credit crunch | luluh kredit | Istilah | 11.12.2008 |
Kafan boleh ditambah imbuhan? Contoh: Mengkafankan jenazah, iaitu membalut mayat dengan kain putih. Mengafankan jenazah, iaitu membalut mayat dengan kain putih. Perkataan mana yang betul? | Perkataan kafan apabila menerima imbuhan, huruf pertama - k akan luluh dan membentuk perkataan mengafankan sama seperti kayuh - mengayuh dan kejar - mengejar. | Tatabahasa | 08.01.2014 |
mengapa perlu ada (ny) dalam ketogeri imbuhan men- yang akan menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m,n,r,l,w,y . Apakah beza diantara n dengan ny sedangkan ny bermula dengan n juga ? sila rujuk buku Tatabahasa Edisi Ketiga pada Bab 7 M/S (151) ....... | Imbuhan awalan meN- menjadi meny- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, s kerana awalan tersebut dalam bahasa Melayu akan luluh apabila bergabung dengan imbuhan awalan meN-. Sebaliknya apabila kata dasar tersebut merupakan kata pinjaman, awalan kata dasar tersebut tidak akan luluh, contohnya, memproses, mentafsirkan, mengklasifikasikan dan menstorkan. | Tatabahasa | 06.02.2009 |
Kabul ialah kata pinjaman. Mengapa bila diberi imbuhan peN penjadi pengabul? Bukankah sepatutnya yang betul pengkabul? | Untuk makluman, peN- menjadi pe- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan beberapa huruf dan sebahagian daripadanya ialah huruf p, t, k dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya (homorganik) dengan bunyi pertama dalam kata dasar, iaitu m bagi p; n bagi t; ng bagi k; dan ny bg s. Untuk makluman lanjut, mohon rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 108-109. | Tatabahasa | 14.01.2017 |
mengapakah kata ini 'terserlah', bukan ditulis dengan 'teserlah'? Sebelum ini, saya mendapat tahu bahawa kata 'bekerja' dan 'peserta' digugurkan imbuhan 'ber' dan 'per'( 'r') kerana suku kata pertama mempunyai 'er' . | Mengikut rumus tatabahasa, kata kerja terserlah wujud hasil gabungan awalan ter- dengan serlah dan kata nama peserta wujud hasil gabungan awalan pe- dengan serta. Kata kerja bekerja wujud hasil gabungan awalan ber- dan kerja, tetapi huruf r dalam gabungan kata kerja tersebut luluh dan terhasillah bekerja. Bekerja ialah kekecualian dalam bahasa Melayu dan kekecualian ini tidak banyak, hanya beberapa perkataan yang telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 24.04.2014 |
1. Adakah perkataan-perkataan berikut betul imbuhannya: Pengoperasian, Pengwujudan, Mempastikan. Jika salah, apakah imbuhan yang betul. 2. Bagaimanakah mengeja perkataan pra persaraan atau prapersaraan atau pra-persaraan? Adakah terpakai untuk semua perkataan yang bermula dengan pra? | 1. Pengoperasian tidak perlu diberikan imbuhan dan memadai dengan operasi sahaja kerana perkataan operasi bermaksud kegiatan, gerakan atau perjalanan sesuatu proses, alat dan sebagainya. Imbuhan yang betul bagi perkataan wujud ialah pewujudan bukannya pengwujudan, manakala perkataan mempastikan salah dan yang betulnya ialah memastikan kerana huruf "p" diawal perkataan pasti itu luluh apabila diberi imbuhan men-...kan. Huruf pertama dalam kata dasar berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya(homoganik) ialah m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s. Contohnya, pesan-memesan, pukul-memukul, tetap-menetap, tari-menari, karang-mengarang, kaji-mengkaji, salin-menyalin, dan sinar-menyinar. 2. Perkataan tersebut ditulis sebagai satu perkataan, iaitu prapersaraan kerana "pra-" ialah awalan produktif yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 06.04.2009 |
