Salam sejahtera. Saya ingin mengetahui penggunaan kata kerja diakhiri imbuhan 'kan' dan 'i'. Contohnya, 'menghadiahkan' dan 'menghadiahi'. Saya berharap pihak tuan dapat membantu meleraikan kemusykilan ini. Sekian terima kasih. | Fungsi apitan meN...kan menandakan kausatif, manakala apitan meN...i menandakan lokatif. Contoh: Ayah menghadiahkan basikal kepada Ali; Ayah menghadiahi Ali basikal. MeN...kan menerima objek tidak bernyawa, iaitu basikal, manakala meN...i menerima objek bernyawa. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 207. | Tatabahasa | 02.06.2010 |
Salam sejahtera. Ceraian 9.2.1.2 (iii) Kata hubung pancangan pada halaman 253 tidak menyenaraikan kata sebab sebagai kata hubung pancangan. Sila berikan butiran terperinci Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga yang anda rujuk agar kekeliruan ini dapat diselesaikan. Untuk meleraikan kekeliruan ini, lampiran telah saya sertakan sebagai bukti. Sekian. | Untuk makluman tuan, semakan kali pertama dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga Cetakan Pertama, tahun 2008 pada ceraian 9.2.1.2 (iii) Kata hubung pancangan halaman 253 tidak menyenaraikan kata sebab sebagai kata hubung pancangan. Namun semakan kami selanjutnya mendapati bahawa dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga Cetakan Kelima, 2010 dan cetakan-cetakan seterusnya kata sebab telah disenaraikan sebagai kata hubung pancangan. Mohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan terima kasih atas maklumat yang tuan berikan. | Lain-lain | 02.12.2018 |
Salam bahagia, saya telah berinisiatif untuk mencari entri 'banyak' dalam Kamus Dewan atas talian DBP untuk mengenal pasti golongan/kelas kata dan maknanya tetapi tidak saya temukan. Kata 'banyak' kerap digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Malangnya pada pengamatan saya, kata ini acap kali disalahkan kerana jahil akan golongan kata, makna dan penggunaannya. Untuk meleraikan kemusykilan bahasa ini demi kemaslahatan orang ramai, besarlah harapan pihak tuan/puan memberikan penjelasan dari segi morfologi dan semantik. Bahasa Jiwa Bangsa. Sekian. Kay Seven Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Berdasarkan carian kami, entri "banyak" terdapat pada halaman 9 Kamus Dewan di PRPM. | Tatabahasa | 20.12.2016 |
Salam sejahtera, saya difahamkan bahawa “yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” merupakan predikat ayat. Pertama, bolehkah kata relatif “yang” dapat membentuk predikat ayat? Kedua, antara ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu ialah ayat relatif. Ayat relatif ialah ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan ‘yang’. Persoalannya, adakah “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja.” itu ayat majmuk pancangan relatif? Penjelasan pihak tuan dapat meleraikan kemusykilan yang didepani penguna-penguna bahasa. Sekian, terima kasih. | 1. Kata relatif “yang” boleh menjadi sebahagian daripada predikat, akan tetapi tidak boleh menjadi penanda predikat. 2. Ayat “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja.” merupakan ayat majmuk pancangan relatif. Nota: Kami mohon maaf atas kekeliruan jawapan sebelum ini. | Tatabahasa | 23.11.2018 |
Salam sejahtera, kemusyikilan bahasa yang sering saya temukan dalam penulisan ialah kata 'dalam'. Selain berfungsi sebagai kata adjektif dan kata arah, kata 'dalam' juga berfungsi sebagai kata sendi nama, misalnya terbabit dalam kemalangan jalan raya. Berdasarkan tatabahasa Melayu, kata sendi nama seharusnya disertai kata nama / frasa nama. Soalnya, adakah kata sendi nama 'dalam' disertai kata kerja transitif, misalnya ~ membangunkan (negara), ~ menyempurnakan (tugas) dan sebagainya. Besarlah harapan saya bahawa penjelasan tuan/puan dapat meleraikan kemusyikilan bahasa ini. Sekian. Kay Seven Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Kata sendi nama "dalam" tidak boleh diikuti dengan kata kerja transitif. Ayat "dalam membangunkan negara" adalah salah, namun ayat tersebut boleh dibaiki lagi dengan menambah kata nama "usaha" --> dalam usaha membangunkan negara... | Tatabahasa | 20.12.2016 |
