| Adakah Mahkamah Syariah kata nama khas? Mahkamah Tinggi Syariah boleh dianggap sebagai kata nama khas? | Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah ialah kata nama khas. | Tatabahasa | 22.09.2024 |
| saya keliru dengan pengunaan perkataan tersilap dihantar atau tersilap menghantar. Sudi menerangkan pengunaan perkataan dihantar dan menghantar. Bersama-sama ini dikemukakan surat daripada Mahkamah Tinggi Kuantan yang tersilap dihantar/ tersilap menghantar ke Kamar ini untuk tindakan pihak tuan selanjutnya. | Frasa yang betul ialah tersilap menghantar. Menghantar ialah kata kerja aktif dan dihantar ialah kata kerja pasif dan kata kerja pasif lazimnya mendahulukan objek asal sebagai keterangan seperti makanan dihantar kepada Ali. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan di bawah tajuk kata kerja aktif dan kata kerja pasif. | Tatabahasa | 03.01.2014 |
| Saya telah menerima keputusan Hakim Mahkamah tinggi Syariah seperti fail di lampirkan. Nama semua pihak termasuk mahkamah berkenaan saya padamkan untuk menjaga nama baik semua pihak. Pertanyaan ini tidak bermaksud mempertikaikan apa-apa keputusan tetapi hanya dari sudut penggunaan Bahasa Malaysia yang standard sahaja. Persoalan saya ialah memandangkan keputusan hakim tersebut di buat dalam sehelai kertas dengan tajuk "PERINTAH". Apa yang saya faham dengan Definasi "PERINTAH" ialah kata suruh ... iaitu mengikut istilah kamus Dewan Edisi ke empat. Membaca keseluruhan 'PERINTAH' Hakim tersebut saya berpendapat secara keseluruhannya semua ayat sebaik sahaja selepas ayat "MAKA ADALAH DENGAN INI MAHKAMAH PERINTAHKAN" adalah tidak bertepatan dengan istilah perintah yang saya fahami. Dengan kata lain ianya adalah salah dari segi tatabahasanya. Mohon pandangan dan ulasan dari pihak tuan. t.k | Seperti yang tuan sedia maklum, kami juga merujuk Kamus Dewan. Berdasarkan Kamus Dewan, perintah juga bermaksud peraturan daripada pihak yang berkuasa yang harus dipatuhi. Untuk makluman tuan juga terdapat perkataan yang tidak digunakan dalam kata umum tetapi dalam laras tertentu seperti laras undang-undang kata tersebut membawa maksud yang khusus. Contohnya dalam ungkapan umum, kata "perintahkan" hanya digunakan dalam ayat suruhan dan penggunaan yang betul dalam ayat penyata ialah "memerintahkan". Walau bagaimanapun kita tidak boleh mengatakan penggunaan kata perintahkan tersebut kurang tepat kerana penggunaannya dalam konteks umum mungkin berbeza dalam laras undang-undang. | Tatabahasa | 14.04.2014 |
| Assalamualaiikum, saya ingin mendapat penjelasan berhubung penggunaaan huruf "I "yang seringkali ditulis sebagai "l ". Contohnya bagi perkataan MAHKAMAH TINGGI SHAH ALAM ditulis sebagai MAHKAMAH TlNGGl SHAH ALAM. kesilapan ini banyak terdapat di sign board PBT mahupun papan tanda iklan. Masalah timbul apabila anak saya yang baru pandai mengeja, akan mengeja huruf I tersebut sebagai l (L). harap dapat penjelasan berhubung perkara ini. sekian terima kasih. | Saudara, Dicadangkan saudara merujuk perkara ini dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk penjelasan. | Lain-lain | 07.07.2010 |