As-Salam Sidang Editor Khidmat Nasihat Bahasa DBP, Saya merupakan seorang pelajar sarjana yag kini sedang menjalankan kajian dlm bidang pendidikan bahasa Melayu berkaitan dengan isu penaksiran. Di sini saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan ketepatan istilah dan ejaan yang digunakan bagi perkataan PENAKSIRAN & PENTAKSIRAN yg menimbulkan kekeliruan bagi pihak saya untuk membuat definisi yg tepat bagi kajian yg saya jalankan. Menurut tokoh bahasa yg dirujuk, perbezaan ejaan bagi perkataan taksir ini timbul akibat faktor espistemologi yg mendokong kefahaman seseorang ahli bahasa. Justeru saya mohon penjelasan lanjut berkaitan hal ini. Sekian terima kasih atas keprihatinan pihak editor memberikan perhatian yg sewajarnya terhadap hal ini. | Dalam proses pembentukan kata bahasa Melayu, kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s huruf pertamanya luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya (homorganik) dengan bunyi pertama dalam kata dasar, dan huruf n menggantikan huruf t. Contohnya tulis - menulis dan taksir (kira, hitung, nilai) - menaksir. Oleh itu, kata terbitan yang betul ialah menaksir, penaksir dan penaksiran. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan atau penyusun buku Tatabahasa Dewan antaranya Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim atau Prof. Dr. Hashim Haji Musa. | Tatabahasa | 13.11.2011 |
Saya ingin bertanya,adakah perkataan 'pemerdagangan' ada dalam kosa kata dalam bahasa Melayu? Setahu saya dalam bahasa Melayu tidak ada imbuhan 'pemer'. begitu juga dengan perkataan 'pemerolehan', yang diguna pakai sekarang ini. Sila tuan tolong jelaskan perkara ini. Terima kasih. | Pemerdagangan ialah terjemahan bahasa Melayu bagi padanan bahasa Inggeris commercialization yang bermaksud perihal memperdagangkan atau menjadikan sesuatu barang, manusia dan lain-lain untuk dijual beli. Pembentukan kata pemerdagangan berasal daripada awalan peN- + kata dasar (perdagangan), terbentuklah pemerdagangan. Apabila diberikan awalan peN-, huruf pertama (p) dalam kata perdagangan itu luluh dan digantikan dengan huruf m. Oleh itu, terbentuklah istilah pemerdagangan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan edisi ketiga, Apitan kata nama, hlm 121 -129. | Istilah | 25.04.2011 |
Saya pernah tanya soalan ini: Adakah kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang diterima sebagai menepati tatabahasa Melayu untuk memaknai sesuatu yang digunakan untuk memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang? Contohnya: Potret-potret catan tangan itu pemercantik kamar yang sudah sedia cantik. Jawapan DBP seperti ini: Kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang tidak diterima sebagai kata dalam bahasa Melayu kerana tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan. Saya tertanya mengapa ia 'tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan' walhal kata 'pemer-' sebagai padanan 'pelaku' untuk 'memper-' iaitu perbuatannya sudah diterima dalam bahasa Melayu khususnya dalam entri Kamus Dewan. Kata seperti 'pemeroleh' yang bermakna orang/pihak yang 'memperoleh' dan 'pemerkosa' yang bermakna orang/pihak yang 'memperkosa' sebahagian perbendaharaan kata Melayu dan ini tidak dapat dibahaskan sebagai 'kekecualian' dalam bahasa kerana tiada bentuk yang dapat diwujudkan untuk 'menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan' dan kata-kata seperti 'pemeroleh' dan 'pemerkosa' mendukung makna sendiri. Mungkin 'sistem pembentukan kata untuk imbuhan' DBP perlu dikemas kini dengan data terkini. | Untuk perkataan memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang, awalan memper- bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata adjektif membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan lebih atau bertambah bagi sifat yang terkandung dalam kata dasar. Contohnya: Cantik – mempercatik (menjadikan lebih cantik) (TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA, m.s.: 179) Untuk perkataan pemerkosa, kata dasarnya adalah perkosa. Perkataan ini menerima imbuhan awalan peN- untuk membentuk kata nama terbitan. PeN- menjadi pe- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m, n, ny, ng , r, l, dan w. Contohnya: Masak – pemasak Termasuk dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf p, t, k, dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya (homorganik) dengan bunyi pertama dalam kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s. Contohnya: Perkosa – pemerkosa Tahan – penahan Karang – pengarang Selam – penyelam Untuk lebih memahami pembentukan kata nama dengan lebih lanjut, tuan boleh merujuk buku TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA (m.s.: 104 – 132) | Tatabahasa | 11.07.2019 |