ice honey lemon tea dalam bahasa malaysia ialah teh madu limau ais, teh limau madu ais atau teh limau ais madu? | Padanan yang sesuai ialah teh limau madu ais. | Lain-lain | 02.11.2018 |
Adalah semua kata bandingan semacam (bagai, seperti, umpama, laksana, bak, macam) boleh digunakan untuk semua perbandingan yang menunjukkan keserupaan contohnya -manis seperti madu/ manis umpama madu / manis laksana madu -tajam bak pisau / tajam macam pisau / tajam laksana pisau | Bandingan semacam ialah sejenis bahasa kiasan yang menunjukkan sifat, keadaan seseorang atau sesuatu benda secara perbandingan mengikut konteks. Contoh bandingan semacam yang diberikan seperti “manis seperti madu”, “manis umpama madu”, “manis laksana madu”, “tajam bak pisau” dan “tajam macam pisau” adalah betul dan boleh digunakan. Walau bagaimanapun, penggunaan bandingan semacam bagi “tajam laksana pisau” kurang sesuai digunakan dari segi darjah perbandingan aspek keindahan atau keelokan sesuatu. Contoh penggunaan bandingan semacam yang sesuai bagi perkataan “laksana” ialah “Pasangan pengantin itu laksana cincin dengan permata”. Penggunaan bandingan semacam perlu disesuaikan mengikut konteks penggunaan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk lama web prpm.dbp.gov.my | Tatabahasa | 12.03.2024 |
1. Madu lebah mempunyai banyak khasiat. 2. Madu lebah banyak mempunyai khasiat. Manakah ayat yang tepat dan apakah penjelasan jawapan tersebut? Terima kasih. | Kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. Frasa kerja transitif mempunyai banyak khasiat betul dan tepat. Perkataan banyak mempunyai dwifungsi, iaitu perkataan banyak ini boleh hadir selepas kata nama. Selain itu, frasa banyak mempunyai khasiat merupakan frasa nama dan boleh digunakan dalam ayat tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga (DBP, 2015, halaman 287. | Tatabahasa | 25.07.2024 |
Jika perkataan 'honeymoon' bermaksud berbulan madu, bagaimana pula dengan perkataan 'babymoon'? Contoh ayat, "Sempat lagi tak kita nak 'babymoon'? Jom bercuti kat hotel untuk 'babymoon' kita. Lagipun, sayang dah nak bersalin." | Padanan bahasa Melayu bagi kata babymoon ialah bulan madu hamil.Padanan kata ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang tertentu. | Lain-lain | 27.09.2022 |
saya nak dpt kan,sinopsis novel antologi tesk kesusasteraan melayu moden kbsm yg bertajuk madu ilmu.di bahagian drama yg bertajuk lima perwira,karya kala dewata | Sinopsis bagi drama yang berkenaan terdapat pada halaman 167 buku teks Madu Ilmu. Sila rujuk buku tersebut. | Lain-lain | 12.05.2010 |
'penternak' madu lebah, burung waliit dan burung merpati. dari segi teknikalnya mereka tidak menternak. mereka memperoleh hasil dari haiwan yang berlepas bebas. mereka juga tidak pelihara haiwan itu sebab haiwan itu mencari makan sendiri di alam liar. Haiwan ini boleh berpindah tempat dan mendapat 'tuan' baru. haiwan ini boleh dianggap liar. bahasa inggerisnya yg hamper ialah 'ranching'. Ranch dalam kamus melayu ialah kawasan peternakan yang luas. beribu2 ekar. Jika di fahami dari segi peternakan. sebetulnya Haiwan dalam ranch dibiarkan lepas dan bebas tanpa kandang dan pagar, dan dibiarkan meragut sendirian dgn rumput yang tumbuh liar. saya cadangkan pemunya ternakan (sebetulnya bukan kepunyaan mereka dgn mutlak) utk sistem peternakan ini di beri istilah baru dan saya cadangkan dgn memahami konsep