Salam sejahtera, Mohon nasihat untuk penggunaan tatabahasa berikut: 1. Jem ini saya dapat dari / daripada kenduri itu. <-- Kenduri merupakan tempat atau punca dalam ayat ini? 2. Saya kembali dari / daripada ambang maut. <-- Ambang maut di sini ialah abstrak, jadi dari atau daripada? Terima kasih atas pencerahan. | Penggunaan perkataan dari/daripada yang betul dalam ayat berikut ialah: 1. Jem ini saya dapat daripada kenduri itu; atau Jem ini saya dapat dari tempat kenduri itu. (Sekiranya dimasukkan perkataan tempat, jika perkataan kenduri sahaja dimasukkan, ia masih dianggap sebagai sumber) 2. Saya kembali daripada ambang maut. | Tatabahasa | 18.11.2022 |
1. a) Masuk adalah percuma b) Masuk percuma c) Hukuman yang menanti adalah maut d) Hukuman yang menanti ialah maut Yang manakah ayat yang betul. 2. Di sesetengah jalan raya ada dibuat lorong khas untuk motosikal dan basikal. Perkataan yang digunakan ialah "lorong sikal". Adakah betul penggunaannya. 3. Tolong berikan ayat contoh penggunaan 'ia' | 1. a) Masuk adalah percuma b) Masuk percuma - kedua-dua ungkapan ini betul, perkataan adalah dalam ungkapan pertama menunjukkan unsur penegasan dalam ungkapan tersebut. Hukuman yang menanti ialah maut - ayat ini yang betul. 2. Istilah laluan sikal (bukan lorong sikal) ada digunakan sebagai padanan bikeway dalam bidang Kejuruteraan Automatif. 3. Ia - kata ganti nama diri ketiga; atau dia: contoh ayat, ia bercita-cita hendak menjadi doktor. | Tatabahasa | 28.05.2010 |
Salam, 1. Apakah peribahasa yang bersinonim dengan 'pantang ajal sebelum maut'? 2. Apakah peribahasa yang sesuai untuk seseorang yang sangat berani dan tidak takut mati? Adakah peribahasa 'pantang ajal sebelum maut' itu sesuai ataupun ada peribahasa lain yang lebih baik? Terima kasih. | Tidak ada kamus sinonim peribahasa, oleh itu setiap entri peribahasa perlu disemak satu persatu untuk mencari persamaan maksud antara peribahasa yang ada. Peribahasa "sebelum ajal berpantang maut" bermaksud tak akan mati sebelum sampai waktunya yang ditentukan oleh Tuhan. | Lain-lain | 14.04.2014 |
Adakah tajuk artikel ini silap atau betul? | Penggunaan tajuk yang betul dalam artikel ini ialah Lelaki nyaris maut melanggar pokok atau Lelaki nyaris maut terlanggar pokok. | Tatabahasa | 04.02.2021 |
Dadah _____ menyebabkan ketagihan _____ juga turut membawa maut. Ayat tersebut perlu guna bukan sahaja...malahan ataupan bukan sahaja--- tetapi | Perkataan yang betul ialah bukan sahaja dan malahan. Contoh dalam ayat, Dadah bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malahan juga turut membawa maut. | Tatabahasa | 23.10.2021 |
Terbaca tajuk berita "6 termasuk 5 sekeluarga maut dalam nahas 3 kenderaan". Frasa "enam termasuk lima" memang wujud dalam tatabahasa Bahasa Melayu? | Frasa “enam termasuk lima” merupakan contoh frasa dalam Tatabahasa Melayu yang dapat dirujuk sebagai frasa nama yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang boleh berfungsi sebagai satu konstituen dalam binaan ayat dan berfungsi sebagai predikat dalam pola FN+FN (Frasa Nama+Frasa Nama). Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 359-362. | Tatabahasa | 02.09.2023 |
Seorang 'ulat bilik' berusia 31 tahun nyaris maut selepas ditikam oleh sekumpulan lelaki kerana cuba memonopoli semua bilik sebuah hotel di pusat peranginan Genting Highlands semalam. - Mstar online Apakah maksud 'ulat bilik' ? Terima kasih. | Contoh penggunaan kata ulat yang selalu digunakan dalam frasa ialah ulat buku yang bermaksud seseorang yang sangat rajin membaca buku. Manakala bagi contoh yang membawa maksud negatif ialah seseorang yang menjalankan kegiatan tidak mengikut peraturan yang betul seperti ulat teksi. Dalam contoh ayat yang diberikan, gambaran ulat bilik tidak ada dalam rujukan kami. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mendapatkan maklumat lanjut. | Makna | 03.09.2009 |
