataan itu mesti bermula dengan huruf besar, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Sekiranya tidak merujuk kepada nama mata pelajaran, huruf 'b' tidak perlu menggunakan huruf besar (bahasa Inggeris). Begitu juga dengan perkataan sains dan matematik, contohnya ahli sains dan ahli matematik. | Ejaan | 11.02.2012 |
Apakah ada formula untuk menentukan pengunaan antara apitan meN.....kan yang membawa maksud kausatif dengan apitan meN.....kan membawa maksud benafaktif? Misalnya "memberikan" bermaksud kausatif tetapi "membelikan" pula bermaksud benafaktif. Saya sungguh keliru. | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat, dan adik + buku objek dalam ayat tersebut). | Tatabahasa | 29.08.2012 |
Mengapakah `perkasa` yang menerima apitan meN-kan mengekalkan `p` iaitu `memperkasakan` dan bukannya 'memerkasakan`? | perkasa apabila menerima apitan meN-kan tidak mengalami pengguguran hurup kerana termasuk dalam kekecualian dan kekal sebagai memperkasakan. Keterangan lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, mukas surat 146, Awalan Kata Kerja | Tatabahasa | 09.11.2007 |
Cikgu, apakah perbezaan antara "meN-..." dengan "meN-...-kan/-i"? | Awalan meN- membentuk kata kerja aktif sama ada transitif atau tak transitif. Awalan ini mempunyai empat bentuk varian, bergantung pada huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya, iaitu me-, mem-, men- dan meng-. Untuk keterangan lanjut dan contoh penggunaannya, sila lihat buku Tatabahasa Dewan Untuk membezakan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, seperti dalam ayat contoh yang diberi sila lihat fungsi antara kedua-dua apitan tersebut, iaitu: i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif. Contohnya: Ali menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad dan Ali menghadiahi Ahmad sebuah basikal. ii. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, manakala apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Lihat contoh di atas. iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak. | Ejaan | 08.05.2014 |
Bolehkah tolong jelaskan penggunaan meN-..-kan dan meN-..-i. Saya amat keliru. Terima Kasih :) | Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. | Tatabahasa | 03.05.2013 |