Mazhab Hambali atau Hanbali ? Mengikut kamus dewan ditulis dengan Hambali, namun kalau dilihat mazhab tersebut diasaskan oleh Ahmad bin Hanbal, mazhab tersebut dinisbahkan kepada hanbali, mohon penjelasan | Ejaan yang betul ialah yang mengikut dalam Kamus Dewan, iaitu Mazhab Hambali | Ejaan | 20.08.2017 |
saya ingin mengesahkan penggunaan kata pemeri - ialah dan adalah. Yang saya pelajara, ialah untuk kata nama. adalah untuk kata sendi dan adjektif. Walau bagaimanapun say terjumpa banyak kesilaan termasuk oleh pakar bahasa, penterjemah, dan pada laman sesawang penerbit buku terkenal. Adakah ada mazhab berbez atau mahab baru berkenaan kata pemeri. Saya jadi tidak tahu meadakah yang salah telah jadi betul sekarang/ | Kata pemeri "ialah" menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala "adalah" menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh penggunaan "ialah" i. Anak ialah anugerah Allah ii. Sepak takraw ialah sukan yang elok dipertandingkan. Contoh penggunaan "adalah" i. Kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta. ii. Kerja pembaikan lif dijangka siap adalah pada minggu hadapan. (untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, hal. 263) Kedua-dua kata pemeri (ialah dan adalah) tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. | Tatabahasa | 18.12.2017 |
Salam. Saya ingin bertanya apakah ejaan sebenar kalimah dalam ejaan jawi untuk menunjukkan huruf-huruf al-quran. Contoh ayat: Bulatkan huruf diakhir kalimah yang berubah bentuk. | Ejaan kalimah ialah kaf.lam.mim.ha. Untuk mendapatkan panduan lengkap tentang ejaan Jawi termasuklah ejaan bagi kata serapan bahasa Arab, ejaan nama hari, bulan, planet, bintang, hari perayaan dalam Islam, kaum di Malaysia, kaum dan bangsa, mazhab, negeri dan kata nama am/khas yang lain sila rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi), 2009, terbitan DBP, berharga RM80.00. | Lain-lain | 29.12.2009 |
1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mengikut" dengan betul. I. Kenderaan berat tidak dibenarkan mengikut laluan itu. II. Asri memetik jari mengikut alunan muzik. III. Zahari mengikut sahaja apa-apa arahan majikannya. IV. Syahirah mengikut jawapan rakannya semasa ujian itu. A. I, II dan III sahaja B. I, III dan IV sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II dan IV sahaja Terima kasih. | Ayat tersebuat semua betul. Makna mengikut ialah 1. pergi bersama-sama dgn, menurut, mengiring, menyertai (di belakang): budak itu ~ ayahnya ke hutan memikat burung; ramai budak yg ~ perarakan itu; 2. meniru, mencontohi: kanak-kanak biasanya mudah ~ kelakuan ibu bapanya; tahun ini ramai orang kampung yg ~ Amin menanam padi dua kali setahun; 3. mematuhi (perintah, nasihat, dll), menganut (ajaran, faham): dgn mudah, kedua-dua orang itu ~ perintah saya; sebahagian besar penduduk negeri itu ~ Mazhab Syafii; 4. melalui (jalan dll): orang kampung itu pergi ke bandar terpaksa ~ sungai dgn menggunakan perahu; dia sampai dahulu kerana dia ~ jalan yg dekat; 5. menurut, sesuai dgn, selaras dgn: contoh jentera yg dibuat ~ skala 1 inci; ~ teori Darwin, manusia itu berasal drpd beruk; suaranya keluar teratur ~ irama muzik; ~ hati menurut kehendak hati; ~ jejak meniru perbuatan orang yg dahulu; ~ telunjuk mematuhi, ikut telunjuk; bagai tekukur ~ kata prb anak angkat yg mengikut kata (dapat diperlakukan sesuka hati oleh ibu atau bapa angkat). | Tatabahasa | 12.04.2010 |
Bagaimana cara-cara menunaikan solat secara berjemaah dan apakah kepentingannya? | Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum. Posisi imam mesti di hadapan makmum dan posisi makmum di belakang imam. Makmum tidak boleh mendahului imam dalam perlakuan dalam solat. Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat mua'akad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu, solat hari raya, solat sunat tarawih dan solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah Sabda Nabi SAW:"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat" (HR Bukhari dan Muslim) Untuk maklumat lanjut berkenaan perkara yang dibincangkan silalah rujuk pakar bidang (ustaz/imam) secara langsung atau rujuk rujukan di laman sesawang atau di perpustakaan yang berhampiran. | Lain-lain | 16.01.2009 |