Adakah perkataan "memeribadikan" betul dari segi tatabahasa?. Atau sepatutnya perkataan yang betul adalah "Memperibadikan"?. Apitan Memper...kan, Men..kan adalah yang biasa saya dengar dan gunakan. Walaupun apitan meN-…-kan juga menerima kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s, tapi adakah perkataan "Memeribadikan" adalah betul?. | Jawapan: Perkataan yang betul ialah memperibadikan yang tergolong di bawah apitan kata kerja meN-…-kan yang membawa maksud benefaktif atau manfaat yang pembentukannya memerlukan dua objek. Lazimnya, apitan meN-…-kan menerima objek tepat yang tidak bernyawa. Contoh ayat: “Pembelajaran berautonomi membolehkan pelajar memperibadikan agenda pembelajarannya berdasarkan kekuatan akademik dan minatnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 190 hingga 207. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
Apakah ada formula untuk menentukan pengunaan antara apitan meN.....kan yang membawa maksud kausatif dengan apitan meN.....kan membawa maksud benafaktif? Misalnya "memberikan" bermaksud kausatif tetapi "membelikan" pula bermaksud benafaktif. Saya sungguh keliru. | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat, dan adik + buku objek dalam ayat tersebut). | Tatabahasa | 29.08.2012 |
Merealisasi atau merealisasikan? Tolong berikan contoh apabila me...(diakhiri dengan) kan dan me... tidak diakhiri dengan kan seperti menyepak bola dan alasan kenapa ia begitu. Ada di diakhiri dengan kan ada yang tidak, tolong jelaskan. | Merealisasi atau merealisasikan , keduanya-duanya boleh digunakan. Terdapat sebilangan kecil kata yang menerima apitan meN-…-kan dan meN…-i, penggunaanya silih berganti tanpa membezakan makna, contohnya: Ali sedang membaiki/membaikkan keretanya yang rosak. Kami masih dalam proses merealisasi/merealisasikan cita-cita kami. Perkataan merealisasi sebenarnya terdiri daripada kata dasar realisasi yang menerima apitan meN-…-i (merealisasii) tetapi telah digugurkan satu i. Kata kerja boleh dihasilkan dengan proses pengimbuhan sama ada imbuhan awalan , akhiran, apitan dan sisipan. Kata kerja yang terbentuk daripada imbuhan awalan meN- (variasinya: me-, mem-, men-, meng-) menerbitkan dua makna: 1) melakukan perbuatan atau 2) menyatakan keadaan. Bagi makna melakukan perbuatan dipecahkan kepada lima maksud iaitu i) melakukan sesuatu , contohnya: merayu, membuka, mentadbir, mengheret, menjahit (Emak menjahit baju). ii) mengeluarkan suara, contohnya: mengaum, mengiau; iii) membuang, contohnya: merumput; iv) menuju sasaran, contohnya: menepi, mendarat; v) menjadi seperti atau menyerupai sesuatu, contohnya: membusut. Bagi makna menyatakan keadaan dipecahkan kepada dua iaitu i) hidup sebagai, contohnya: membujang, menjanda; ii) menjadi, contohnya: memanjang. Kata kerja yang terbentuk daripada apitan meN …kan menghasilkan maksud : i) membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, contohnya: Dia merundingkan hal itu tadi. ii) kausatif atau menyebabkan, contohnya: Aril memanjangkan bacaan doanya. iii) manfaat, contohnya: Emak menjahitkan adik baju kurung. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 143 – 223. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
Apakah fungsi imbuhan akhiran -an, -kan? Bagaimana pula dengan akhiran -i? Terima kasih. | Akhiran –kan dan akhiran –i merupakan akhiran kata kerja, manakala akhiran –an merupakan akhiran kata nama. Akhiran –kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (I) memberi pengertian kausitif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (II)memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan(membelikan untuk orang lain), masak-masakkan. Akhiran –i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran-i,iaitu: (I) memberikan pengertian kausitif atau menyebab kan sesuatu jadi: baik-baiki(menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah-sudahi. (II)memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: naiki bas-naik ke bas. Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 117-121 dan 183- 190. | Tatabahasa | 14.05.2014 |
Bagaimanakah mahu pastikan sama ada KKTr meN....kan yang membawa maksud kausatif atau banefaktif. contohnya alam frasa 'membelikan ikan' atau membeli ikan. ATAU frasa' membeli emak ikan itu' atau membelikan emak ikan itu. Yang mana satu tepat dan tolong jelaskan. kenapa dalam frasa 'menjelaskan perkara' memerlukan akhiran '..kan' untuk maksud kausatif dan mengapa frasa 'membeli ikan' tak perlu akhiran ...kan dalam maksud kausatif? | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat). Merujuk contoh yang diberikan oleh saudara, frasa yang betul ialah "membelikan emak ikan" untuk maksud benefaktif. Hal ini berbeza dengan frasa "membeli ikan". Frasa tersebut betul dan membawa maksud melakukan sesuatu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk awalan meN- dan apitan meN-...-kan.. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