Assalamualaikum. Baru-baru ini DBP ada mengeluarkan 8 istilah baru ICT. Boleh ke saya dapatkan penerangan dari pihak DBP mengenai perkataan-perkataan ini: 1) Tunafoto 2) Swafoto maut 3) Pengkomputeran awan 4) Tera air 5) Butang tekan 6) Emotikon 7) Kawasan khas 8) Tapak panas Apa yang pasti ianya terjemahan daripada perkataan ICT terbaru dalam bahasa Inggeris. Boleh kami tahu bagaimana setiap perkataan ini dipilih seperti perkataan Tunafoto. Sekian. Terima Kasih. | 1) Tunafoto - Gambar foto yang terganggu atau rosak disebabkan sesuatu yang tidak dijangka semasa mengambil foto. 2) Swafoto maut - Mengambil gambar foto sendiri dengan menggunakan kamera telefon pintar atau kamera digital di tempat berbahaya yang boleh mendatangkan kematian. 3) Pengkomputeran awan - Pengkomputeran berasaskan Internet dan menggunakan teknologi komputer yang terkini. Sebutan awan merujuk kepada Internet yang selalunya diwakilkan dalam rajah rangkaian komputer dan merupakan pengabstrakan bagi infrastruktur kompleks yang diwakilinya. Pengkomputeran awan juga merujuk kepada penyediaan keupayaan pengkomputeran yang berkaitan dengan teknologi maklumat sebagai satu perkhidmatan yang membenarkan pengguna mencapai perkhidmatan Internet tanpa pengetahuan kepakaran terhadap teknologi infrastruktur yang menyokongnya. Contohnya, Google App menyediakan aplikasi perniagaan yang biasa secara dalam talian yang boleh dicapai melalui pelayar web manakala perisian dan data disimpan dalam pelayan. 4) Tera air - Tera air ialah tanda pengenalan yang ditekan ke atas kertas ketika ia dibentuk oleh mesin pembuat kertas. 5) Butang tekan - Merupakan terjemahan bagi perkataan push-button. 6) Emotikon - Ikon untuk melambangkan perasaan dalam internet. 7) Kawasan khas - Terjemahan bagi perkataan hotspot 8) Tapak panas - Tapak sandaran yang dilengkapi kelengkapan komputer yang sama dengan sistem komputer yang sedia ada di organisasi anda. Banding: cold site. 2. Dalam WWW, rujukan kepada tapak web yang amat popular. Untuk makluman, istilah yang dipilih telah digubal oleh Jawatankuasa Pembentukan Istilah. | Istilah | 22.11.2017 |
Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera, Tidakkah pihak DBP ada merancang untuk mengulang cetak novel karya Ramlee Awang Murshid berjudul Igauan Maut? Pada pendapat saya, sekiranya novel ini diulang cetak, sudah pasti akan mendapat sambutan yang hangat memandangkan begitu ramai peminat karya-karya ciptaan Saudara Ramlee di luar sana. Sekiranya pihak DBP meninjau laman Facebook Kelab RAM (lebih 26,000 pengikut) atau ke laman web Kelab RAM, begitu ramai peminat setia yang tercari-cari novel ini bagi melengkapkan koleksi mereka. Ada yang sanggup meminjam sesama sendiri dan tawar-menawar bagi mendapatkannya. Pada hemat saya, sekiranya novel ini diulang cetak, bukan sahaja mampu memberi khabar gembira buat peminat-peminat Saudara Ramlee, malah pihak DBP juga boleh meraih keuntungan dengan edisi ulang cetak ini seperti mana karya-karya laris lain yang telah diulang cetak. Diharapkan agar cadangan saya ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Waalaikumsalam. Untuk pengetahuan tuan, DBP akan mencetak ulang buku ini. Kami berharap berita ini akan menggembirakan tuan dan semua peminat/pengikut penulis terkenal ini. | Lain-lain | 28.06.2012 |
apakah maksud dadah | Maksudnya ialah ubat-ubatan; bahan (spt ganja, heroin, marijuana, dsb) yg merosakkan atau membinasakan orang yg menggunakannya berlanjutan (merosakkan kesihatan, membawa maut, dll). Untuk keterangan lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi keempat. terima kasih. | Makna | 19.06.2008 |