Saya masih keliru: 1. Ejaan bagi pokok "Jelutong", "Chengal" dan "Nyatoh" bolehkah diubah kepada "Jelutung", "Cengal" dan "Nyatuh"? 2. Adakah nama-nama pokok seperti tongkat ali, kacip fatimah, jelutung, cengal, meranti sarang punai, meranti tembaga dll. ditulis dengan huruf besar (huruf pertama) jika ia berada di dalam teks? Adakah nama-nama pokok ini dianggap nama khas? Contoh ayat: Pak Ali sedang mengusahakan ladang pokok tongkat ali untuk dikomersialkan. | 1. JELUTUNG - tumbuhan (pokok), Dyera costulata; ~ badak sj tumbuhan (pokok renek), Ervatamia corymbosa; ~ laut sj tumbuhan (pokok), Euphorbia atoto; rotan ~ sj rotan, rotan segera (kerai, gelang, kemunting), Daemonorhops geniculatus. CENGAL- ~ batu = ~ emas = ~ sabut = ~ siput sj tumbuhan (pokok yg kayunya keras dan elok utk dibuat rumah dll), Balanocarpus heimii; ~ kampung = ~ pasir sj tumbuhan (pokok besar), Hopea odorata. NYATUH - sj tumbuhan (pokok yg kayunya elok utk bahan rumah), tabah putih, Palaquium obovatum; 2. = ~ beringin = ~ sondai sj tumbuhan (pokok yg kayunya elok utk bahan rumah), Payena Lavilandii. 2. Nama-nama pokok tidak perlu ditulis dengan huruf besar kecuali di awal ayat kerana nama-nama pokok tersebut merupakan kata nama am. | Tatabahasa | 16.04.2008 |
Salam sejahtera. Saya menghadapi masalah untuk muat-turun Panduan Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi yang terdapat di laman web DBP. Mohon bantuan tuan untuk menghantarnya melalui email saya. Terima kasih | Untuk makluman puan, kami tidak memiliki salinan lembut (soft copy) Panduan Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi. Kami sendiri masih menyemak menggunakan salinan keras (hard copy) panduan tersebut. Sila hubungi Bahagian Dasar dan Penyelidikan Bahasa, Tingkat 24, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lanjut. | Lain-lain | 05.05.2011 |
Ada pendapat yang mengatakan bahawa kata penguat bebas iaitu sangat,amat dan sungguh boleh digunakan serentak dengan kata penguat belakang sekali, contohnya sangat cantik sekali, amat hebat sekali dan sungguh mahal sekali. Namun dalam kebanyakan penerbit buku rujukan masih tidak menerima pendapat ini kerana latihan yang diberikan dalam keluaran mereka semuanya menyatakan penggunaan kata penguat seperti di atas adalah salah. Jadi, apakah nasihat kita kepada para pelajar kita dan apakah pendirian DBP dan Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia dalam hal ini?Kalau pendirian DBP dan KPM bercanggah, pendirian siapakah yang patut kami ikut? | Menurut buku tatabahasa Dewan Edisi Ketiga yang merupakan buku rujukan rasmi tentang tatabahasa bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah agensi perancang bahasa di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia menjelaskan bahawa penggunaan kata adjektif dalam darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara berikut: i. se+kata adjektif + gandaan + kata nama - sepandai-pandai tupai, sekeras-keras batu ii. ter+ kata adjektif - terpandai,terbaik iii. paling+kata adjektif - paling lazat, paling cerdik iv. kata adjektif+ sekali - tinggi sekali, cantik sekali Binaan ter+kata adjektif tidak perlu diikuti oleh perkataan sekali, begitu juga dengan binaan paling+ kata adjektif kerana ter, paling dan sekali sudah membawa maksud darjah penghabisan. Awalan ter yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan. Binaan darjah penghabisan boleh juga menerima kata penguat belakang sekali dengan kata penguat bebas amat, sangat atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244. | Tatabahasa | 24.05.2008 |