Assalamualaikum dan salam sejahtera. saya ingin bertanyakan soalan iaitu: 1. Bagaimanakah cara untuk membezakan dan menggunakan imbuhan meN-...-i dan meN-...-kan 2. Apakah perbezaan kata adverba dan kata penekan ? | 1. Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-imenandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-imenerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Tidak berlaku pengguguran apitan meN-...-kan atau meN-...-i, dalam konteks ayat tersebut perkataan yang sesuai ialah mengambil. 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata adverba tersenarai sebahagian daripada katatugas kerana fungsinya mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu sama ada sebagai penghubung, penerang atau penentu. Kata adverba ialah kata yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, katanama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Kata Penekan ialah kata yang memberikan penegasan kepada perkataan yang tergabung dengannya. Contohnya: -nya dalam Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. | Tatabahasa | 21.07.2018 |
Saya tidak dapat membezakan penggunaan imbuhan "meN- kan". Kadang-kadang imbuhan ini mesti diikuti dengan 'orang' dan pada masa yang lain diikuti dengan kata kerja, kata nama. contoh 1: Emak membuatkan ayah secawan kopi. contoh 2: Hakim menjatuhkan hukuman penjara terhadap orang kaya yang menghina mahkamah itu | Empat golongan kata utama iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata tugas boleh menerima apitan men-...kan untuk membentuk kata kerja transitif. Dalam hal ini sdr perlu membezakan antara keempat-empat golongan kata tadi dan apakah golongan kata ini boleh bergabung dengan men-...kan. Untuk mendapatkan keterangan lanjut sdr bolehlah merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga pada halaman 190-196. Terima kasih. | Lain-lain | 30.10.2008 |
Nur Hidayah Abdullah SAB 12.55 PAGI Nur Hidayah Abdullah Nur salam, saya nk tanya, 1)jika perkataan "dari", selepas dia mestilah menggunakan perkataan yg merujuk (arah,masa dan tempat) kan? jadi nk tanya, jika ayat begini,, .....................dari/daripada pihak universiti. mana satu yang betul? 2) perkataan "facebook" adakah tergolong dalam kata nama khas atau perkataan bahasa asing? dan bagaimanakah pengunnan perkataan tersebut di dalam tulisan rasmi, adakah perlu sekadar huruf besar di depan(Facebook) atau perlu diitalickan? | 1. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Ciri-ciri ini membezakannya daripada kata sendi nama "daripada" yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan atau perbezaan. Penggunaan hendaklah berdasarkan konteks ayat. 2. Facebook merupakan kata nama khas yang dieja dengan huruf besar pada pangkal perkataan. | Tatabahasa | 06.05.2017 |
DBP, (i) Kata sendi nama 'diguna' untuk menyatakan tempat, arah dan masa. (ii) Kata sendi nama 'digunakan' untuk menyatakan tempat, arah dan masa. Ayat yg mana satukah adalah tepat? Penggunaan inbuhan 'di__kan' . Terima kasih DBP | Berdasarkan contoh soalan yang diberi, persoalannya adalah tentang pengguanan kata diguna atau digunakan. Dalam hal ini penggunaan yang betul ialah kata digunakan. Untuk mendapat maklumat tentang apitan di-...-kan, lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 202. | Tatabahasa | 12.08.2010 |
jawapan yang diberi oleh dbp masa bulan mac: Antara kesan tanah runtuh (ialah) berlaku tanah runtuh. "berlaku tanah runtuh" ialah frasa kerja kan? mengapakah guna kata pemeri "ialah"? saya difahamkan lepas kata pemeri "ialah" perlu guna frasa nama. | Mohon maaf. Kata "berlaku" dalam ayat tersebut membawa makna adjektif (sedang berlangsung/terjadi). Ayat yang betul: Antara kesan tanah runtuh adalah berlaku banjir lumpur. | Lain-lain | 17.07.2018 |
1)perbezaan antara (baru) dan (baharu) 2)selepas imbuhan akhiran (-kan) tidak boleh meletakkan objek hidup, tetapi adakah ayat berikut betul? ibu memasakkan ayah bubur. ibu menjahitkan kakak sehelai baju tq | 1. Dalam Kamus Dewan baru dan baharu sama maknanya iaitu belum (tidak) ada sebelumnya, (yang) belum lama wujud. Bagi menjawab pertanyaan saudara, "baru" kebiasaannya merujuk kepada masa, bagi membantu, dalam bahasa Inggeris, kata "just" digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contoh ayatnya, Dia baru tiba dari Kuala Lumpur. Kata "baharu" pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa inggerisnya, "new" , termasuk digunakan untuk barang-barang. Contoh , Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. 2. Akhiran -kan membentuk kata kerja transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- dan boleh meletakkan objek hidup selepas kata kerja tersebut. Contoh, Ibu memasakkan ayah bubur | Tatabahasa | 02.03.2009 |