meN-...-kan : diikuti objek tidak bernyawa meN-...-i : diikuti objek bernyawa konsep di atas diterangkan dlm prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=bernyawa&d=10 Persoalannya , adakah ayat benefaktif tidak mengikut konsep spt di atas? saya keliru krn penggunaannya berlainan spt yg terdpt dlm tatabahasa dewan edisi ketiga (ms/ 197). cth ayat 'Ayah membelikan adik buku'. Dlm ayat tersebut perkataan 'adik' ialah objek bernyawa. Mohon penjelasan yang selengkapnya. | Penggunaan meN-..-kan diikuti objek tidak bernyawa, manakala meN-...-I diikuti objek bernyawa hanya pada kata kerja tertentu sahaja, dan bukan untuk semua kata kerja. Itu pun untuk menentukan penggunaan apitan men-...-kan atau men-...-i yang sesuai dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya. Contohnya: Memberi 1. Ali memberi kucing makanan. 2. Ali memberikan makanan kepada kucing Sila lihat Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207 perenggan bertanda (II) Manakala contoh ayat "Ayah membelikan adik buku" tidak termasuk dalam penerangan di atas. Ayat ini dibawah tajuk aspek makna apitan men-...-kan yang menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud benefaktif atau manafaat. Contoh: 1. Ayah membelikan adik buku. (memberi manfaat kepada adik) 2. Saya memasakkan tetamu gulai ikan (memberi manfaat kepada tetamu) | Lain-lain | 27.08.2014 |
Saya keliru dengan penggunaan kk transiftif yang bermaksud kausatif iaitu antara meN.... dengan meN...kan. Ada tak cara/formula untuk memastikan penggunaannya. Adakah kk transitif( kata dasar kata kerja) yang menggunakan apitan meN....?manakala kk transitif( kata dasar daripada kata adjektif dan kata nama) mesti menggunakan meN....kan?sila jelaskan. | Formula yang mudah ialah merujuk buku Tatabahasa Dewan. Di bawah tajuk awalan meN- diterangkan golongan kata yang boleh menerima awalan meN- termasuklah kata nama, kata adjektif dan kata kerja. Lihat juga aspek makna awalan meN- antaranya, bagi makna melakukan perbuatan, menuju sasaran dan berlaku seperti atau menyerupai sesuatu. Aspek makna awalan meN- berbeza dengan apitan men-...-kan. Aspek makna meN-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya; dan maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek, contohnya: Ayah membelikan adik buku. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 151 dan 191. | Tatabahasa | 07.04.2012 |
kenapa frasa 'membelikan baju' kurang tepat? Bukankah frasa ini bermaksud membuat sesuatu sepertimana frasa 'merundingkan hal itu'? kedua-dua frasa nampak sama maksud apabila menggunakan apitan 'meN....kan. Hal inilah yang mengelirukan saya | Kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan membawa beberapa maksud tertentu, antaranya maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek dan objek pertamanya objek bernyawa. Contohnya perkataan yang tuan berikan "membelikan" menjadi ayah membelikan adik baju atau contoh lain saya memasakkan tetamu gulai ikan. Selain itu apitan juga men-...-kan juga membawa maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, contohnya ... merundingkan hal ... dan ... merancangkan projek .... Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 197. | Tatabahasa | 09.09.2012 |
Salam, ayat yang manakah betul? 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran-kan? Terima kasih. | Semua ayat tersebut betul: 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Akhiran –kan juga merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (ii) memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan (membelikan untuk orang lain), masak-masakkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183 - 186.
| Lain-lain | 23.10.2023 |
Pilihan yang manakah yang menggunakan imbuhan meN-...-kan yang membawa makna benefaktif? A Tingkah lakunya di majlis itu memalukan ahli keluarganya. B Nenek membelikan cucu kesayangannya motosikal baharu. C Pak Mahmud tetap dengan keputudannys untuk membesarkan rumahnya. D Semua jemaah haji itu akan menaiki kapal terbang pada pukul 2.45 petang. | Ayat yang membawa makna benefaktif atau memberi manfaat ialah "Nenek membelikan cucu kesayangannya motosikal baharu." | Tatabahasa | 17.10.2013 |