Apakah maksud melankolia? | Maksud melankolia ialah penyakit mental yg ditandai oleh keadaan murung atau rasa sedih yg amat sangat dan berpanjangan. Atau Kemurungan atau keadaan kesedihan yang keterlaluan sehingga merencatkan kegiatan harian seperti tidur, makan dan fikiran. | Makna | 19.02.2010 |
Salam, terima kasih atas penjelasan tuan. Saya masih merujuk soalan saya pada 30/8 dan 2/9. Mengikut Arkib Soalan (bil. 65), soalannya: Saya memakan nasi (salah). Saya makan nasi (betul). Saya difahamkan ada beberapa perkataan dalam Bahasa Melayu tidak memerlukan imbuhan seperti kata kerja makan, minum, tidur, tinggal dsb. Harap penjelasan. | Perkataan seperti makan, minum dan sebagainya boleh menerima awalan me-.... Merujuk Kamus Dewan terdapat sedikit perbezaan makna antara kata makan dengan memakan. Makan bermaksud memamah serta menelan makanan, mengunyah (menelan, melulur, menghisap, dan lain-lain) sesuatu dan memakan bermaksud makan dengan lebih aktif. Bagi perkataan minum sama makna dan penggunaannya dengan meminum. Berdasarkan huraian tersebut ayat saya makan nasi dan saya memakan nasi kedua-duanya betul bergantung pada konteks makna yang dibawa atau visual yang disertakan. Walau bagaimanapun kata makan (saya makan nasi) tanpa adaanya awalan me-... lebih mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 05.09.2012 |
Terima kasih atas penjelasan tentang penggunaan ADA di depan kata kerja. Adakah ini bermakna ayat -ayat berikut betul? 1."Awak ada makan?" 2.Ali ada minum air 3. Muthu ada tidur. 3. Hasan ada mandi. | Penggunaan perkataan ada di hadapan kata kerja bergantung pada kata kerja yang hadir selepas perkataan ada. Berdasarkan contoh tersebut, penggunaan ada tidak tepat. Penggunaan perkataan yang betul ialah: 1."Awak ada makan?" Awak ada makanan?/ Awak sudah makan? 2.Ali ada minum air. Ali sudah/telah minum air. 3. Muthu ada tidur. Muthu telah/sedang tidur. Sila rujuk Kamus Dewan untuk makna ada. 3. Hasan ada mandi. Hasan sudah/telah/sedang mandi. | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Adakah penggunaan 'adalah' di dalam ayat-ayat berikut betul? 1. Contoh kata berlawanan adalah kuat dengan lemah, besar dengan kecil dan lain-lain. 2. Antara perbuatan yang kerap dilakukan adalah duduk, berjalan, makan, minum dan tidur. Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. Sekian, terima kasih. | Kata pemeri adalah hadir di hadapan fras adjektif atau frasa sendi nama. Oleh itu, penggunaan kata pemeri adalah dalam kedua-dua ayat contoh tersebut kurang tepat. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 264. | Tatabahasa | 06.01.2012 |
bezanya analisa dan analisis, yang mana betul dan sebabnya? malaikat, apakah jantinanya? | Perkataan/ejaan yang betul ialah analisis. Analisa ialah ejaan lama. Malaikat ialah makhluk yang dijadikan daripada cahaya, tidak makan, tidak minum, tidak tidur dan tidak berkahwin, tidak menderhakai perintah Allah SWT bahkan menjalankan semua perintah-Nya dan segala kerja yang ditugaskan oleh Allah kepada mereka. | Tatabahasa | 14.03.2013 |
Tuan, yang manakah betul, "pandangan hidup" atau "pandangan kehidupan", "gaya hidup" atau "gaya kehuidupan"? "Live" perbuatan bahasa Inggeris yang sepadan dengan "hidup"; "life" pula nama "live" bahasa Inggeris dan setimbal dengan "kehidupan". "Kehidupan" bentuk nama bagi perbuatan "hidup". Jadi, saya berpendapat bahawa yang betul "pandangan kehidupan" dan "gaya kehidupan" kerana "gaya kehidupan" selari dengan "lifestyle". Jika kita menulis "gaya hidup, maka padanan dalam bahasa Inggeris "livestyle", ini tidak betul! Lebih-lebih lagi, kita hendak menerangkan gaya tentang hal hidup kita, seperti gaya tidur kita, iaitu pukul berapa tidur, adakah berjoging antara hal hidup (kehidupan) kita, pemakanan antara hal hidup kita, jadi "gaya kehidupan" ini termasuklah gaya kita makan, sama ada makan makanan sihat atau sebaliknya. Samalah halnya dengan "pandangan