Sekadar ingin tahu. mungkin menjadi suatu pengetahuan baharu~ "Perkataan yang terpanjang dalam Bahasa Malaysia ialah diketidaknyahcasdiversifikasielektrostat (mengandungi 40 huruf), merupakan istilah yang digunakan dalam bidang saintifik. Manakala perkataan umum yang terpanjang ialah mempertanggungjawabkan (mengandungi 22 huruf)". Betulkah? maaf, soalan agak kebudak2kan. Namun , cukup menarik utk di masa hadapan.. :D | Perkataan mempertanggungjawabkan hasil gabungan apitan memper-...-kan dengan kata dasar tanggungjawab dan perkataan ini terakam dalam Kamus Dewan. Manakala perkataan diketidaknyahcasdiversifikasielektrostat tidak ada dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan, dalam pembentukan perkataan/istilah, perkataan ketidak dan nyah tidak hadir sekali atau berurutan kerana kedua-duanya membawa maksud yang hampir sama seperti ketidakhadiran dan nyah padat. Dan lazimnya dalam pembentukan istilah apabila ada apitan di-...-kan atau ke-...-an baharulah perkataan yang terhasil itu digabungkan. | Istilah | 25.10.2012 |
Assalamualaikum Tuan/Puan. Merujuk pertanyaan saya yang bertarikh 24 Mac 2021, mohon penjelasan mengapakah kata kerja dalam ayat (1 hingga 3) berikut salah tetapi dalam ayat (4 hingga 7) betul. Saya keliru dengan penggunaan imbuhan ‘kan’ apabila dua kata kerja digunakan serentak dalam ayat. Adakah kata kerja ‘merancang dan menentukan’ memang tidak boleh digunakan dalam situasi ayat no.4.Terima kasih. 1.Syarikat swasta banyak [mengeluar dan menerbitkan] filem yang bertemakan percintaan. 2.Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Inspirasi sedang [membersih dan menceriakan] kelas mereka. 3.Mereka sepatutnya [mengutama dan meletakkan] kepentingan negara apabila bertindak. 4.Ibu bapa hendaklah [merancangkan dan menentukan] masa depan anak-anak mereka dengan baik. 5.Markah calon yang [menukarkan dan menambahkan] imbuhan dalam ayat ini akan dipotong. 6.Tugas kami ialah [membersihkan dan mengecatkan] dinding bangunan kerajaan itu sahaja. 7.Saya telah [mengutip dan menyerahkan] bayaran yuran itu kepada guru penasihat. | Sebaiknya kata kerja dalam ayat 1 hingga 3 perlu mempunyai pola imbuhan ‘kan’ yang sama pada kedua-dua perkataan tersebut seperti yang berikut. 1. Syarikat swasta banyak [mengeluarkan dan menerbitkan] filem yang bertemakan percintaan. 2. Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Inspirasi sedang [membersihkan dan menceriakan] kelas mereka. 3. Mereka sepatutnya [mengutamakan dan meletakkan] kepentingan negara apabila bertindak. Manakala bagi ayat 4, tidak salah penggunaannya, cuma tidak menjadi kebiasaan menggunakannya dalam ayat. Merancangkan ialah membuatkan sesuatu rancangan. 4. Ibu bapa hendaklah [merancangkan dan menentukan] masa depan anak-anak mereka dengan baik. Seterusnya bagi ayat 5 hingga 7 betul penggunaan ayatnya. | Tatabahasa | 30.03.2021 |
Bahasa perbualan di bawah tidak baku. Minta tolong jadikan ia dalam bahasa melayu baku. A: Nama saja Kamal. Asal Kampung Durian. Saya sekolah dekat sini. Saya seronok belajar kat sini. B: Kenapa seronok ? A: Kiranya dapat menimba ilmu pengetahuan dari guru-guru yang berpengalaman. Macam guru lepas belajar daripada luar negara. B: Apa peranan you bila cikgu gunakan smartbord? A: Baru tau itu smartboard. Rasa macam adalah semangat sikit kan, nak belajar. B: Oo...Dulu tak semangat nak belajar, tak ada smartboard. A: Tak jugaklah. Kiranya menambahkan semangat untuk belajar. Tapi setiap kelebihan ada la kekurangan dia. B: Kekurangan? A: Tu la smartboard. Masa dia sikit sangat. Kalau pakai smartboard tak sempat nak salin nota. B: Oh... perlu lebih masa la. A: Ya. Masalahnya banyak masa terbuang kat situ, teknikal tu kan. Terima kasih kerana sudi membantu. | Untuk makluman saudara, soalan ini telah banyak kami terima, sila tukarkan ke bahasa Melayu baku dan kami akan menyemak salinan tersebut seperti yang telah dilakukan dalam soalan sebelum ini. Jika soalan ini berkaitan dengan soalan peperiksaan kerajaan sila rujuk pihak Lembaga Peperiksaan/pembekal kertas soalan untuk mendapatkan jawapan yang telah diperakui. | Tatabahasa | 20.10.2011 |
Apakahperbezaan antara galeri, arkib dan muzium? Kalau sekolah hendak wujudkan bilik pameran untuk simpanan maklumat sekolah seperti majalah sekolah, piala, buku teks yang digunakan, bekas pengetua , guru dan lain-lain, itu adalah galeri kan? Terimakasih | Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan galeri sebagai bangunan atau bilik tempat mempamerkan karya-karya seni dsb: satu pameran telah diadakan di sebuah ~ seni dan sejarah. Arkib pula ialah tempat menyimpan naskhah-naskhah lama dan sebagainya yang dianggap penting. 2 tempat menyimpan atur cara dan data komputer bagi jangka masa yang lama. Manakala muzium ialah bangunan tempat menyimpan, memelihara, mengkaji, atau mempamerkan objekobjek yang mempunyai nilai sejarah, seni, saintifik, dan sebagainya. Berdasarkan keterangan saudara, galeri lebih sesuai digunakan. | Tatabahasa | 30.04.2013 |