| salam apakah perbezaan antara mengetepikan dengan mengenepikan.sekian terima kasih | Perkataan yang betul ialah 'mengetepikan' yang bermaksud memindahkan ke tepi, meletakkan (menaruh) di tepi: Pak Leman pun membentangkan tikar dan mengetepikan kain-kain buruk yang berselerak di rumah itu; 2. tidak mementingkan, mengesampingkan: oleh sebab kesulitan kewangan ini, maka terpaksalah dia mengetepikan harga dirinya; 3. tidak mengendahkan, tidak mempedulikan: pengkritik sastera hendaknya seberapa daya mengetepikan idea politiknya dlm memberi nilai kpd sesuatu karya sastera; 4. memencilkan, memulaukan, menyingkirkan: sudah ternyata cita-cita Seri Nara hendak mengetepikan Datuk Bendahara; 5. mengeluarkan (drpd pertandingan dsb), menyingkirkan, mengesampingkan: Belanda dgn Rusia telah mengetepikan semua pasukan terkemuka dunia; 6. membatalkan (keputusan dll): mahkamah ini berkuasa mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Tiada perkataan 'mengenepikan kerana kata dasarnya ialah 'ketepi'. Oleh itu, huruf yang gugur hanya di awal, iaitu 'k'. | Tatabahasa | 11.10.2010 |
| Apa perbezaan antara ayat berikut: "baik hati" dan "murah hati", "belas kasihan" dan "bertimbang rasa", "Berhemah Tinggi" dan "Kesopanan", "Kejujuran" dan "Amanah", "Kecekalan" dan "Kerajinan", "Persaudaraan" dan "Kemasyarakatan"?. Terima kasih | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, dinyatakan takrifan perkataan yang berikut: "baik hati" = suka menolong, mudah simpati dan pengasih, "murah hati" = a) suka memberi, tidak kedekut; b) pengasih dan penyayang, "belas kasihan" = perasaan sungguh bertimbang rasa dan hiba terhadap seseorang dll yg malang, "bertimbang rasa" =menaruh (menunjukkan) timbang rasa (belas kasihan dll), bersimpati, berlaku adil. "Berhemah Tinggi" = mempunyai budi pekerti yg mulia, "Kesopanan" = 1. perihal sopan (tingkah laku, tutur kata, dll): gambar yg membayangkan ~ seorang gadis desa; 2. adat sopan santun, tatasusila, tingkah laku (tutur kata) yg baik: perbuatan kita sudah melanggar ~ timur; 3. keadaban, peradaban. "Kejujuran" = perihal jujur, kelurusan hati, keikhlasan: dia masih ragu-ragu tentang ~ anak muda yg baru dikenalinya itu. "Amanah" =1. = amanat sesuatu yg dipercayakan kpd orang (diserahkan utk disimpan dll): bungkusan-bungkusan ini ialah ~ orang; 2. kepercayaan yg diletakkan kpd seseorang; 3. = amanat keamanan, ketenteraman: bahagia dan ~; 4. kepercayaan, boleh dipercayai, jujur; orang ~ orang yg boleh dipercayai; pecah ~ perbuatan mensia-siakan amanah (kepercayaan) orang dll (dgn menipu dsb); 5. (Eko) hak yg boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah utk mendapatkan faedah drpd sesuatu harta. "Kecekalan" = ketabahan (keteguhan, ketetapan) hati. "Kerajinan" = 1. perihal rajin, kegiatan, ketekunan: guru hendaklah mendatangkan kecenderungan dan ~ pd kanak-kanak; kerana ~ dan ketekunan semua pekerja di lombong itu, syarikat mengambil keputusan memberi mereka bonus; 2. perusahaan membuat (menghasilkan) sesuatu: mereka mesti pandai memajukan ~ rakyat; ~ rumah tangga perusahaan kecil yg dikerjakan di rumah; ~ tangan pekerjaan (perusahaan) dgn tangan (bukan dgn mesin). "Persaudaraan" = perihal bersaudara, perhubungan spt bersaudara, pertalian yg rapat sekali (seolah-olah bersaudara): merekalah yg menguatkan tali ~ antara berbagai-bagai kaum. "Kemasyarakatan" =keadaan masyarakat, yg berkaitan dgn masyarakat: penting juga kita mengetahui sejarah dan ~ tempat puisi itu dilahirkan; satu aliran kesusasteraan terlalu memberatkan soal ~; ilmu ~ sosiologi. | Istilah | 07.11.2010 |