Adakah kata "pengaruh" berasal dari kata "aruh"? | Pengaruh yang mempunyai makna pengalir berbentuk gelung yang menghasilkan medan magnet (induktor) terbit daripada kata aruh. Manakala pengaruh yang mempunyai makna: kebolehan atau kelebihan yang ada pada seseorang atau sesuatu yang dapat mengubah pandangan, fikiran dan sebagainya seseorang; keupayaan yang ada pada alkohol, dadah dan sebagainya hingga dapat menguasai kewarasan seseorang; kuasa yang disebabkan oleh kedudukan, kekayaan dan sebagainya seseorang atau sesuatu pihak; berdiri sendiri sebagai kata dasar yang menjana terbitan lain seperti berpengaruh, mempengaruhi, pengaruh-mempengaruhi dan terpengaruh. | Lain-lain | 12.05.2025 |
Salam, saya ingin bertanya apakah istilah bahasa melayu untuk 1) irradiated food 2) glow stick? Apakah beza granular dengan granul yang merujuk pada permukaan Matahari? Apakah penerangan bagi istilah magnetosfera? Terima kasih | 1. Belum ada istilah bahasa Melayu untuk “irradiated food” dan “glow stick”. Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan tersebut ialah makanan tersinar dan lampu batang bercahaya. 2. Granular ialah perkataan dalam bahasa Inggeris, manakala istilah bahasa Melayu ialah granul. 3. Menurut huraian istilah bidang Aeroangkasa dan Matematik, magnetosfera ialah kawasan di sekeliling planet yang zarah terion di dalamnya dipengaruhi oleh medan magnet planet itu sendiri, tetapi bukannya oleh medan magnet yang dibawa oleh angin suria. | Istilah | 22.02.2018 |
Assalamualaikum, Saya adalah seorang pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UPM. Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada pihak DBP dengan mewujudkan laman web ini yang telah saya gunakan sekian lama. Cuma,saya tertarik untuk memberikan pendapat terhadap satu istilah yang digunakan di dalam bidang kejuruteraan, iaitu pole-zero, di mana ia telah ditafsirkan dalam bahasa melayu sebagai kutub-sifar. Bagi saya penggunaan perkataan kutub di sini adalah tidak tepat kerana pole yang dimaksudkan di sini tidak sama seperti di dalam bidang lain contohnya yang merujuk kepada kutub utara atau selatan medan magnet. Di dalam sistem kawalan, perkataan pole digunakan untuk merujuk kepada nilai yang menyebabkan satu transfer function (rangkap pindah) infiniti. Dengan kata lain sekiranya magnitude rangkap pindah tersebut dilakarkan secara 3-dimensi, nilai yang berada di kedudukan tersebut akan kelihatan seperti tiang (dalam bahasa inggeris =pole). Jadi pole di sini bukan merujuk kepada kutub, tetapi tiang dan saya rasa ia perlu dibetulkan untuk memberi kefahaman sebenar istilah tersebut. Saya sedia dihubungi untuk berbincang lanjut perkara ini. Sekian, terima kasih. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban Universiti Putra Malaysia | Terima kasih atas keprihatinan dan maklumat YBhg. Prof. berikan. Dalam bidang peristilahan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi (dulunya Bahagian Peristilahan), DBP menyelenggara jawatankuasa istilah sesuatu bidang. Pensyarah atau pakar dalam sesuatu bidang dilantik menganggotai jawatankuasa istilah. Sehubungan dengan itu, maklumat yang disampaikan oleh YBhg. Prof telah kami salurkan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk diambil maklum dan tindakan selanjutnya. | Istilah | 04.06.2014 |