Tuan, mana satu yang betul? 1 macam manapun atau macam mana pun 2 mana-manapun atau mana-mana pun 3 dia bukan cantik manapun atau dia bukan cantik mana pun. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah macam mana pun, mana-mana pun dan dia bukan cantik mana pun. | Tatabahasa | 08.05.2012 |
Apakah maksud bagi peribahasa dan perkataan di bawah kerana saya tidak dapat dicari di mana-mana pun ? a rantai besi dimakan bubuk b lalang ditiup angin c terengsot-engsot d baik mengikut resmi padi daripada mengikut remi lalang terima kasih. | Puan, Maksud peribahasa dan perkataan yang dikemukakan ialah i. cerita tak masuk akal ii. terhuyung -hayang iii. bergerak sedikit-sedikit tanpa mengangkat punggung iv. makin berisi makin tunduk | Lain-lain | 14.12.2010 |
walaubagaimanapun atau walau bagaimanapun atau walaubagaimana pun atau walau bagai mana pun. yang mana betul diantara berikut | Ejaan yang betul ialah walau bagaimanapun. Ada dua cara menulis partikel pun. 1) Kata pun berfungsi sebagai kata tugas yang bererti juga ditulis terpisah daripada kata yang ada di sampingnya. Contohnya: i) Jika dia pergi, saya pun pergi. ii) Jangankan dua kali, sekali pun engkau belum pernah datang ke mari. 2) Ada beberapa perkataan yang ditetapkan ejaannya supaya ditulis serangkai dengan partikel pun, antaranya: adapun, andaipun, biarpun, kendatipun, mahupun, sekalipun, walaupun, ataupun, bagaimanapun, kalaupun, lagipun, meskipun, sungguhpun. Contohnya: Walau bagaimana marah sekalipun dia tidak pernah menengking anaknya. Sila rujuk buku Panduan Ejaan Rumi Bahasa Melayu, terbitan DBP. | Ejaan | 18.05.2011 |
penggunaan perkataan "pun" contonhya itu pun, lagipun, walaupun, dia pun, ataupun. Penggunaan yang mana betul? harus didekatkan atau dijarakkan ejaan pun itu? Apa bezanya di dekatkan atau di jarakkan? Rujukkan dalam DBP ada yang ejaan didekatkan ada ejaan yang di jarakakan untuk perkataan yang sama. | Pun sebagai kata penyerta dieja rapat seperti walaupun, meskipun dan kendatipun. Pun yang bermaksud juga dieja terpisah daripada kata sebelumnya seperti telah pun dan dia pun. | Tatabahasa | 18.01.2012 |
Kekeliruan penggunaan kata ganti tak tentu, mana-mana - untuk mengganti nama benda atau nama tempat yang tidak tentu. Contoh soalan, "----------------peserta yang terpilih dalam sesi latihan pada petang ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Bagi------------------yang tidak terpilih jangan berputus asa, cuba lagi. A. Apa-apa, bila-bila B. Siapa-siapa, mana-mana C. Mana-mana, siapa-siapa D. Berapa-berapa, siapa-siapa | Encik Paul, Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (hlm. 87): kata ganti diri tanya ialah jenis kata nama yang berfungsi menanyakan hal benda, perkara, atau manusia. Terdapat tiga bentuk kata ganti nama diri tanya, iaitu siapa yang merujuk orang, apa yang merujuk benda atau perkara, dan mana yang merujuk benda atau orang. Kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau untuk penegasan. Contohnya: apa-apa: Bawalah apa-apa yang ada. mana-mana: Ambillah mana-mana yang anda suka. siapa-siapa (sesiapa); Siapa-siapa pun boleh bersuara. Oleh itu, berdasarkan keterangan di atas, ayat yang betul adalah seperti yang berikut: Siapa-siapa (Sesiapa) peserta yang terpilih dalam sesi latihan pada petang ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Bagi mana-mana yang tidak terpilih jangan berputus asa, cuba lagi. | Tatabahasa | 28.02.2009 |
Siapakah Raja Ali Haji dan Sumbangannya dalam bidang bahasa Melayu? | Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad ialah seorang ulama, sejarawan, pujangga. Untuk keterangan lanjut, sila lawati Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka atau pun mana-mana perpustakaan yang berdekatan. Terima kasih. | Lain-lain | 06.12.2007 |
Selamat sejahtera. 1. Bolehkah kata 'maka' digunakan sebagai permulaan ayat? Misalnya, 'Maka mereka pun beredar dari situ.' 2. Bilakah kata 'pun' perlu bergabung dengan suatu perkataan? Misalnya, 'telahpun' atau 'telah pun', 'apa-apapun' atau 'apa-apa pun'. Mana satukah yang betul? 3. Betulkah penggunaan imbuhan akhiran -i dalam contoh-contoh berikut? Dia memaklumi keluarganya tentang berita itu. Biar Tuhan yang menghukumi aku. Bolehkah kau menjagainya? Aku akan mengotai janji saya. Wang perak sebanyak lima tahil ini, bukankah dah cukup untuk menyarai hidup selama tiga lima bulan? Sekian, terima kasih daun keladi. | 1. Maka tergolong dalam penanda wacana yang boleh hadir di awal atau pertengahan ayat. 2. Kata adapun, andaipun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, kendatipun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun, sungguhpun dan walaupun dieja sebagai satu perkataan, yang selain daripada senarai tersebut iaitu pun yang bermaksud juga dieja sebagai dua perkataan, contohnya dia pun (juga). 3. Penggunaan memaklumi, menjagai, menyarai dan mengotai (kata kiasan bermaksud menepati janji) dalam ayat-ayat tersebut adalah betul. Tidak ada kata terbitan menghukumi, yang ada menghakimi, seperti contoh ayat: kamu jangan menghakiminya. | Tatabahasa | 28.06.2010 |
saya ingin tahu makna perjatan isbat | Setakat ini, makna perjatan tidak terakam di dalam mana-mana kamus, walau bagaimana pun isbat bermaksud ketetapan, penetapan, pengukuhan, sah (tentu). | Makna | 02.03.2007 |
Apakah maksud "bebudak"? | Istilah "bebudak" tidak terdapat dalam mana-mana sumber rujukan kami. Istilah yang ada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah "berbudak" (istilah sastera lama) yang bermaksud bersama budak: maka Sultan Mahmud Shah pun pergi dua ~, kitab baginda sendiri membawa dia; dua ~ berdua dgn seorang budak. | Istilah | 01.07.2009 |
Soalan: Rumah itu dibakar habis oleh api. Betulkah penggunaan 'oleh' dlm ayat di atas? 'Oleh' perlu diikuti dengan pelaku yg bernyawa atau mana-mana benda fizikal pun boleh? | Penggunaan oleh dalam ayat contoh tersebut betul kerana kata sendi nama oleh juga menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Dapat dikatakan bahawa penggunaan kata sendi nama oleh di sini sebenarnya berpunca daripada oleh sebab yang kemudiannya berlaku pengguguran sebab secara pilihan, Contoh lain: Ia mati oleh (sebab) senjatanya sendiri. | Tatabahasa | 20.07.2012 |