adakah temu bual kata ganda berima atau kata majmuk? | Temu bual merupakan kata majmuk. Kata majmuk ialah gabungan dua perkataan atau lebih dan mempunyai satu makna. Kata majmuk yang mantap sahaja dieja dua perkataan, iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan. Walau bagaimanapun, bagi perkataan yang tidak boleh berdiri sendiri (yang tidak mempunyai maksud) seperti rung dan juru, kata majmuk dieja rapat. | Tatabahasa | 29.09.2015 |
kata' rumah tangga' dan 'rumah baharu'. salah satu daripadanya ialah kata majmuk. Begaimanakah kita hendaklah memberikan penjelasan tentang cara membezakan kata majmuk dengan yang bukan majmuk ( seperti contoh di atas) ? | Kata majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Untuk membezakan kata majmuk dengan kata biasa ialah kata majmuk tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Contohnya kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti 'yang'. Pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung 'dan'. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 72. | Istilah | 03.03.2010 |
Assalamualaikum, Saya ada sedikit kekeliruan untuk menentukan jenis ayat majmuk sama ada ayat majmuk pancangan atau ayat majmuk campuran bagi ayat-ayat di bawah: 1. Pada peringkat ini, para pelajar akan mengikuti pengajian untuk memperoleh sijil atau diploma dalam bidang yang berkaitan. 2. Keputusan yang cemerlang sebenarnya merupakan tiket untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 3.Dengan cara ini, para bakal siswa atau siswi akan dapat memilih bidang pengajian yang ingin diikuti dengan tepat serta bersesuaian dengan kerjaya yang bakal dibina pada masa hadapan. 4. Buatlah pilihan dengan bijak untuk masa depan dan kerjaya anda | Dalam ayat majmuk gabungan terdapat dua ayat atau lebih yang bersifat sama taraf, iaitu masing-masing dapat berdiri sendiri tetapi digabungkan dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya. Sebaliknya, dalam ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Ayat majmuk pancangan dihubungkan oleh kata hubung pancangan. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu kata hubung pancangan relatif, kata hubung pancangan komplemen, dan kata hubung pancangan keterangan. Ayat contoh yang diberikan ialah ayat biasa yang mempunyai sederetan frasa nama yang menjadi subjek/predikat atau sederatan frasa kerja yang menjadi predikat. Untuk melihat contoh ayat majmuk yang baik, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 498 hingga 519. | Tatabahasa | 07.04.2013 |
Berdasarkan petikan 1 seperti mana lampiran, saya ingin mengetahui perkataan atau ayat: 1. kata nama : 2. kata kerja: 3. ayat majmuk gabungan: 4. ayat majmuk pancangan: 5. ayat majmuk campuran: Sekian, Terima kasih. | Kata nama ialah unsur perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa nama dan lazimnya perkataan demikian menamai orang, haiwan,tempat,benda atau konsep. Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan,atau,tetapi dan sebagainya. Ayat majmuk pancangan mempunyai satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni tersiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Sila rujuk buku Tatbahasa Dewan Edisi Ketiga dan berdasarkan maklumat di atas kami percaya saudara dapat membuat analisis teks tersebut. | Tatabahasa | 17.09.2008 |
APAKAH KATA MAJMUK? CONYOHNYA: | Kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaiakan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan lazimnya dieja terpisah. Kata majmuk dibezakan daripada frasa kerana tidak dapat disisipkan sebarang unsur antara unit-unitnya. Contohnya, jalan raya, daya serap, campur aduk, tunjuk ajar dan ambil alih. | Tatabahasa | 26.03.2011 |
Salam, selain kata majmuk yang telah mantap yang dinyatakan di dalam Tatabahasa Dewan, apakah lagi contoh lain kata majmuk yang telah mantap?Adakah silaturahim dikira sebagai kata majmuk mantap?Terima kasih. | Perkataan "silaturahim" bukan kata majmuk yang mantap. Kata majmuk mantap hanya seperti yang dinyatakan di dalam Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 14.05.2013 |
