Kebelakangan ini banyak akhbar dan media elektronik menggunakan perkataan "di temukan" sebagai ganti kepada perkataan "di temui". Contoh; "mayat berkenaan telah ditemukan pada jam 9.00pagi ditepi sungai..." Apakah betul penggunaan perkataan "di temukan" yang sangat berleluasa penggunaannya ketika ini? | Untuk makluman, "ditemukan" ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran". Manakala "ditemui" ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui". Sehubungan dengan itu, pemilihan perkataan "ditemukan" memang tepat berdasarkan contoh ayat yang diberikan. | Lain-lain | 13.10.2017 |
Mengapakah kegiatan sastera di negara ini tidak mendapat publisiti yang meluas sama ada melalui media cetak atau elektronik? | Kegiatan sastera mendapat publisiti dalam media cetak dan media elektronik. Misalnya, akhbar Berita Minggu dan Berita Harian memberikan promosi terhadap kegiatan tersebut dalam ruangan sastera pada hari Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu, manakala akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia memberikan promosi pada hari Ahad, Isnin dan Khamis. Kegiatan sastera yang dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dipromosikan melalui akhbar yang tersebut di atas, di samping melalui majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Media elektronik, misalnya radio dan televisyen turut mempromosikan kegiatan sastera. | Lain-lain | 12.05.2008 |
assalamualaikum saya mohon pihak berkenaan dapat membuat pemantauan berkenaan penyalahgunaan bahasa melayu. penyalahgunaan bahasa yang saya maksudkan ialah penggunaan bahasa rojak samada dalam media elektronik mahupun media cetak. perkataan FINAL sering digunakan dalam laporan berita sukan. mohon dapat diberikan perhatian. sekian,terima kasih. | Terima kasih atas makluman yang diberikan. Perkara ini akan diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Kami juga mencadangkan tuan memberikan butiran kesalahan yang ditemukan dalam paparan awam dalam domain "Pantau Tegur Bahasa". | Lain-lain | 11.06.2014 |
Apakah terjemahan sesuai dalam bahasa Malaysia bagi perkataan "Breakaway TV News" atau "Breakaway News"? Perkataan dalam Bahasa Malaysia diperlukan bagi kesesuaian perkataan tersebut dalam siaran media elektronik dan media cetak. | Berdasarkan konsep dan konteks penggunaan yang diberikan dicadangkan padanana bahasa Melayunya ialah berita tempatan/setempat atau warta tempatan/setempat. | Istilah | 29.01.2009 |
Pengamal-pengamal media elektronik terutamanya televisyen (paling teruk stesen TV swasta) sekarang semakin berleluasa menggunakan apitan "di... kan" secara salah. Mereka kerap menjarakkan "di" daripada perkataan yang diapit oleh "kan" seperti di jalankan atau di agihkan. Minta DBP pantau dan tegur mereka. | Terima kasih atas keprihatinan tuan. Untuk makluman, kami sentiasa membuat pemantauan penggunaan bahasa Melayu dalam media, dan DBP dan pihak media sendiri sentiasa berusaha untuk menambah baik mutu penggunaan bahasa. | Lain-lain | 04.08.2014 |
Adakah perenggan di bawah betul? Sejak akhir-akhir ini, pihak kerajaan sering menyeru rakyat untuk melakukan aktiviti senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Isu ini hangat dibicarakan dalam media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai kebaikan yang akan kita peroleh jika kita sentiasa bersenam. Berdasarkan sumber daripada kerajaan Malaysia, hanya 60% daripada rakyat Malaysia melakukan aktiviti senaman. Soalnya, apakah kebaikan yang akan kita peroleh jika kita sentiasa berse | Ayat ini betul. Saudara juga boleh menyemak perkataan/istilah/frasa yang digunakan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 02.01.2011 |