kehidupan" - pandangan tentang hal-hal yang berlaku semasa kita hidup, hal hidup. "Gaya hidup" membawa maksud yang salah, kerana "hidup" ada kaitan dengan keadaan ada nafas, maka "gaya hidup"lah gaya bernafas kita, gaya kita "ada nyawa" (hidup = ada nyawa), maka tidak sampailah maksud! Kehidupan = life, lifestyle = gaya kehidupan. | Untuk makluman, gaya hidup ialah padanan bahasa Melayu untuk istilah "life style' dan pandangan hidup ialah padanan bahasa Melayu untuk "worldview" atau "world outlook". Istilah ini telah digunakan dalam pelbagai bidang ilmu dan tidak perlu ditukar kerana telah diterima dan telah mantap. Sekiranya puan tidak bersetuju dengan istilah tersebut, sila kemukakan pandangan puan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP. | Istilah | 16.12.2016 |
Apakah kesalahan yang terdapat di dalam ayat di bawah? 1) Keretayang Salmah beli itu mahal harganya. 2) Ikan goreng yang diletakkan di atas meja telah kucing makan. 3) Leman memberitahu ibunya tentang masalah yang dia hadapi. 4) Semua makumat yang diberikan oleh pihak polis adalah rumit. 5) Pengemis itu sungguh nyenyak berseimutkan embun. 6) Mereka berbincang tentang barangan yang perlu mereka bawa ke kem itu. | 1) Kereta yang Salmah beli itu mahal harganya. 2) Ikan goreng yang diletakkan di atas meja telah dimakan oleh kucing. 3) Leman memberitahu ibunya tentang masalah yang dihadapi. 4) Semua maklumat yang diberikan oleh pihak polis adalah rumit. 5) Pengemis itu tidur dengan nyenyak berselimutkan embun. 6) Mereka berbincang tentang barangan yang perlu dibawa ke kem itu. | Tatabahasa | 21.08.2013 |
Salam, Kami ingin bertanya samada perkataan berikut merupakan sebahagian dari bahasa kebangsaan. 1. Suite 2. Residensi 3. Kondominium Terima kasih | 1. SUITE Unit penginapan di hotel yang dilengkapi bilik tidur, ruang tamu, ruang makan dan dapur. (Kamus Dewan Perdana) 2. RESIDENSI Perkataan Residensi hanya digunakan dalam penamaan bangunan sahaja. Contohnya RESIDENSI MUTIARA, RESIDENSI KEMBOJA dan sebagainya. Bagi residensi dalam ayat hendaklah menggunakan perkataan kediaman. 3. KONDOMINIUM Bangunan pangsapuri yang setiap pangsapurinya dimiliki secara perseorangan dan bahagian-bahagian tertentu dimiliki bersama. (Kamus Dewan Edisi Keempat) | Penyemakan dan penterjemahan | 04.06.2020 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Peristiwa (suram) itu terjadi 10 tahun yang lalu. (b) Tulisannya sukar dibaca kerana sangat (kotor). (c) Rumah nenek nampak (segar) selepas dipasang kain langsir. (d) Anita Lim baru (segar) daripada demam. (e) Saya tidak suka makan daging kambing kerana baunya (manis). (f) Lembu jantan itu merenung kami dengan wajah yang (manis). (g) Kami tidur (rapat) kerana khemah itu sempit. (h) Lori itu (rapat) melanggar sebuah motosikal. (i) Ibu bangun lebih awal untuk (panas) lauk untuk kami. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
Salam Tuan, Saya ingin bertanya adakah perkataan berikut termasuk sebagai bahasa kebangsaaan. Perkataan-perkataan ini adalah untuk digunakan sebagai sebahagian dari cadangan nama pembangunan. 1. Suite 2. Residensi 3. Kondominium Bersama ini kami lampirkan permohonan cadangan nama pembangunan yang telah kami hantar kepada pihak berkuasa tempatan untuk rujukan pihak Tuan. Terima Kasih Faiz AJC Planning Consultants Sdn Bhd | Dalam data kami, istilah-istilah yang dinyatakan membawa maksud seperti yang berikut: 1) Suite: Unit penginapan di hotel yang dilengkapi bilik tidur, ruang tamu, ruang makan dan dapur. (Kamus Dewan Perdana) 2) Residensi: hanya digunakan dalam penamaan bangunan sahaja. Contohnya RESIDENSI MUTIARA, RESIDENSI KEMBOJA dan sebagainya. Bagi residensi dalam ayat hendaklah menggunakan perkataan kediaman. 3) Kondominium: Bangunan pangsapuri yang setiap pangsapurinya dimiliki secara perseorangan dan bahagian-bahagian tertentu dimiliki bersama. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
| Istilah | 04.06.2020 |