Mengapakah perkataan lut sinar tidak dieja rapat dalam Kamus Dewan (seakan-akan lutsinar tidak baku) walaupun dalam penulisan biasa dan istilah digunakan lutsinar lebih kerap daripada lut sinar? | Ejaan yang betul ialah lut sinar seperti yang terakam dalam Kamus Dewan. | Ejaan | 03.04.2018 |
Salam dan selamat sejahtera. Semoga ceria menerima pertanyaan ini. Kami ingin buat semakan sama ada ejaan 'lutsinar' adalah satu perkataan atau dua perkataan (lut sinar)? - sama ada bagi kegunaan istilah atau bukan istilah. Berdasarkan prpm (5/12/12), ia satu perkataan: http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=lut+sinar&d=10 Terima kasih atas maklum balas. | Ejaan yang betul ialah lut sinar, kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Ejaan | 19.12.2013 |
ingin mengetahui istilah garnet diterjemahkan dalam bahasa malaysia | Istilah garnet dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu yang bermaksud sejenis batu bernilai yg lut sinar, berwarna merah tua, hijau atau kuning, yg dijadikan sbg batu permata. | Istilah | 18.06.2009 |
Mohon bertanya. Apakah maksud terarium? Memang wujud perkataan ini atau tidak? Terima kasih. | Terarium ialah nama bagi bekas lut sinar yang digunakan untuk memelihara tumbuh-tumbuhan kecil atau haiwan darat yang kecil. Terarium mewujudkan persekitaran sehampir mungkin dengan persekitaran atau habitat semula jadi. Manusia menghasilkan terarium dalam bekas kaca atau plastik pelbagai saiz dan bentuk. Bekas ini biasanya ditutup untuk mencegah kehilangan lembapan. Perkataan terarium berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud bumi. | Makna | 15.10.2014 |
1. Ali dan Muthu bermain dengan riang-riang. * merujuk kamus dewan edisi ke-4, m.s.1329 riang-riang I ; biawak riang-riang II; sejenis serangga yg sayapnya lut sinar Berdasarkan ayat 1, riang-riang mungkin merujuk kepada maksud II, iaitu sejenis serangga. Maka ayat 1-bermaksud Ali dan Muthu sedang bermain dengan serangga yang berkenaan(reriang=riang-riang). Soalan: Adakah ayat 1 betul kalau bermain dengan serangga yang dimaksudkan itu ? Sekian ,terima kasih. | Sekiranya riang-riang yang bermakna sejenis serangga yang dimaksudkan, ayat tersebut boleh dibaiki dengan menambahkan kata bilangan (ekor) untuk mengelakkan kekeliruan; contohnya Ali dan Muthu bermain dengan seekor riang-riang. | Tatabahasa | 20.10.2014 |
apakah maksud telap dan tiris? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, telap bermaksud 1. dapat menembusi (bkn senjata spt keris dll), makan, mempan: keris itu tidak ~ pd tubuhnya; 2. dapat dicederakan, dapat dilukai, lut; tiada ~ oleh senjata kebal; 3. dapat ditembusi (air), dapat diresapi: tanahnya tanah liat yg tidak ~ air. Manakala tiris bermaksud 1. bocor (atap, perahu, bekas air, dll): bumbung rumahnya ~; dijahit layar mana yg robek, biduk ditambal mana yg ~; 2. meleleh (menerusi lubang atau celah), menitis, menitik-nitik: air dlm tanah terus ~ menerusi bumbung gua itu; air digenggam tiada ~ prb sangat berhati-hati mengeluarkan wang; | Lain-lain | 01.07.2010 |
apakah maksud kata 'meragau' dan bermain acilut' (ms 100) antologi harga remaja, teks komsas Ting.4? tq | Perkataan "meragau" tiada dalam rujukan kami, yang ada ialah "menggagau" iaitu meraba-raba dalam gelap atau mencari sesuatu dengan meraba-raba, manakala bermain aci lut bermaksud main sembunyi, iaitu sejenis permainan budak-budak atau cekup puyuh. | Makna | 09.02.2010 |
perbezaan antara cecair dan jelly | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, cecair bermaksud bahan yg cair sifatnya dan dapat mengalir dgn bebas tanpa bentuk tertentu, mis air dan minyak, cairan: apabila dipanaskan, ais berubah menjadi ~; manakala padanan istilah jelly dalam bahasa Melayu ialah jeli yang bermaksud sj bahan spt agar-agar; ~ petroleum campuran hidrokarbon yg separa pepejal dan lut cahaya, dan digunakan dlm industri ubat-ubatan, kosmetik, dsb. | Istilah | 03.02.2010 |
Selamat sejahtera tuan puan, saya ingin bertanya mengenai perbezaan jenis kata majmuk rangkai kata bebas dengan kata majmuk istilah khusus. Saya keliru dengan kedua-dua jenis kata majmuk ini kerana beberapa sumber rujukan (bahasa Melayu) yang pernah saya baca menyatakan maklumat yang agak berbeza antara satu sama lain. Sebuah buku menyatakan bahawa kata majmuk rangkai kata bebas ialah percantuman kata dasar daripada mana-mana golongan kata manakala kata majmuk istilah khusus merupakan kosa kata khusus bagi sesuatu bidang ilmu dan jawatan seperti lut sinar (contoh bidang ilmu) dan Naib Canselor (contoh jawatan). Namun begitu, beberapa hari lalu saya terbaca dalam satu kompilasi nota BM STPM (Sem 1-3) berbentuk PDF yang menyatakan kata majmuk rangkai kata bebas terdiri daripada umum dan gelaran. Contohnya, alat tulis (umum), Naib Canselor, dan Raja Muda (gelaran). Kata majmuk istilah khusus pula hanya terdiri daripada kosa kata khusus bagi sesuatu bidang ilmu. Sumber-sumber rujukan dalam internet yang saya juga baca menyatakan maklumat yang berbeza-beza. Hal ini membuatkan saya keliru. Yang mana satukah maklumat yang betul dan boleh digunakan pada masa kini? Apakah perbezaan di antara kata majmuk rangkai kata bebas dengan kata majmuk istilah khusus? Saya ingin memohon bantuan pihak DBP untuk menyelesaikan kekeliruan saya ini. Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak DBP amatlah saya hargai. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa Dewan menerangkan kata majmuk ialah kata yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Tidak ada pembahagian kata majmuk istilah khusus dan kata majmuk rangkai kata bebas kerana dalam bentuk penulisan umum kata tersebut berfungsi sebagai kata majmuk, manakala dalam penulisan ilmiah yang khusus kepada bidang tertentu kata tersebut dianggap sebagai istilah. Kami berpandangan pembezaan ini berdasarkan konteks penggunaannya, kata majmuk rangkai kata bebas digunakan dalam konteks umum, manakala kata majmuk istilah khusus digunakan dalam wacana ilmiah yang berkaitan dengan peristilahan. | Tatabahasa | 24.05.2020 |