| Sila nyatakan dan jelaskan perbezaan antara "tindakan yang keterlaluan" dengan "tindakan yang berlebihan". | Isunya di sini ialah persamaan atau perbezaan makna antara keterlaluan dengan berlebihan. Keterlaluan bermaksud keadaan terlalu atau keadaan yang melampaui batas dan berlebihan pula bermaksud terlalu atau sangat banyak. Lazimnya "berlebihan" digunakan dalam menceritakan benda yang boleh dilihat secara fizikal, seperti dalam ayat: Membaja pokok secara berlebihan tidak mendatangkan faedah dan Beras ada juga yang dieksport kerana berlebihan daripada keperluan tempatan. Oleh itu frasa yang tepat ialah "tindakan yang keterlaluan". | Makna | 04.06.2011 |
| Saya ada kemusykilan terhadap penggunaan perkataan "berlebihan". Bagi saya, perkataan ini membawa denotasi negatif. Setujukah saudara? Sila beri pendapat. Terima Kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, berlebihan bermaksud terlalu sangat (banyak, lebih, dll). Berlebih-lebihan bermaksud 1. terlalu sangat (banyak), melampaui batas (sepatutnya) 2. berlumba-lumba untuk beratas-atasan (atas-mengatasi). Berdasarkan huraian yang diberikan, perkataan yang mempunyai maksud negatif ialah berlebih-lebihan bukan berlebihan. | Makna | 17.02.2011 |
| Bolehkah saya memulakan ucapan dengan perkataan "Mengawali ucapan"? Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan, Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan mengawali seperti yang berikut: 1. menjaga dan mengawasi (tempat, bangunan, dll) supaya selamat, menjaga keselamatan (orang lain): ia memimpin anak buahnya berjaga malam ~ kampung; 2. mengawas atau mengawasi (supaya tidak melampaui batas, sempurna dan teratur segala-galanya atau utk sesuatu tujuan lain); ~ gerak langkah dan tindakan sesuatu kumpulan pekerja; ~ penyakit supaya tidak merebak. Cadangan frasa yang sesuai ialah seperti "Bagi memulakan ucapan..." | Tatabahasa | 16.02.2015 |
| apakah maksud perkataan suprakelas? boleh berikan satu contoh ayat yang menggunakan perkataan suprakelas? ejaan untuk kata Pontianak atau puntianak? mana satukah yang betul? | 1. Tiada istilah "suprakelas", tetapi istilah "supra" ialah awalan asing yang bermaksud melebihi atau melewati sesuatu batas, sempadan,melangkaui, melampaui, dsb. 2. Ejaan yang tepat ialah "puntianak" | Istilah | 15.04.2015 |