Adakah semua ayat dalam perenggan di bawah gramatis? Dalam menongkah arus globalisasi yang penuh dengan pancaroba dan kompetitif, negara kita masih berdepan dengan masalah peningkatan kes demam denggi. Masalah yang semakin membimbangkan ini telah menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan kes demam denggi mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak. Demam denggi bukan sahaja telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan malahan kadar kematian yang berpunca daripada wabak penyakit ini juga semakin bertambah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang penyelesaian yang efektif maka sudah pastinya negara kita akan menghadapi pelbagai musibah yang sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan negara yang dikecapi selama ini. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Sebenarnya, terdapat banyak punca berlakunya demam denggi dan cara-cara mengatasinya. | Kami mencadangkan penambabaikan dalam teks yang berkenaan seperti yang berikut - Dalam menongkah arus globalisasi yang penuh pancaroba dan persaingan, negara kita masih berdepan dengan masalah peningkatan kes demam denggi. Masalah yang semakin membimbangkan ini telah menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa, sama ada media elektronik mahupun media cetak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan kes demam denggi mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak. Demam denggi bukan sahaja telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan malahan kadar kematian yang berpunca daripada wabak penyakit ini juga semakin bertambah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian tuntas, maka sudah pasti negara kita akan menghadapi pelbagai musibah yang sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan negara. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Sebenarnya, terdapat banyak punca berlakunya demam denggi dan cara-cara untuk mengatasinya. | Penyemakan dan penterjemahan | 08.04.2015 |
Saya ingin bertanya bagaimana mennyebut H1N1 dan H7N9 dalam bahasa Melayu, apakah H. Satu N. Satu dan H. Tujuh N. Sembilan? Ketika ini saya dengar semua media elektronik di Malaysia dalam berita bahasa Melayunya menyebut H. One N. One dan H. Seven N. Nine, tapi dalam berita bahasa Cina, sebutan angka itu dibaca dalam bahasa Cina. Saya juga ada mendengar berita bahasa Melayu dari TV Singapura yang menyebut angka itu dalam bahasa Melayu. Jadi saya keliru apakah betul sebutan media berbahasa Melayu di Malaysia. Sekian | Sebutan sepertimana bentuk visualnya dalam bahasa Melayu, iaitu H1N1 disebut H satu N satu dan H7N9 disebut H tujuh N Sembilan. | Tatabahasa | 11.04.2013 |
apakah isu-isu mengenai penggunaan bahasa malaysia dalam media penyiaran? | Antara isu-isu penggunaan bahasa Malaysia dalam bidang penyiaran ialah sejauh manakah media memanfaatkan bahasa kebangsaan ini khususnya untuk media elektronik. Soalan yang dikemukakan bukan soalan berkaitan bahasa. NAmun demikian, bagi mendaptkan maklumat lanjut berkaitan perkara ini, saudara boleh membuat rujukan pada majalah atau buku terbitan DBP atau merujuk akhbar harian. | Lain-lain | 07.09.2007 |
Saya baru-baru ini menggunakan perkataan kelu untuk jari yang tak mampu meluahkan kata-kata melalui tulisan. Bagi saya, perkataan kelu sudah wajar diperluaskan untuk maksud hajat meluahkan kata-kata yang tertahan baik dari segi lisan mahupun penulisan. Memandangkan zaman sekarang media elektronik sudah semakin berpengaruh, penyampaian kata-kata dan perhubungan sudah semakin digital dan melebihkan tulisan berbanding lisan. Keadaan kelu tak mampu berkata sepatutnya turut boleh digunapakai untuk jari yang tak mampu menaip atas sebab hati yang tak yakin. | Kami menerima pandangan tuan. Sehingga hari ini, kami masih memegang Kamus Dewan sebagai panduan iaitu kelu bermaksud . tidak dapat berkata-kata (kerana ketakutan, terkejut, dll): mendengar kata-katanya itu, ~lah lidah saya; 2. Kl sangat bodoh, bingung: jangan disuruh budak yang ~ itu; mengelukan menjadikan kelu, menyebabkan tidak dapat berkata-kata; ~ diri mendiamkan diri (tidak berkata-kata); terkelu tidak terkata-kata, terdiam (tidak dapat berkata-kata); kekeluan perihal atau keadaan kelu: setiap kali mulutnya berkumat-kamit hendak berkata, setiap kali pula ~ timbul. | Tatabahasa | 20.07.2013 |