Salam sejahtera, bagai memasang pelita siang hari bahawa kata 'galus' (akronim untuk gagal atau/dan lulus) dan 'raksbaya' (akronim untuk rakan sebaya) tidak terdapat dalam entri Kamus Dewan yang terkini dan Kamus Dewan atas talian walhal kedua-dua kata ini sering digunakan oleh pengguna-pengguna bahasa Melayu atau sudah mantap penggunaannya. Soalnya, adakah kedua-dua kata ini digalakkan penggunaannya dalam penulisan karangan? Semoga tuan/tuan memberikan penjelasan untuk meleraikan kemusyikilan bahasa ini sekali gus memartabatkan bahasa Melayu. Sekian. Salam hormat, Kay Seven, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Penggunaan akronim dalam bahasa Melayu tidaklah meluas dan kebanyakan bentuk yang ada pun hanya merujuk pertubuhan dan institusi, seperti RISDA dan MARA. Bahasa Melayu tidak menerima bentuk akronim sebagai kata yang sahih, lebih-lebih lagi untuk tujuan pembelajaran dan peperiksaan. | Tatabahasa | 21.12.2016 |
Salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Antara kemusykilan-kemusykilan yang saya hadapi termasuklah: (i) Sehubungan dengan penggunaan peribahasa dalam penulisan karangan, ‘bak kata pepatah’ tidak boleh digunakan dalam karangan. Sesetengah guru pula menegaskan bahawa pengikat kata (“………..”) tidak perlu digunakan ketika memasukkan peribahasa. (ii) Ungkapan ‘kuman menjadi barah’ dan ‘belukar menjadi rimba’ seharusnya digantikan dengan ungkapan ‘kudis menjadi tokak’. (iii) Penanda wacana ‘dengan sedemikian’ tidak boleh digunakan dalam penulisan karangan. Semoga penjelasan tuan akan meleraikan kemusykilan-kemusykilan tersebut. Sekian, terima kasih. Munsyi K’Seven, Pulau Pinang. | (i) Dalam buku Gaya Dewan, DBP di bawah tajuk penggunaan Tanda Petik. tidak menyenaraikan panduan penggunaan tanda petik bagi penggunaan peribahasa. Untuk penggunaan di sekolah atau dalam peperiksaan sila rujuk guru yang berwibawa. (ii) Penggunaan peribahasa hendaklah disesuaikan dengan konteks penggunaannya dalam ayat. Justeru, kami tidak dapat memberikan pengesahan dalam pertanyaan tuan kerana tidak ada maklumat tentang penggunaan peribahasa tersebut dalam ayat. (iii) Frasa yang betul ialah "oleh hal yang demikian". | Tatabahasa | 17.04.2015 |
Salam bahagia, Cikgu Awang mengatakan bahawa kata sendi nama ‘antara’ menjadi penanda jamak bagi perkara yang hendak disenaraikan, maka perkataan yang mengikutinya tidak perlu digandakan. Cikgu Sariyan pula mengatakan kata nama yang mengikuti kata sendi nama ‘antara’ boleh digandakan bergantung pada konteks penggunaan. Pada pengamatan saya, jawapan yang kedualah yang masuk akal. Kata nama tidak perlu digandakan kerana menyatakan satu perkara sahaja: Antara faktor yang menyebabkan masalah sosial ialah kepincangan keluarga. Kata nama perlu digandakan kerana menyatakan lebih daripada satu perkara: Antara faktor-faktor yang menyebabkan masalah sosial ialah kepincangan keluarga, kekurangan didikan agama dan moral, kelemahan sistem pendidikan dan pengaruh rakan sebaya. Demi meleraikan kemusykilan bahasa ini, saya mencadangkan ayat-ayat tersebut ditulis seperti yang berikut: (a) Salah satu faktor yang menyebabkan masalah sosial ialah kepincangan keluarga. (b) Faktor-faktor yang menyebabkan masalah sosial ialah/termasuklah kepincangan keluarga, kekurangan didikan agama dan moral, kelemahan sistem pendidikan dan pengaruh rakan sebaya. Penjelasan ini berdasarkan hukum tatabahasa bahasa Melayu yang mengatakan bahawa frasa sendi nama tidak boleh berfungsi sebagai subjek. Dengan ini, diharapkan bahawa masalah tersebut dapat dileraikan. Sekian. Kay Seven Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Untuk makluman, pendapat yang diberikan tidak ada kesalahan. Akan tetapi, dalam apa pun keadaan, DBP berpegang pada buku Tatabahasa Dewan sebagai bahan rujukan. Untuk lebih jelas, mohon rujuk buku tersebut. | Tatabahasa | 22.12.2016 |