Assalamualaikum,saya ingin bertanya tentang perihalan tatabahasa.Dalam bidang Morfologi bahasa Melayu,kata majmuk dikategorikan kepada 2 iaitu kata majmuk mantap dan kata majmuk biasa.Adakah perkataan 'Pulau Pinang'dikategorikan sebagai kata majmuk atau kata tunggal.perkataan tersebut dalam kategori golongan memang menunjukkan perkataan 'Pulau Pinang merupakan kata nama.namun dalam kategori bentuk kata,apakah kategori perkataan tersebut. | Untuk makluman, Pulau Pinang merupakan kata nama khas yang tidak boleh digolongkan dalam kata majmuk atau kata tunggal. | Tatabahasa | 20.01.2018 |
bola sepak, bola jaring ialah kata majmuk atau sekadar frasa nama? nilai berhemah tinggi atau nilai hemah tinggi? nilai hormat-menghormati atau nilai menghormati? | Bola sepak dan bola jaring ialah kata majmuk. Kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan lazimnya dieja terpisah. Kata majmuk dibezakan daripada frasa kerana tidak dapat disisipkan sebarang unsur antara unit-unitnya. Frasa yang betul ialah nilai berhemah tinggi dan nilai hormat- menghormati. | Tatabahasa | 17.02.2011 |
Selamat sejahtera tuan puan, saya ingin bertanya mengenai perbezaan jenis kata majmuk rangkai kata bebas dengan kata majmuk istilah khusus. Saya keliru dengan kedua-dua jenis kata majmuk ini kerana beberapa sumber rujukan (bahasa Melayu) yang pernah saya baca menyatakan maklumat yang agak berbeza antara satu sama lain. Sebuah buku menyatakan bahawa kata majmuk rangkai kata bebas ialah percantuman kata dasar daripada mana-mana golongan kata manakala kata majmuk istilah khusus merupakan kosa kata khusus bagi sesuatu bidang ilmu dan jawatan seperti lut sinar (contoh bidang ilmu) dan Naib Canselor (contoh jawatan). Namun begitu, beberapa hari lalu saya terbaca dalam satu kompilasi nota BM STPM (Sem 1-3) berbentuk PDF yang menyatakan kata majmuk rangkai kata bebas terdiri daripada umum dan gelaran. Contohnya, alat tulis (umum), Naib Canselor, dan Raja Muda (gelaran). Kata majmuk istilah khusus pula hanya terdiri daripada kosa kata khusus bagi sesuatu bidang ilmu. Sumber-sumber rujukan dalam internet yang saya juga baca menyatakan maklumat yang berbeza-beza. Hal ini membuatkan saya keliru. Yang mana satukah maklumat yang betul dan boleh digunakan pada masa kini? Apakah perbezaan di antara kata majmuk rangkai kata bebas dengan kata majmuk istilah khusus? Saya ingin memohon bantuan pihak DBP untuk menyelesaikan kekeliruan saya ini. Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak DBP amatlah saya hargai. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa Dewan menerangkan kata majmuk ialah kata yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Tidak ada pembahagian kata majmuk istilah khusus dan kata majmuk rangkai kata bebas kerana dalam bentuk penulisan umum kata tersebut berfungsi sebagai kata majmuk, manakala dalam penulisan ilmiah yang khusus kepada bidang tertentu kata tersebut dianggap sebagai istilah. Kami berpandangan pembezaan ini berdasarkan konteks penggunaannya, kata majmuk rangkai kata bebas digunakan dalam konteks umum, manakala kata majmuk istilah khusus digunakan dalam wacana ilmiah yang berkaitan dengan peristilahan. | Tatabahasa | 24.05.2020 |
Saya masih kurang memahami mengenai ayat majmuk dan ayat pasif. Ayat majmuk ada 3 jenis yang saya pelajari iaitu ayat majmuk pancangan, gabungan dan campuran. Diharap saya boleh mendapat penjelasan mengenai tatabahasa ini.Terima kasih. | Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 497. Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 498. Ada ayat majmuk terdiri daripada beberapa ayat yang kedudukan antara ayat itu tidak sama. Dalam ayat majmuk gabungan terdapat dua ayat atau lebih yang bersifat sama taraf, yakni masing-masing dapat berdiri sendiri. Sebaliknya, dalam ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk.Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 504. Manakala ayat pasif ialah ayat yang terbentuk daripada ayat aktif transitif, mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contoh ayat - Bola ditendang oleh Ali. Kucing itu dikejar oleh anjing. | Tatabahasa | 08.01.2009 |