peternakan itu sendiri. sebagai contoh 'penyadap' nira anau adalah orang yg mengerat ,mengutip dan mengumpul nira. pokok anau itu bukan hak mutlaknya. saya ada lihat perkataan melayu nya 'ranco' adaptasi inggeris. jadi kalau digunakan ia menjadi "peranco lebah kelulut" (walit, atau merpati).. atau patut disemak lagi perbendaharaan kata melayu sebab budaya melayu sejak dulu ada sahaja aktiviti ranching khusus nya dalam mencari sumber makanan dari sumber alam, yg percuma dan tanpa input atau modal pelaburan. sekian terima kasih, | Istilah yang tuan cadangkan, iaitu "peranco" akan dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk diteliti dan dibincangkan. | Istilah | 06.10.2016 |
Assalamualaikum. Saya ingin kemukakan beberapa pertanyaan. Mohon dapatkan jawapan dan penjelasan. 1. Perbezaan frasa NAIK SELALU dan SELALU NAIK. 2. Tepat atau tidak penggunaan kata iaitu HASIL LAUT KERING bagi menggambarkan hasil-hasil tangkapan laut yang dikeringkan. 3. JERUK MADU PAK ALI. Betul atau tidak maksud ungkapan ini membawa dua makna iaitu: i. Jenama jeruk milik Pak Ali yang dikenali sebagai JERUK MADU ii. Hasil perniagaan jeruk ini dimiliki oleh isteri-isteri Pak Ali, kerana kehidupan bermadu oleh Pak Ali. Terima kasih atas bantuan yang diberi. Sekadar menambah pengetahuan kebahasaan. ISMAIL BIN HASHIM BALING KEDAH. | 1. Frasa NAIK SELALU dan SELALU NAIK sama maksudnya, perbezaan pada meletakkan kata adverba "selalu" selepas dan sebelum kata kerja. 2. Frasa HASIL LAUT KERING tidak dapat menerangkan maksud hasil-hasil tangkapan laut yang dikeringkan. Hal ini perlu diterangkan dalam frasa yang lebih jelas seperti hasil laut yang dikeringkan. 3. Frasa JERUK MADU PAK ALI menerangkan maksud jeruk madu milik Pak Ali. Mana mungkin frasa tersebut menerangkan maksud jeruk milik isteri-isteri Pak Ali kerana jika mengikut frasa "Jeruk Madu Pak Ali", Pak Ali yang bermadu (bersalahan dari aspek bahasa dan syarak). | Tatabahasa | 02.12.2014 |
Pak Maun berdagang madu lebah kelulut di pasar malam. Adakah betul penggunaan ayat berdagang dalam ayat tersebut? Harap pihak DBP boleh menjawab persoalan saya. Terima kasih | Penggunaan perkataan berdagang dalam ayat tersebut betul. | Lain-lain | 08.09.2020 |
selamat pagi dan salam sejahtera.. mohon pencerahan.. berkaitan perumpaan bagai kumbang menghisap madu, adakah perumpamaan ini betul? hasil daripada semakan sya, perumpamaan ni tiada. Mohon pihak DBP memberi pencerahan yang jelas. | Kami sudah menyemak pangkalan data berkenaan peribahasa yang membawa maksud tersebut. Sungguhpun demikian, maklumat berkenaan tidak ada dalam simpanan pangkalan data kami. Untuk makluman pihak puan juga, berdasarkan carian kami terdapat peribahasa lain yang berkaitan dengan "kumbang". Puan boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) http://prpm.dbp.gov.my untuk mencari maklumat. PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Puan hendaklah memasukkan perkataan "kumbang" dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Selamat mencuba. | Lain-lain | 08.08.2018 |
Nak minta tolong translate bahasa melayu kepada bahasa jawi dengan perkataan: "Sirap Ubat Batuk Madu dan Akar Kayu" Harap boleh tolong saya dengan secepatnya. Terima Kasih. | Soalan telah pun dijawab melalui faks. Sila hubungi talian KNB, sekiranya ada masalah berkenaan dengan perkara yang tersebut. Terima kasih. | Makna | 05.09.2007 |