1) pada waktu pagi atau pada pagi? Sebab apa? Cth ayat: Suasana amat tenang pada pagi / pada waktu pagi yang berbahagia ini. 2) Apakah perbezaan antara ke dengan ke dalam? Cth: masuk ke dalam dewan atau masuk ke dewan? 3) Adakah dari semasa ke semasa mempunyai maksud yang sama dengan dari masa ke masa? 4) ke arah utara/selatan/timur/barat atau ke utara/selatan/timur/barat? Ribuan Terima Kasih ! | 1. Penggunaan frasa “pada waktu pagi” dan “pada pagi” dalam contoh ayat yang diberikan, betul kerana kata sendi nama “pada” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. 2. Kata sendi nama “ke” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa. Manakala “ke dalam” merupakan frasa sendi nama untuk menunjukkan konsep ruang. Ayat yang betul ialah “Masuk ke dalam dewan”. 3. “Dari semasa ke semasa” membawa maksud yang sama dengan “dari masa ke masa”. 4. Frasa yang betul ialah ke arah utara, ke arah selatan, ke arah timur dan ke arah barat.
| Tatabahasa | 23.01.2022 |
Kami datang ke sini bersama. Kami datang ke sini bersama-sama. Dua- dua sama maksud ke? | Kedua-dua ayat "Kami datang ke sini bersama" dan "Kami datang ke sini bersama-sama" mentakrifkan bahawa kata "bersama-sama" dan "bersama" pada asasnya mempunyai makna yang sama. | Makna | 20.05.2023 |
Saya dan ayah pergi ke kedai dengan bersama. Ayat ini betul ke? | Ayat yang betul ialah "Saya dan ayah pergi ke kedai" atau "Saya pergi ke kedai bersama ayah" atau "Saya pergi ke kedai dengan ayah". | Tatabahasa | 28.01.2024 |
cara yang betul untuk menulis Jadual ke 13 adakah - Jadual Ketiga belas atau Jadual Ke Tiga Belas atau Jadual Ke-Tigabelas | Dalam penulisan teks, nombor satu hingga sembilan dieja penuh. Manakala nombor 10 ke atas hendaklah ditulis nombor. Frasa yang betul ialah Jadual ke-13. | Lain-lain | 05.11.2020 |
Apakah maksud “mengerinjing” dalam ayat ini? “Ia pun memencak silat langkah gelombang dua belas, mengerinjing sahaja kakinya ke sana ke mari.” Terima kasih. | Tiada kata terbitan "mengerinjing" seperti dalam ayat tersebut dalam pangkalan data perkamusan. Yang ada ialah kata "kerinjing" yang bermaksud: pokok sederhana hingga sangat tinggi, berbunga dan berbuah kecil berjambak, dan kayunya boleh dibuat bahan bangunan, bahan api dan sebagainya; jitang; Bischofia javanica. atau kata "mengerinjang" (kata akarnya kerinjang) yang bermaksud: melangkah-langkahkan atau menjejak-jejakkan kaki ke tanah dan sebagainya, misalnya ketika berpencak silat. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk mendapatkan maklumat berkaitan kata bahasa Melayu yang terkini. | Makna | 24.08.2024 |
Apakah padanan bahasa Melayu yang sesuai untuk trans-lunar injection, iaitu olah gerak yang meletakkan pesawat ke trajektori ke Bulan. Terima kasih. | Cadangan terjemahan bahasa Melayu bagi trans-lunar injection ialah suntikan transbulan. | Penyemakan dan penterjemahan | 07.01.2024 |
Ayat manakah yang betul : 1. Kita haruslah berhati-hati apabila (memuat naik/ memuatnaikkan) gambar (ke / ke dalam) laman media sosial. | Ayat yang betul ialah Kita haruslah berhati-hati apabila memuat naik gambar ke laman media sosial. | Tatabahasa | 03.11.2021 |
Manakah penggunaan yang lebih tepat: dari masa ke semasa atau dari semasa ke semasa? | Jawapan yang betul ialah "dari masa ke masa atau dari semasa ke semasa" | Tatabahasa | 06.11.2023 |
Dia termasukkan pemadam ke dalam telinga. Ayat ini betul ke? | Ayat "Dia termasukkan pemadam ke dalam telinga" salah. Ayat yang betul ialah "Dia memasukkan getah pemadam ke dalam telinga" | Tatabahasa | 29.07.2022 |
Antara ke-10 dengan kesepuluh,yang mana betul? Mulai dari nombor betapa tulis dalam bentuk ke-... | Penggunaan “ke-” dalam penomboran dimulai dengan nombor ke-2 hingga yang seterusnya dan boleh juga ditulis sama ada dalam bentuk penomboran atau dieja sepenuhnya, Contohnya, “kesepuluh”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan (DBP 2023) halaman 165. | Tatabahasa | 03.12.2023 |